Kosmo Online |
Seludup syabu guna penerbangan domestik Posted: Seludup syabu guna penerbangan domestik30/04/2011 6:25pm JOHOR BAHARU - Polis berjaya mematahkan cubaan dua lelaki warga Iran menyeludup 4.55 kilogram dadah jenis syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail, Senai, dekat sini, Rabu lepas. Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif, hari ini berkata kedua-dua lelaki yang menaiki penerbangan domestik dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang ditahan sebaik tiba di sini pada pukul 4.30 petang. Kedua-dua suspek berusia 22 dan 27 tahun itu, yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa, ditahan selepas polis menemui dadah tersebut disorok dalam ruang khas sebuah beg troli milik kedua-dua lelaki itu. Katanya hasil tangkapan itu dilakukan oleh gerakan bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Johor dan Bukit Aman. "Dadah tersebut dianggarkan bernilai RM1.2 juta di pasaran tempatan dan boleh dibekalkan kepada 15,000 penagih," katanya pada sidang media di sini. - Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Posted: Tiga kereta polis remuk30/04/2011 6:25pm KUALA LUMPUR - Tiga kereta peronda polis rosak dirempuh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang suspek pecah rumah yang bertindak nekad untuk meloloskan diri daripada ditahan di Taman Mutiara, Cheras, dekat sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata, dalam kejadian 7.30 pagi itu, ketiga-tiga kereta peronda polis cuba menghalang kereta suspek di kawasan perumahan itu selepas lelaki itu dilaporkan cuba memasuki sebuah rumah dua tingkat di taman itu. Bagaimanapun, polis berjaya menahan suspek berusia 52 tahun itu selepas dikejar selama 30 minit di sekitar kawasan perumahan itu, katanya pada sidang media di di sini. Mohan berkata polis turut menemui pelbagai jenis peralatan dalam kereta suspek antaranya pemutar skru dan tukul yang dipercayai digunakan untuk memecah rumah. Katanya kejadian itu bermula apabila sebuah kereta peronda polis dihantar ke Taman Mutiara setelah polis menerima panggilan daripada seorang wanita bahawa terdapat seorang lelaki yang tidak dikenali dan mencurigakan berada di perkarangan rumahnya. Katanya suspek yang terkejut dengan kehadiran polis segera melarikan diri dari perkarangan rumah itu dengan menaiki sebuah kereta sebelum anggota polis mengekori kereta tersebut. Menurutnya anggota polis dalam kereta peronda itu kemudian meminta bantuan dua kereta peronda lain apabila suspek enggan memberhentikan kereta dan cuba melarikan diri dari kawasan taman perumahan itu. Mohan berkata suspek kemudian melanggar kereta peronda ketika cuba disekat tetapi anggota polis berjaya memberkasnya. Beliau berkata suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menceroboh. - Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Gangguan bekalan air di Wilayah Posted: Gangguan bekalan air di Wilayah30/04/2011 1:21pm KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Wilayah Petaling dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air sementara akibat kerja-kerja menaik taraf sistem bekalan air oleh kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) pada 9, 11 dan 12 Mei ini. Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syabas, Abdul Halem Mat Som berkata gangguan pada 9 Mei (Isnin) membabitkan kawasan Wilayah Petaling yang bermula dari 10 malam hingga 6 pagi keesokannya ekoran kerja-kerja pengalihan paip sedia ada bersaiz 600MM dan 200MM di tapak pembangunan Setiawalk, Bandar Puchong Jaya Fasa 1. Kawasan yang terlibat ialah Koi Tropika Puchong, Puchong Indah, Puchong Perdana, Puchong Permai, Puchong Prima, Taman Industri Puchong, Perindustrian Puchong Utama, Tasik Prima, Perindustrian Maju Jaya, Jalan Puchong Batu 13, Puchong Permata, Pusat Bandar Puchong dan Sri Puchong, katanya dalam kenyataan hari ini. Abdul Halem berkata gangguan pada 11 Mei (Rabu) dari 10 malam hingga 6 pagi keesokannya pula membabitkan kawasan Wilayah Sepang iaitu seluruh Taman Putra Perdana dan Taman Nusa Putra. "Gangguan ini disebabkan kerja-kerja membekal dan memasang injap serta pemasangan dalam zon penyediaan injap keruk," katanya. Gangguan pada 12 Mei (Khamis) pula membabitkan kawasan Pusat Bandar Puchong dan Perindustrian Pusat Bandar Puchong dalam Wilayah Petaling yang juga bermula dari 10 malam hingga 6 pagi keesokannya berikutan kerja-kerja pengalihan paip sedia ada bersaiz 500MM di Tapak Pembangunan Setiawalk. Pengguna dinasihatkan menyimpan bekalan air secukupnya serta menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan tersebut, katanya. Sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau melalui pesanan khidmat ringkas (SMS) dengan menaip PUSPEL jarak aduan/pertanyaan dan hantar ke 39222. Informasi berhubung perkara itu juga boleh diperolehi dari laman web Syabas di www.syabas.com.my, www.twitter.com/puspel dan di laman facebook dengan menaip puspel atau puspel syabas. - Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan