Jumaat, 29 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Elak terperangkap cara Barat

Posted:

Elak terperangkap cara Barat

Elak terperangkap cara Barat

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my

SATU persidangan meja bulat anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini membangkitkan beberapa persoalan yang bagus antaranya, adakah pendapatan tinggi menjamin keselesaan hidup dan nilai murni masyarakat?

Dengan tajuk Jawapan Umat Islam Kepada Era Keruntuhan Sistem Ekonomi Kapitalisme, persidangan itu turut mendedahkan kegagalan negara maju yang berjaya dari segi zahir tetapi gagal dari segi nilai murni dan sosial.

Anggota panel persidangan dan Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan menjelaskan, senario ekonomi dunia kini yang masih mengamalkan kapitalisme membawa kepada 75 peratus kekayaan global dipegang oleh 20 peratus daripada 6.7 bilion penduduk paling kaya.

"Bagi 40 peratus penduduk paling miskin seluruh dunia, mereka hanya berkongsi lima peratus kekayaan dengan sekitar 1.8 bilion orang hidup dengan pendapatan kurang AS$2 (RM5.97) sehari pada 2008.

"Walaupun ada tokoh dan cerdik pandai Barat yang mengkritik sistem kewangan Barat, mereka masih tidak pergi kepada puncanya dan kerana itu tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Jelasnya, sistem kapitalisme memberi fokus kepada pencapaian ekonomi iaitu KDNK (keluaran dalam negara kasar) serta penekanan untuk peningkatan pendapatan per kapita dan bukannya keadilan dalam pengagihan kekayaan.

"Saya tidak setuju dengan cara ini. Islam memberi keutamaan kepada penyusunan kehidupan manusia di peringkat individu, keluarga dan masyarakat untuk membina tamadun," ujarnya.

Nik Mustapha memberi contoh peradaban di Barat yang kini sukar untuk memberi definisi keluarga dengan pelbagai masalah sosial sehinggakan lelaki dan perempuan boleh kahwin dengan sama jantina.

"Janganlah kita berlagak pandai daripada tuhan. Jika cara hidup sudah songsang, siapa yang akan mendokong masyarakat yang semakin berusia kelak?

"Kita juga perlu menilai di mana silapnya sistem pendidikan 11 tahun di sekolah negara ini yang gagal mengajar nilai-nilai keagamaan kepada muda-mudi yang kini menjurus kepada cara Barat," tegasnya.

Katanya lagi, antara permasalahan yang timbul dengan kapitalisme termasuk sifat rakus dan mementingkan diri yang dipupuk dalam individu yang seterusnya membawa kepada penindasan, penipuan, penyalahgunaan kuasa, amalan rasuah.

Tambahnya, usaha menyelesaikan masalah ekonomi sepatutnya fokus kepada kelemahan akibat menggunakan sistem kapitalisme dan bukannya sekadar kepada petanda zahir seperti inflasi dan pengangguran.

"Umum perlu dijelaskan dengan takrif riba dan perlu memahami sistem kewangan semasa supaya bersama dapat mengubahnya kepada sesuatu yang lebih baik dan kukuh," ujarnya.

Nik Mustapha dengan itu mencadangkan satu Dasar Pembangunan Negara yang bersepadu meliputi semua aspek termasuk individu serta keluarga dan bukan sekadar ekonomi sahaja.

"Selain KDNK dan pendapatan tinggi, kita perlu bersifat proaktif dalam menyusun negara ke arah mencetus kegiatan ekonomi, membasmi kemiskinan, mencapai guna tenaga penuh, kos sara hidup yang rendah dan agihan kekayaan yang saksama (adil)," tegasnya.

Seorang lagi anggota panel persidangan tersebut, Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail dari Fakulti Peniagaan dan Perakaunan, Universiti Malaya (UM) berpendapat rakyat perlu dijelas dan memahami bahawa harta dan kebendaan bukan perkara utama dalam hidup.

"Nilai murni seperti belas dan tolong-menolong menjadi asas untuk menjamin kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan, bukannya asyik berebut kek ekonomi sampai 'hancur berkecai' kek itu.

"Rakyat terutamanya yang bergama Islam jangan tertipu dengan kekayaan semata-mata kerana hidup juga perlu ada nilai-nilai dan pengisian untuk membawa makna dan kesejahteraan berkekalan," katanya.

Beliau menyarankan semua pihak termasuk rakyat dan pemerintah mengambil iktibar daripada situasi di Barat dan negara maju lain yang kaya tetapi tidak dapat menjamin kesejahteraan rakyatnya.

"Amalan riba dan berhutang (dalam kapitalisme) akan membawa kepada kemelut kewangan sedangkan kesejahteraan jangka panjang masyarakat tidak bergantung kepada tahap pendapatan.

"Pada zahirnya, negara maju berjaya dengan pendapatan tinggi tetapi kesemuanya mengalami krisis berulang kali," jelasnya.

Menurut Mohd Nazari, Jepun mengalami kemelesetan ekonomi teruk sejak 1989 kerana amal riba dan kapitalisme serta membenarkan berlakunya spekulasi sementara Amerika Syarikat (AS) menghadapi krisis ekonomi sejak abad ke-18 lagi tetapi terus mengamalkan berhutang.

"Negara maju lain seperti Greece, Iceland, Ireland, Korea Selatan dan Singapura juga menghadapi pelbagai masalah berikutan amalan riba dan hutang melalui sistem kapitalisme.

"Singapura mempunyai kadar bunuh diri tertinggi Asia Tenggara dan 20 peratus rakyatnya mahu berhijrah ke negara lain sementara ramai yang 'lari' ke Malaysia di hujung minggu," ujarnya.

Beliau mendakwa, sebilangan warga pulau kecil itu menyatakan tidak tahan tinggal di sana dan menganggap sebagai 'pejabat' sahaja dan memilih untuk tinggal di negara jiran.

"Korea Selatan yang memintas pembangunan negara kita pula tersungkur ketika gawat 1997 akibat terlalu banyak berhutang untuk memacu pembangunan ekonomi mereka.

"Negara kita terselamat ketika itu kerana tidak banyak berhutang dan tidak terjejas ketika matawang jatuh mendadak kerana lebih bergantung kepada pelaburan langsung asing (FDI)," jelasnya.

Beliau menasihatkan supaya rakyat Malaysia tidak terperangkap dengan mengikut sepenuhnya cara dan model negara maju kerana masalah yang mereka hadapi juga bakal menyusul.

"Apa yang penting adalah pemahaman tentang sistem kapitalisme supaya kita dapat mengubahnya walaupun perlahan-lahan dan kesanggupan untuk mengubah nilai diri supaya tidak tamakkan kebendaan," tegasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sejuta rakyat kita berhijrah ke luar negara

Posted:

Sejuta rakyat kita berhijrah ke luar negara

Sejuta rakyat kita berhijrah ke luar negara

Saranan Salleh

BANK Dunia kelmarin menyatakan terdapat sejuta rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara. Tentu sekali angka ini jauh lebih tinggi daripada apa yang kita pernah diberitahu iaitu antara 300,000 sehingga 500,000 sahaja.

Brain drain memang suatu fenomena yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan kerana ia melibatkan beberapa perkara.

Pertama, tentu sekali dalam usaha kita untuk meningkatkan tahap tenaga kerja berkemahiran supaya kita sebagai sebuah negara dapat beralih ke rantai nilai teknologi dalam pelbagai bidang ke tahap yang lebih tinggi dan canggih.

Kita ketinggalan dalam menarik pelaburan langsung asing walaupun pada 2010, pelaburan yang kita terima sebanyak AS$9 bilion lebih baik daripada AS$1.4 bilion yang kita terima pada 2009.

Perbezaan angka dengan negara jiran kita begitu jauh berbeza. Kita hakikatnya tidak mampu menampung pelabur yang membawa masuk teknologi yang memerlukan tenaga kerja mahir untuk mengendalikan pelbagai peralatan, jentera dan perisian.

Apa yang penting ialah kita menyedari keadaan kita ini. Kita menyedari yang kita ditinggalkan oleh jiran-jiran yang pada suatu masa dulu sama setanding dengan kita.

Di antara usaha yang menunjukkan kita melakukan sesuatu adalah mengiktiraf perlunya kita memberikan tumpuan yang sama kepada sekolah-sekolah vokasional dan teknikal. Bilangan yang disalurkan ke arah sekolah jenis ini dapat ditingkatkan daripada 10 peratus mungkin kepada 30 peratus atau 40 peratus.

Mungkin untuk membantu kita dari segi tenaga pengajar kita boleh mendapat bantuan daripada negara seperti Korea Selatan dan Jepun atau negara-negara Eropah seperti Belanda dan negara sebelah sini seperti Australia.

Suatu lagi langkah yang telah pun diumumkan dan ditubuhkan untuk melihat pengaliran keluar mereka yang mahir ini ialah Perbadanan Bakat. Kita percaya perbadanan ini perlulah mengenal pasti pelbagai sebab kenapa seseorang rakyat Malaysia itu sanggup berhijrah ke negara lain.

Perbezaan gaji dan faedah yang tinggi antara bekerja di luar negara dan di negara ini mungkin suatu tarikan tetapi banyak lagi perkara lain yang mungkin dijadikan sebab penghijrahan.

Antara yang disebut-sebut oleh kawan mereka yang berhijrah ialah sistem pendidikan kita yang kepada sesetengah orang menganggap tidak sesuai untuk anak-anak mereka.

Kepada mereka yang menggunakan ini sebagai alasan untuk berhijrah tak mampulah kita hendak menarik mereka balik kecuali kita sanggup mengubah beberapa perkara seperti keutamaan kepada bahasa Inggeris.

Memang tidak dapat kita nafikan suasana di tempat kerja antara negara luar dan negara kita berbeza, misalnya dari segi peluang untuk kenaikan pangkat, imbuhan dan lebih-lebih lagi pengiktirafan pihak majikan yang kadangkala dikatakan bersifat diskriminasi.

Peluang kerjaya masa depan yang tidak jelas dalam syarikat-syarikat kadangkala menjadi perangsang kepada pekerja untuk bekerja di negara lain yang mana prestasi diberikan pengiktirafan.

Tidak hairan juga kalau kemahiran yang dimiliki oleh seseorang itu tidak dapat digunakan di negara ini misalnya dalam bidang kedoktoran kerana pengkhususannya begitu canggih, atau kalau boleh digunakan di luar negara lebih diiktiraf dari segi pembayaran gaji dan kemudahan dan sebagainya.

Kita percaya Perbadanan Bakat akan mengambil kira faktor-faktor yang menyebabkan seseorang itu berhijrah supaya kita tidak memujuk balik yang tidak lagi berminat untuk sama-sama menyumbang ke arah hasrat kita untuk menjadi negara maju dan berpendapatan tinggi.

Sesiapa yang diberikan tanggungjawab mengenal pasti mereka yang layak perlu melihat daripada pelbagai dimensi; betul-betul tidak berat sebelah atau mengorbankan sesuatu proses pemilihan yang telah ditetapkan dan terpengaruh dan unsur-unsur yang kurang sihat.

DATUK SALLEH MAJID ialah bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur (kini Bursa Malaysia).

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan