Utusan Online - Utara |
- Bukit Mertajam dilanda banjir
- Kerajaan DAP Pulau Pinang diingat martabatkan agama Islam
- Dua ADUN lewat duduk di kerusi awam
Posted: Bukit Mertajam dilanda banjirOleh ABDUL MUIN SAPIDIN
BUKIT MERTAJAM 29 April - Hujan lebat kira-kira empat jam sejak awal pagi ini menyebabkan beberapa kawasan termasuk pusat perniagaan dan taman perumahan sekitar bandar ini dilanda banjir. Paling teruk terjejas ialah penduduk di Kebun Sireh, Permatang Batu, Taman Desa Damai, Permatang Rawa dan Taman Sri Rambai yang menyaksikan lebih 60 buah rumah ditenggelami air sehingga 1.5 meter. Jalan Permatang Rambai dan Jalan Desa Damai yang menempatkan deretan premis perniagaan turut dinaiki air sejak pukul 8 pagi, menyebabkan ramai peniaga menanggung kerugian kerana terpaksa menutup premis mereka. Banjir turut menyebabkan beberapa laluan menuju ke pusat bandar mengalami kesesakan luar biasa pada sebelah pagi terutamanya di persimpangan masuk ke taman-taman perumahan sekitar Taman Desa Damai dan Kebun Sireh. Bagaimanapun, sehingga pukul 2 petang ini, belum ada penduduk yang dipindahkan ekoran paras air yang mula menampakkan tanda-tanda akan pulih. Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ketika dihubungi bagaimanapun memberitahu, agensi dan jabatan kerajaan termasuk bomba dan polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi hujan lebat dalam masa terdekat. Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, penduduk serta peniaga yang mula sibuk membersihkan rumah dan premis masing-masing yang dipenuhi lumpur. Penduduk Permatang Batu, Ramli Usman, 58, berkata, banjir kali ini adalah antara yang terburuk pernah berlaku ekoran hujan lebat luar biasa sejak awal pagi ini. ''Kejadian banjir memang menjadi lumrah setiap kali hujan lebat tetapi kali ini agak luar biasa kerana ia (air bah) melimpah sehingga ke jalan-jalan raya," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Bagi penduduk Solok Nangka, Taman Desa Damai, yang hanya mahu dikenali sebagai Khor, 48, pula mendakwa, kejadian banjir kali ini berpunca ekoran kerja-kerja membina rumah pam di kawasan berhampiran yang belum siap sepenuhnya. ''Kerja-kerja tersebut dihentikan sementara sehingga menyebabkan terdapat sistem saliran yang tertutup dengan tanah. Saya percaya jika ia tidak disiapkan secepat mungkin, banjir menjadi lebih buruk jika hujan lebat melanda dalam masa terdekat," katanya. Kakitangan swasta, Saidin Omar, 57, pula merayu pihak berkuasa supaya segera menaik taraf sistem perparitan di kawasan berkenaan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang kerap berlaku. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Kerajaan DAP Pulau Pinang diingat martabatkan agama Islam Posted: Kerajaan DAP Pulau Pinang diingat martabatkan agama IslamPULAU PINANG 29 April - Kerajaan DAP Pulau Pinang diingatkan supaya terus memantapkan usaha bagi memartabatkan agama Islam di negeri ini dengan menggiatkan dan melaksanakan pelbagai program, projek dan aktiviti. Harapan itu disuarakan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas ketika berucap merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN), Pulau Pinang di sini hari ini. Dalam ucapannya itu, Abdul Rahman turut menasihatkan kerajaan DAP Pulau Pinang supaya membelanjakan secara berhemah peruntukan yang disediakan untuk hal ehwal Islam yang berjumlah RM33.33 juta bagi tahun ini. ''Hasrat kerajaan negeri dalam mengembangkan syiar Islam juga diteruskan dengan pembinaan Kompleks Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri Pulau Pinang yang mana pelaksanaan projek ini diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dengan peruntukan RM36 juta. ''Saya sendiri sudah mendapat taklimat daripada Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung reka bentuk kompleks ini. Tawaran tender bagi projek ini akan dibuka pada Jun 2011 dan surat tawaran kepada kontraktor terpilih serta majlis pecah tanah dijadualkan Oktober 2011," katanya ketika berucap pada majlis itu di sini hari ini. Turut hadir isterinya, Toh Puan Majimor Shariff; Ketua Menteri, Lim Guan Eng; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Farizan Darus, barisan exco kerajaan negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari barisan penyokong serta pembangkang dan ketua agensi kerajaan. Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, faktor paling penting dalam kejayaan negeri ini mencatatkan pelaburan berjumlah RM12.2 bilion pada tahun lalu yang merupakan tertinggi di antara negeri di Malaysia adalah kerana sumber manusianya. ''Sumber manusia iaitu daya kepakaran, daya tenaga dan daya usahasama sama rakyat Pulau Pinang adalah tarikan utama kepada pelabur. ''Selain disebabkan faktor lain seperti kemudahan infrastruktur dan komunikasi yang baik, urus tadbir yang baik dan pentadbiran yang bersih dan amalan CAT iaitu Cekap, Akauntabiliti dan Telus," katanya. Sementara itu, Abdul Rahman berkata, kerajaan Persekutuan telah memberikan pelbagai geran untuk dilaksanakan di negeri ini. Kata beliau, ia termasuklah geran berjumlah RM1.2 bilion bagi pelaksanaan Projek Pembesaran Empangan Mengkuang yang akan dilaksanakan Satikat China International Water & Electric Corporation (M) Sdn. Bhd. bagi menjamin bekalan air mencukupi kepada penduduk negeri ini. Selain itu, kata Abdul Rahman, sebuah lagi agensi Kerajaan Pusat iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperuntukkan RM236 juta pada tahun ini bagi melaksanakan 230 projek merangkumi projek bekalan elektrik sedia ada serta memperkukuhkan sistem bekalan sedia ada. ''Kerajaan negeri berterima kasih kepada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) kerana meluluskan semula peruntukan asal berjumlah RM57 juta bagi pelaksanaan Projek Menaiktaraf Infrastruktur Dalam Kawasan Perindustrian Perai oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP). ''Sehingga 28 Mac lalu, projek ini mencapai kemajuan sebanyak 64.79 peratus dan dijangka siap 14 Ogos 2011," jelasnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Dua ADUN lewat duduk di kerusi awam Posted: Dua ADUN lewat duduk di kerusi awamPULAU PINANG 29 April - Gara-gara terlewat masuk ke dalam dewan semasa Majlis Perasmian Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini, dua wakil rakyat pembangkang terpaksa 'duduk' menumpang di bahagian galeri awam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan dan ADUN Sungai Bakap, Makhtar Shapee yang masuk selang beberapa minit antara satu sama lain dilihat duduk di bahagian tersebut yang menempatkan golongan pemerhati dan wartawan sebaik menyedari majlis telah bermula. Ketika itu, Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas sedang berucap merasmikan mesyuarat pertama penggal keempat Sidang DUN Pulau Pinang di sini hari ini. Terdahulu, sebaik membuka pintu dewan untuk masuk, kedua-dua mereka dilihat dalam keadaan teragak-agak. Gelagat mereka ini menyebabkan beberapa wakil rakyat lain yang berada dalam dewan tersenyum. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan