Utusan Online - Pahang |
- Hari Mesra Pelanggan MPK lesu
- Kes tibi di Jerantut turun 50 peratus
- Warga emas terharu terima kerusi roda
Posted: Hari Mesra Pelanggan MPK lesuOleh KHAIRATUL AINAL ABDUL KARIM
KUANTAN 29 April - Hari Mesra Pelanggan yang diadakan di ibu pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) di sini kurang mendapat sambutan apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu hanya menerima kira-kira 20 aduan hari ini. Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob berkata, bilangan aduan itu dianggap rendah kerana program itu tidak diadakan di kawasan tumpuan awam. Berikutan itu, kata beliau, pihaknya akan mengadakan program tersebut di kawasan tumpuan awam seperti di kompleks beli-belah dan taman perumahan pada masa akan datang. "Sebelum ini, kita mengadakan program bulanan di kawasan tumpuan orang ramai namun disebabkan beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan ia terpaksa diadakan di ibu pejabat MPK. "Nampaknya kaedah mendekati orang ramai lebih berkesan di tempat tumpuan awam seperti kompleks beli-belah dan sebagainya," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurut Zulkifli, antara aduan yang diterima pada program itu termasuk berkaitan jalan rosak, sampah, longkang tersumbat dan rosak serta kekurangan tempat letak kereta. Katanya, menerusi usaha tersebut, ia memudahkan MPK mendapat maklumat dan mengenal pasti masalah yang dihadapi dengan lebih cepat dan berkesan. "Kita juga dapat memberi penjelasan dan penerangan secara terus serta cuba menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin secara berperingkat," katanya. Tambahnya, MPK sentiasa mengalu-alukan orang ramai untuk memberi cadangan, pandangan atau aduan pada bila-bila masa. | ||
Kes tibi di Jerantut turun 50 peratus Posted: Kes tibi di Jerantut turun 50 peratusJERANTUT 29 April - Kadar kes penyakit tibi berjaya dikurangkan lebih 50 peratus apabila sebanyak 44 kes direkodkan pada tahun lalu berbanding 104 kes pada 2009. Pegawai Kesihatan daerah, Dr. Wan Abdul Rahim Wan Mohamad berkata, dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sebanyak 12 kes penyakit tibi dikesan. Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya akan terus mempertingkatkan pengawasan walaupun kadar kes penyakit tibi di daerah ini semakin berkurangan. ''Tibi merupakan penyakit berjangkit yang wajar diberi perhatian serius. ''Penyakit tibi boleh dirawat hingga sembuh tetapi memerlukan jangka masa lama," katanya ketika berucap pada program 'Moh Cergas' sempena sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat daerah di sini semalam. Majlis anjuran bersama Jabatan Kesihatan daerah dan Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) itu dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damak, Datuk Lau Lee. Hadir sama, Pegawai Belia dan Sukan daerah, Wan Jaimi Wan Mustaffa dan Pengerusi MAYC Jerantut, Muhammad Razman Sidik. Menurut Wan Abdul Rahim, bagi memastikan penyakit tibi terus terkawal, penduduk perlu bekerjasama menerusi penyertaan dalam kempen kesedaran dan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Kata beliau, antara faktor menyebabkan penyakit itu terus menular kerana pesakit kurang peka kepada rawatan manakala penduduk mengabaikan penjagaan kesihatan hingga memudahkan jangkitan di kalangan ahli keluarga dan individu terdekat. ''Perkara ini amat membimbangkan dan wajar ditangani untuk mengelakkan penyakit tibi terus merebak. ''Semua pihak perlu membuat pemeriksaan untuk mengetahui status kesihatan masing-masing terutama yang mempunyai ahli keluarga yang menghidap penyakit tibi," ujarnya. Justeru, kata beliau, pihaknya meminta penduduk membuat pemeriksaan awal untuk mengesan penyakit itu sekali gus mengelakkan daripada dibiarkan berterusan hingga sukar dipulihkan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Warga emas terharu terima kerusi roda Posted: Warga emas terharu terima kerusi roda
KUANTAN 29 April - Seorang bekas nelayan yang menghidap pelbagai penyakit kronik terharu apabila menerima sumbangan kerusi roda daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Mukim Beserah dan Sungai Karang (Bakkiss) di Kampung Pasir Garam, Beserah di sini hari ini. Sumbangan itu disampaikan Yang Dipertua Bakkiss, Wan Azlan Wan Salleh kepada warga emas terbabit, Zali Ngah, 73. Zali ketika ditemui bersyukur kerana sumbangan kerusi roda itu dapat mengurangkan beban isterinya, Teh Hassan, 56, dan anak bongsunya, Nurul Fatihah Husna, 16, yang selamanya ini menjaganya. "Saya terharu saya kerana sekian lama, ada juga orang yang bersimpati dan menghulurkan bantuan," katanya yang menghidap penyakit angin ahmar, kencing manis, darah tinggi dan lemah jantung sejak enam tahun lalu. Menurut Zali, isterinya juga kurang sihat selain mengalami masalah pendengaran menyebabkan banyak urusan rumah diserahkan terhadap Nurul Fatihah Husna. "Selama ini, pergerakan saya agak terbatas namun, dengan adanya kerusi roda ini bolehlah membantu saya bergerak tanpa terlalu bergantung kepada isteri dan anak," katanya yang mempunyai sembilan anak berusia antara 16 hingga 50 tahun. Sementara itu, Nurul Fatihah Husna mengakui kesukaran hidup keluarganya menyebabkan dia nekad berhenti sekolah sejak dua tahun lalu dan tidak sempat menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). "Saya bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan depan dan ingin memujuk bakal suami tinggal di rumah ini untuk menjaga kedua-dua ibu bapa," katanya yang sebelum ini menyimpan hasrat untuk menjadi doktor. Bagaimanapun, kata Nurul Fatihah Husna, mereka bernasib baik kerana dapat memiliki sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) selain bergantung bantuan abang sulungnya yang menghulurkan wang untuk menampung perbelanjaan mereka sekeluarga. Dalam pada itu, Wan Azlan berkata, sebagai sebuah badan kebajikan yang merangkumi kawasan Chendor hingga Beserah, pihaknya akan membantu keluarga terbabit untuk mendapat perhatian sewajarnya. "Kita akan merujuk kes keluarga ini ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain mengharapkan pihak lain tampil menghulurkan sumbangan sewajarnya," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan