Selasa, 26 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Utusan bukan akhbar perkauman

Posted:

Utusan bukan akhbar perkauman

Utusan bukan akhbar perkauman

UCAPAN penuh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga penasihat Kelab Veteran Utusan Melayu (KVUM) pada majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan KVUM di Taman Melawati, Selangor pada 24 April 2011.

SAYA tidak berhasrat untuk berucap pada hari ini kerana bimbang, apakah ucapan saya nanti mempunyai nilai berita atau tidak terutamanya berada di atas pentas hari ini adalah bekas ketua saya sendiri, Tan Sri Zainuddin Maidin yang juga tokoh wartawan.

Tetapi sebagai salah seorang yang lahir daripada Utusan Malaysia, saya fikir saya perlu bercakap.

Bagi saya, KVUM ini telah memainkan peranan yang cukup berkesan kepada veteran-veteran Utusan yang selama ini berjuang untuk membangkitkan kesedaran orang Melayu. Setiap tahun, badan ini berjaya memberi dividen kepada semua ahlinya walaupun jumlah tersebut mungkin tidak besar tetapi ia cukup bermakna. Ia membuktikan jasa veteran Utusan ini tidak dilupakan.

Saya berharap selepas ini, KVUM lebih kreatif untuk menjana kewangan badan ini terutamanya dengan menjalin kerjasama dengan syarikat-syarikat swasta dan jika boleh badan ini harus memiliki bangunan sendiri untuk memudahkan segala aktiviti berkait dengan urusan kelab.

Mutakhir ini Utusan Malaysia diserang dari segenap sudut, dari kiri ke kanan, dari atas ke bawah oleh pelbagai pihak. Namun, Kumpulan Utusan bukan hanya sebuah kumpulan persuratkhabaran. Kumpulan Utusan adalah institusi yang menjadi pemangkin kepada kesinambungan nasionalisme Melayu, tanpa mengetepikan kepentingan lain- lain bangsa dan kaum di negara ini.

Kumpulan Utusan diserang mutakhir ini kerana keberanian akhbar ini mendedahkan beberapa perkara dan pada masa yang sama merelevankan isu-isu nasional. Namun pihak yang tidak senang dengan Utusan seolah-olah menganggap isu-isu mengenai agenda Melayu tidak lagi relevan, seolah-olah isu Melayu ini adalah isu yang cauvinis bagi golongan bukan Melayu.

Pada hal, apa yang dibangkitkan oleh Utusan ini cukup relevan dengan masalah nasional. Adakah membangkitkan isu Melayu itu dianggap sebagai perkauman. Bagi saya, Utusan harus menjadi suara kepada keseluruhan orang Melayu dengan tidak sedikit pun berhajat untuk mengetepikan kepentingan lain-lain kaum. Ada media, ada akhbar yang memaparkan isu kaum tertentu tetapi mengapa mereka tidak pula dianggap sebagai cauvinis.

Apa yang diperjuangkan oleh Utusan ini adalah soal bagaimana 'keindukan' negara kita ini harus dipertahankan supaya generasi Y (generasi muda) sedar bahawa apa yang dinikmati oleh mereka sekarang adalah hasil perjuangan nasionalis dalam Utusan serta pemimpin politik terdahulu.

Kita mungkin generasi X (generasi tua) tetapi generasi Y sekarang yang tidak membaca Utusan dan media arus perdana lain merasakan, apa yang dinikmati sekarang adalah kerana meritokrasi mereka sendiri, bukan disebabkan perjuangan terdahulu dan di sinilah peranan yang harus dimainkan oleh Utusan.

Oleh yang demikian, walaupun Perdana Menteri mengatakan bahawa beberapa isu yang dibangkitkan Utusan adalah pandangan pengarang dan bukannya pendirian kerajaan tetapi suara Utusan adalah suara kita, suara orang Melayu keseluruhannya, suara denyut nadi dan pemikiran orang Melayu.

Ya...Sekarang orang Melayu berpecah tetapi, salahkah Utusan yang menjadi darah daging orang Melayu menyuarakan rasa sebenar orang Melayu tanpa disaluti rasa dendam terhadap kaum lain, tanpa mengenepikan teras negara kita sebagai sebuah negara majmuk. Kemajmukkan ini diterima oleh semua tetapi soalnya sekarang adalah usaha pihak tertentu untuk melakukan peminggiran secara sistematik terhadap Utusan yang menjadi suara orang melayu.

Oleh kerana banyak agenda nasional yang diteraskan oleh kerajaan untuk membangunkan orang Melayu masih belum mencapai sasaran, Utusan tidak seharusnya berada di persimpangan hanya kerana serangan daripada pihak yang tidak senang dengan suara- suara orang Melayu. Bagi saya secara peribadi, Utusan kena terus menyuarakan denyut nadi dan pemikiran orang Melayu.

Dahulu, mungkin antara kita mengharapkan sebuah pergerakan politik tetapi pergerakan parti politik itu tidak lagi menyuarakan pemikiran orang Melayu. Mereka yang dulunya cukup lantang kini sudah bertukar menjadi liberal. Jadi, untuk mengharapkan mereka terus bersuara bagi mempertahankan kepentingan orang Melayu, saya tidak fikir mereka akan berani lagi bertindak demikian.

Malah ada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dianggap sebagai terlalu perkauman dan ada pihak tertentu memberi cadangan serta pandangan kepada kerajaan supaya meminggirkan ahli politik yang menerajui NGO tersebut, sedangkan dia bersuara atas platformnya sebagai ahli politik bebas dan sebagai peneraju kepada sebuah NGO demi kepentingan orang Melayu.

Mengapakah ini saya bangkitkan? Saya bangkitkan kerana apakah tidak relevan lagi bagi orang Melayu membangkitkan isu Melayu. Sekali lagi saya tegaskan, tanpa mengetepikan hak dan kepentingan bangsa lain. Kalau orang lain membangkitkan isu mengenai kaum mereka, kita tidak marah tetapi kenapa bila kita bangkitkan mengenai kaum kita, mereka menuduh kita perkauman.

Sebabnya kerana antara kita orang Melayu sudah tidak ada lagi kesatuan pemikiran, tidak ada lagi penyatuan di kalangan orang Melayu. Bila kesatuan itu tidak ada, maka senanglah kita diperkotak-katikkan oleh pihak tertentu tetapi jangan dalam keadaan ini menyebabkan kita seolah-olah berada di satu persimpangan. Kita tidak boleh berhenti di persimpangan, jalan kita mesti lurus.

Kepada pihak yang gemar melabelkan kaum Melayu sebagai perkauman, mereka ini sepatutnya melihat bagaimana toleransinya kaum Melayu. Lihat sahaja kejayaan orang Cina yang tinggal di kampung Melayu, urusan hidup dan perniagaan mereka berjaya kerana dibantu oleh orang Melayu tetapi berapa ramaikah orang Melayu di kawasan kampung baru yang majoritinya masyarakat Cina mampu berjaya?

Apakah mereka dibantu? Saya tidak membangkitkan rasa perkauman tetapi ia sesuatu yang harus kita fikirkan. Adakah hakikat toleransi ini menyebabkan kita terus mahu dipinggirkan.

Pengamal-pengamal media adalah pemikir dan pemikiran yang dicetuskan oleh Utusan bukan hanya untuk generasi terdahulu, hari ini dan generasi Y tetapi orang juga melihat kelak bagaimana relevansi ini harus ada kesinambungan dan bukan hanya sekadar kita mahu menyedarkan orang Melayu tetapi apa yang lebih penting untuk kesinambungan generasi akan datang.

Meskipun kita berhasrat untuk menjadi bangsa yang bertaraf antarabangsa tetapi ia tidak bermaksud kita harus korbankan identiti bangsa kita. Lihat sahaja sebuah negara jiran yang kononnya atas semangat mahu memupuk integrasi dengan memansuhkan sekolah aliran kebangsaan dan sebagainya tetapi akhirnya di mana identiti mereka? Benarlah dari segi wajah kita mampu mengenal pasti siapa mereka tetapi identiti yang menjadi cerminan bangsa itu sudah hilang.

Akhir sekali, saya sekali lagi menyeru Utusan supaya terus menjadi pemangkin kepada denyut nadi orang Melayu, pemangkin kepada pemikiran orang Melayu dan juga pemangkin kepada suara orang Melayu keseluruhannya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Apa isyarat keputusan Pilihan Raya Sarawak

Posted:

Apa isyarat keputusan Pilihan Raya Sarawak

Apa isyarat keputusan Pilihan Raya Sarawak

SAYA turut berada di Sarawak ketika pilihan raya negeri tahun 2006 yang ketika itu boleh dijangka dengan mudah tetapi pilihan raya kali ini menguji kekuatan dan kelemahan politik kepartian yang diamalkan selama ini.

Akhirnya, apabila keputusan diumum, ia tidak memeranjatkan terutama yang mengikuti kempen tiga hari terakhir. Malahan, keputusan ini dianggap satu yang istimewa buat Barisan Nasional (BN) dalam suasana politik yang dipenuhi dengan kecemasan dan pelbagai andaian.

Bagi pembangkang, pelbagai kaedah digunakan untuk meruntuhkan moral BN sejak awal sehingga ke hari pengundian tetapi realitinya, pengundi Sarawak masih membekalkan peluang kepada BN untuk membuktikan bahawa ia komited untuk 'menerajui perubahan'. Walaupun pada awal ada tanda-tanda akan berlaku protes, kecewa, merajuk dan marah dengan tingkah laku pemimpin tertentu, kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Pengerusi BN bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya mengubah sentimen pengundi sekali gus membuatkan imaginasi pembangkang tercalar walaupun berkeyakinan menang dua pertiga di hari pengundian.

Walaupun BN berhadapan dengan satu siri pilihan raya kecil sejak Mac 2008 yang akhirnya keputusan seimbang dan tidak berpihak kepada mana-mana parti, namun pilihan raya negeri kali ini merupakan ujian pertama sejak Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara pada April 2009. Keupayaan menang 55 kerusi, kurang tujuh kerusi daripada sebelumnya menunjukkan nilai 'kepimpinan' beliau diiktiraf dalam suasana politik yang tidak menentu.

Walkabout ke serata Sarawak disertai dengan pelbagai program dan aktiviti sepanjang hari oleh beliau dan Muhyiddin memberi keyakinan dan kepercayaan bahawa hubungan 'pusat-negeri' penting bagi majoriti pengundi jika mahukan politik pembangunan diteruskan dan pada waktu yang sama, menghormati pembaharuan persekitaran yang kian mencabar.

Kempen pilihan raya banyak tertumpu kepada 'politik konfrantasi' dan 'politik pujukan'. Pembangkang secara tersusun memberi tumpuan ke atas isu kepimpinan, tanah adat, agama, integriti dan rasuah, manakala BN mahukan proses pembangunan dilihat kemampuan BN untuk mentadbir.

Jika pembangkang cuba mempengaruhi persepsi pengundi dengan politik berasaskan kepada maklumat dan hujah serta teknologi sehingga ribuan membanjiri siri ceramah mereka, BN pula di sebaliknya. Isu yang dibawa menjurus kepada 'kejujuran' Najib untuk meneruskan tradisi perubahan ke atas pembangunan dan bersedia berbincang dan melahirkan kepercayaan ke atas sejarah dan keupayaan semasa.

Kempen rumah ke rumah dan pertemuan dalam kelompok kecil lebih efektif walaupun tidak agresif. Jika pada awal BN dilihat defensif akhirnya kehadiran pemimpin utama tanah air telah memberi nilai tambah ke atas pencapaian BN.

Populariti Najib-Muhyiddin membawa lembaran baru di Sarawak untuk mengimbangi kelesuan nilai kepimpinan negeri. Jaringan kepimpinan akar umbi merupakan hambatan kepada BN dan barangkali SUPP tewas di 13 kerusi kerana hilang hubungan peribadi dengan penduduk setempat terutama di kawasan bandar.

SUPP perlu bertanggungjawab atas kegagalan menawan pusat pentadbiran negeri yakni kekalahan di Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Lintang dan Batu Kawah, kesemuanya di Kuching. Bandar pentadbiran kini dikuasai lima serangkai. Malahan dalam kempen dinyatakan bahawa walaupun pembangkang menjadi ADUN, Kuching akan tetap dibangunkan oleh kerajaan negeri? Keyakinan yang berlebihan pada sejarah yang pengundi akan meneruskan sokongan tradisi sudah tidak relevan jika masing-masing tidak mahu 'berubah' mengikut peredaran masa.

Pemilihan calon juga penting. Bila dikatakan 'winneable candidate', calon mestilah tahu keperluan, kemahuan pengundi dan bukan diri sendiri atau penyokongnya. Lebih daripada itu, bacaan ke atas 'mindset' pengundi perlu dilakukan bukan hanya para strategis tetapi pemimpin sendiri. Kaedah berkempen sudah berubah. Jika masih mahu menggunakan poster lama yang tidak kreatif, hambar dan tidak ada keunikan, sukar menembusi minda pengundi. Kini, trendnya adalah untuk menyelongkar minda dan hati pengundi agar dapat meraih sokongan.

Keterbukaan perlu ada, ruang untuk menyampaikan maklumat dan menerima informasi agar membentuk hubungan dua hala dan bukannya menerusi orang ketiga. Jika pemimpin berjiwa elitis, maka pengundi akan membuktikan bahawa mereka adalah 'raja'. Pemimpin mesti berjiwa muda, berkelayakan dan terlatih menjadi speaker. Kupasan isu secara sistematik, tersusun dan lancar dapat meyakinkan pengundi.

Pemimpin dan sekutu perlu membuat 'home work' dan bersedia awal secara terancang dengan isu yang bakal dibawa oleh lawan supaya mudah menepis apa sahaja isu yang dibawa. Kempen pilihan raya tidak lagi boleh dilayan seperti 'rutin harian' seperti dahulu. Persiapan rapi perlu jika mahu menang dengan bergaya terutama memenangi hati pengundi dengan kepercayaan ke atas isu. Politik angka tidak melihat kepada undi popular tetapi bilangan kerusi yang dimenangi walau dengan satu undi sekalipun.

Isyarat pengundi jelas iaitu terajui perubahan dengan integriti, amanah ke atas hal dan tanggungjawab, serta kejujuran calon dan parti. Malahan, signal sama sudah diberikan oleh pengundi Cina pada pilihan raya negeri 2006. Kenapa tidak ada sebarang langkah diambil di peringkat akar umbi untuk membina semula jaringan hubungan pemimpin dan pengikut apabila sokongan terhakis sebanyak 17 peratus jika dibandingkan dengan tahun 2001.

Kini mereka menolak habis-habisan. Barang sesiapa bertanding di bandar dengan majoritinya adalah pengundi Cina, mereka boleh menang jika lawannya BN. Itulah hakikatnya walaupun kawasan luar bandar masih meneruskan keyakinan ke atas BN. Parti mesti menampakkan kesungguhan, sekata dan sepakat dalam era merentasi keetnikan dan kelas di Sarawak. Kepimpinan lama dan kepentingan peribadi harus diketepikan dalam kedudukan semasa kerana jika masih berkeras, ia seolah-olah meranapkan semangat, keazaman dan motivasi untuk mengekalkan Sarawak sebagai 'deposit selamat' BN. Apakah kemasukan ahli baru berorientasikan etnik Cina perlu menjadi alternatif?

Pemimpin yang sayangkan parti tanpa membenarkan faktor keluarga dan sanak- saudara mempengaruhi keputusan kebangsaan adalah 'wira bangsa'. Hanya masa dapat menentukan sama ada pemimpin bersedia berundur dengan sukarela ataupun diheret untuk melepaskan jawatan tersebut. Ini kerana walaupun menang di kawasan sendiri, harus disedari ia adalah kubu kuat dan wujudnya semangat assabiyah.

Pemimpin liabiliti perlu memberi ruang kepada Najib untuk mempercepatkan proses penukaran kepimpinan kerana ia akan dilihat bagaimana beliau membantu 'meremajakan' kepimpinan parti. Pelan 'Lautan Biru' dan pemikiran di luar kotak dalam politik hari ini penting kerana ia bukan lagi persoalan siapa benar dan salah tetapi nilai kepercayaan yang tinggi. Malahan, perang psikologi mendominasi pilihan raya kali ini. Bukan sahaja melalui poster dan kain rentang yang mempengaruhi pemikiran pengundi, malah teks ringkas turut dihantar melalui telefon bimbit, Facebook dan Twitter.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN

Timbalan Dekan, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan