Rabu, 27 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Kuasa undi pemilih berdaftar

Posted:

Kuasa undi pemilih berdaftar

Kuasa undi pemilih berdaftar

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

JIKA dirungkai Daftar Pemilih Berdaftar setakat Disember 2010, pengundi berusia antara 50 hingga 59 tahun hanya 2,285,201 orang atau 19.35 peratus daripada keseluruhan 11,811,452 orang.

Daripada kesemua pengundi berdaftar itu pula, golongan muda yang dikategorikan dari usia 21 hingga 39 tahun merangkumi 4,520,456 orang atau 38.28 peratus. Yang berumur 21 hingga 29 tahun sahaja mencecah 1,822,102 orang atau 15.43 peratus.

Setakat ini juga sejumlah 3,939,247 orang yang melepasi had kelayakan umur untuk mengundi masih gagal mendaftarkan diri.

Angka di atas bukan sekadar statistik. Jika diperhalusi, ia sebenarnya mencerminkan trend bahawa pengundi yang berusia lebih 50 tahun kini tidak lagi ramai. Ini bermakna pengundi yang lahir pada tahun 1960, tiga tahun selepas merdeka semakin menyusut bilangannya.

Dan jika sesebuah parti masih mengharapkan isu atau sentimen kenegaraan atau semangat merdeka itu sendiri - dalam mencongak perkiraan untuk meraih undi mereka - ia mungkin kian terhakis pada Pilihan Raya Umum ke-13 sekiranya pola pengundi itu diambil kira.

Bayangkan pula jika hampir empat juta orang yang diandaikan semuanya pengundi muda, bagaimana agaknya trend atau pola pengundian mereka. Sudah tentu isu pada awal merdeka tidak lagi sama dengan sentimen masa kini yang diasak oleh arus teknologi maklumat dengan kandungan pelbagai isu dalam blog-blog yang berceleparan di ruang siber.

Kerana itu jugalah Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 tempoh hari menampilkan ramai calon muda yang barangkali 'disesuaikan' dengan data daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu. Kombinasi calon muda dan calon berpengalaman mewarnai pilihan raya tersebut dengan purata calon DAP sendiri berumur sekitar 39 tahun.

Malah bukan setakat Sarawak, di sebelah Tambak Johor, PAP dan parti pembangkang di Singapura turut bersandarkan masa depan mereka kepada calon muda.

Walaupun banyak calon pembangkang di Singapura adalah muka baru tetapi mereka orang muda yang karismatik dan sedia mendepani risiko. Kualiti calon-calon pada pilihan raya umum Singapura kali ini juga menyandarkan kepada isu-isu yang berasas dan berhubung rapat dengan rakyat.

Namun di sebalik semua ini, sesuatu yang harus direnung daripada Daftar Pemilih SPR ialah apakah populasi daftar pemilih itu mewakili parti-parti yang bertanding selain pengamatan asas mengikut komposisi Melayu, Cina dan India. Sekiranya mendaftar sebagai pemilih tetapi tidak memegang keahlian parti, ia hakikatnya tidak menjanjikan sebarang makna.

"Ini kerana parti itu sendiri menjadi pencetus kepada semangat kenegaraan dan sekarang gagasan 1Malaysia. Jika individu itu dibiarkan hidup sendiri dan sukarela mengundi mengikut kehendaknya dengan membuang undi berpandukan sentimen sesuatu isu semasa, maka parti yang benar-benar berwibawa untuk dipilih rakyat, sudah pasti tidak akan kekal mandatnya.

"Lama kelamaan kesedaran politik terhakis meskipun ada demokrasi di situ. Jika ini berlaku, orang muda tentu tidak akan mempelajari dan mendalami pemikiran politik yang matang selamanya," kata pensyarah kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Prof. Madya Mohamad Md. Yusof kepada Utusan Malaysia.

Atas sebab inilah Mohamad mengingatkan bahawa trend politik masa kini di Malaysia menuntut seseorang pemilih itu juga menjadi ahli sesebuah parti politik. Atau ahli parti itu sendiri mendaftarkan dirinya sebagai pengundi.

Dengan ahli UMNO yang mencapai angka 3.4 juta orang, apakah mereka sudah berada dalam senarai pengundi, soal Mohamad.

Beliau menarik perhatian bagaimana kesedaran politik dilihat agak tinggi di kalangan golongan muda Cina sekarang. Ditambah pula dengan kedudukan ekonomi kaum itu lebih stabil dan pengetahuan mereka yang lebih ke depan.

"Pengundi muda jika tidak diikat dengan doktrin parti, mereka boleh terawang- awang sehinggakan boleh 'beli' negara dengan kuasa undi mereka," katanya.

Berkongsi hal yang sama, seorang kakitangan SPR pernah memberitahu penulis bahawa sebuah parti pembangkang kelihatan lebih jujur dalam usahanya untuk meningkatkan jumlah pengundi berdaftar.

Tahun lepas, ketika SPR membuka kaunternya di sebuah pusat beli-belah di Cheras, penolong pendaftar sementara (PPP) dari parti Cina itu berada sepanjang hari - pagi hingga petang - di sana. Mereka menunggu dengan penuh sabar di setiap pintu utama gedung itu dengan menyapa orang ramai memaklumkan peri pentingnya mendaftar sebagai pemilih.

Dari segi SPR, suruhanjaya itu telah menjalankan kerjanya. Namun, dari segi politik, tentunya satu kerugian jika tidak bijak meraih peluang ini. Bayangkan jika hampir empat juta yang belum mengundi mengambil keputusan untuk mendaftar bulan ini. Dan dalam pemikiran empat juta orang itu kita andaikan pula 'kosong tentang politik' - tidak tahu apa tujuan berpolitik dan ideologi perjuangan sesebuah parti. Kemudian datang pula Pilihan Raya Umum Ke-13 November ini. Bayangkan.

Apa pun bagi Mohamad, tanggungjawab seseorang pengundi bersandarkan dari segi demokrasi memang betul. Namun jika rakyat mahu melihat sesebuah kerajaan itu mantap dengan kekuatan majoriti dua pertiga, maka ia perlu disokong oleh parti yang kukuh.

Kata beliau: "Yang penting sekarang ialah merekrut ahli yang turut mendaftar sebagai pengundi. Cuma berapa ramai yang telah direkrut oleh UMNO, MCA dan MIC? Sebab itu kita perhatikan tidak wujud lagi undi kolektif. Dulu letak apa sahaja, tiang lampu pun, sebuah parti itu pasti menang.

"Sebabnya, undi itu didukung oleh ahli parti yang menjadi pengundi, tapi sekarang..." komen Mohamad.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Propaganda DAP hasut Cina benci BN

Posted:

Propaganda DAP hasut Cina benci BN

Propaganda DAP hasut Cina benci BN

Oleh IBRAHIM YAHAYA

PROPAGANDA, adalah mesej-mesej bersepadu yang bertujuan mempengaruhi pendapat atau kelakuan orang ramai. Berbanding dengan menyalurkan maklumat tanpa berat sebelah, propaganda dalam erti kata paling asasnya menyediakan maklumat dengan tujuan mempengaruhi masyarakat.

Propaganda sering memilih fakta-fakta dengan teliti untuk menggalakkan sintesis yang tertentu, ataupun menokok tambah agar menimbulkan maklum balas yang lebih beremosi daripada rasional kepada maklumat yang diberi. Hasil yang diinginkan ialah perubahan dalam penceritaan kognitif mengenai subjek oleh kumpulan sasaran untuk melanjutkan agenda politik.

Dalam lain perkataan, mereka yang berjaya menjalankan propaganda dengan sempurna akan memenangi peperangan minda. Inilah peperangan sebenar yang akan dihadapi oleh semua parti politik sekarang. Siapa yang cekap memainkan propaganda, merekalah yang akan menang. Jika BN lemah dari segi propaganda pada masa akan datang, maka pembangkang yang berjaya menggunakannya untuk memenangi peperangan minda itu.

Lihat sajalah bagaimana pembangkang menggunakan strategi propaganda yang bertalu-talu sehingga membentuk pemikiran rakyat untuk menolak BN. Bukan kerana dasar BN yang tidak baik tetapi propaganda yang menggambarkan sebaliknya.

Mereka bukan saja membuat tohmahan tetapi berkata separuh benar. Seperti istilah sudah lama memerintah atau memberikan projek kepada kumpulan tertentu. Apa yang tidak disebut ialah 'lama tetapi berbakti' dan kumpulan 'tertentu' yang dimaksudkan itu adalah syarikat berwibawa dan mampu menjalankan tugas dengan sempurna.

Malah istilah selalu juga diputarbelitkan tanpa memberitahu banyak syarikat lain yang turut mendapat projek selama BN memerintah.

Awal-awal lagi, Anwar Ibrahim sudah membuat propaganda bahawa pembangkang akan memerintah Sarawak. Malah beliau sudah menamakan Baru Bian sebagai bakal Ketua Menteri jika Sarawak berjaya diambil alih.

Anwar dan gerombolannya menjalankan tugas menyerang kubu kuat BN di kawasan pedalaman terutama di mana ramai orang Melayu dan Melanau.

Propaganda mereka ialah jika pembangkang mendapat tempat dalam PRU12 di Semenanjung maka tidak ada sebab rakyat Sarawak tidak memilih mereka dalam PRN ke-10 ini. Yang tidak diceritakannya ialah kegagalan pembangkang memerintah selepas diberi peluang di beberapa buah negeri dan masalah timbul sehingga menyusahkan rakyat.

Yang terbaru berlaku di Kelantan membabitkan tindakan Ladang Rakyat yang mengambil tanah yang diterokai berpuluh tahun oleh rakyat negeri itu.

Ditugaskan pula parti perkauman DAP untuk menggunakan strategi agresif di bandar dengan memburuk-burukkan Tan Sri Abdul Taib Mahmud dengan konotasi sudah lama dalam politik. Hakikatnya pemimpin pembangkang yang lama dalam politik tidak pula ditanya seperti Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Maka ditambah pula 'sudah lama di tampuk' yang menunjukkan seolah-olah Abdul Taib terlalu lama dan tidak membuat sebarang sumbangan. Mereka tidak sekali-kali menyebut sumbangan Abdul Taib sebaliknya melabelkan beliau sebagai orang yang sudah terlalu lama dan perlu turun.

Jika begitu, Kit Siang dan Karpal pun perlu turun. Adakah mereka hendak tunggu kapal tenggelam baru hendak terjun ke dalam air? Atau bersedia untuk memindahkan kepakaran berpolitik di dunia ke akhirat?

Propaganda DAP agar rakyat terutama orang Cina membenci Abdul Taib dijalankan hampir setiap hari. Dalam ceramah mereka menggunakan bahasa Mandarin, Abdul Taib diperlihatkan sebagai seorang yang rakus, tamak dan hanya memikirkan kepentingan diri.

Malah mereka juga sanggup membuat poster yang menyatakan pemimpin Sarawak yang lama seperti anjing tua termasuk Tan Sri Alfred Jabu dan Tan Sri Dr. George Chan.

Dalam poster mereka, apa yang dibuat oleh BN semuanya tidak betul dan merugikan rakyat. Bayangkan mereka boleh memutarkan "Satu Malaysia menjadi Sapu Malaysia" semata-mata pertama untuk memburuk-burukkan 1Malaysia itu sendiri dan kedua mengaitkan dengan tohmahan rasuah.

Apakah mereka sudah lupa bahawa Gagasan 1Malaysia itu adalah pendekatan untuk mendahulukan rakyat? Kempen yang banyak diterajui oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan sudah mula menakutkan pembangkang kerana di mana saja orang menyebut 1Malaysia. Malah Kerajaan Negeri PKR Selangor juga mengharamkan penggunaan 1Malaysia.

Inilah propaganda pembangkang di Sarawak paling berjaya sehingga memikat hati pengundi Cina negeri itu yang selama ini banyak mendapat faedah daripada BN seperti kewujudan kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi di merata tempat sama ada di Kuching, Miri, Bintulu atau Sibu. Melainkan mereka yang menyokong DAP ini adalah daripada kumpulan pelupa atau tidak mahu mengenang budi pemimpin BN termasuk dari kaum mereka.

Pendekatan propaganda agresif ini ditujukan kepada kumpulan di atas pagar yang belum membuat keputusan untuk memilih calon parti yang bertanding. Maka pembangkang terus mendodoikan kumpulan atas pagar ini dengan cerita buruk sehingga pengundi menterjemahkan dalam undi mereka.

Lebih malang mereka sanggup memainkan sentimen perkauman termasuk mempersoalkan mengapa Dr. George Chan tidak berkahwin dengan Cina sebaliknya berkahwin dengan bukan Cina semata-mata untuk menambat hati pengundi Cina.

Apa salahnya berkahwin dengan orang Bidayuh atau Iban? Apakah ini bertentangan dengan masyarakat Cina yang tidak boleh berkahwin dengan kaum lain? Sebenarnya inilah permainan DAP yang mahu menimbulkan rasa kurang senang pengundi Cina termasuk kepada pemimpin BN dari kaum Cina sekalipun.

Di sebaliknya, kerajaan BN terus melakukan usaha yang mendahulukan rakyat. Contohnya Klinik 1Malaysia dan pemberian netbook secara percuma kepada masyarakat yang memerlukan. Usaha kerajaan mengadakan Kampung Tanpa Wayar menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) untuk mewujudkan jalur lebar di seluruh negara juga adalah untuk rakyat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan