Ahad, 24 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Seni lakonan tanpa suara

Posted:

Seni lakonan tanpa suara

Seni lakonan tanpa suara

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA



LELAKI itu leka menatap cermin meja solek di hadapannya. Tangannya membelek satu-persatu peralatan alat solek dalam beg yang dibawa. Di dalamnya ada gincu, celak mata dan bahan pewarna muka.

Dia mengambil span nipis lalu menyapu bahan pewarna yang berwarna putih itu di sekeliling wajahnya.

Sebaik selesai, dia mencalitkan pula gincu berwarna merah terang itu ke bibirnya. Keningnya juga dibentuk dan dihitamkan dengan menggunakan celak.

Asyraf Nazmie Abd. Halim atau lebih mesra dengan panggilan Ash itu sekali lagi membelek wajahnya di sebalik cermin. Dia tersenyum, solekan yang mirip seperti badut itu nampak sempurna di matanya.

"Solekan muka merupakan ciri-ciri kostum tradisional dalam persembahan mime (seni lakonan tanpa suara). Begitu juga sarung tangan putih, topi hitam dan baju berbelang hitam putih.

"Bagaimanapun, perubahan zaman menyebabkan ia dianggap klise, majoriti penggiat mime moden tidak lagi menggunakan kostum begini," kata anak kelahiran Batu Gajah, Perak itu.

Ash mengambil tempatnya di atas pentas. Sebentar lagi dia dan rakannya, Asyraf Maskan akan menjayakan teater Ash in The Ashes: The Mime Show yang berlangsung di Auditorium Taman Budaya Kuala Lumpur itu.

Hatinya berdebar-debar. Ini kali pertama mereka berdua akan mempersembahkan mime dalam bentuk teater di hadapan penonton.

Lazimnya persembahan mime hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit sahaja, kali ini ia akan berlangsung hampir satu jam. Lagi pun teater jenis itu masih lagi asing dalam kalangan peminat seni tempatan.

Sebaik sahaja lampu dinyalakan, kedua-duanya mula beraksi. Suasana sunyi sepi itu sekali-sekala dipecahkan dengan garapan muzik bagi menghidupkan persembahan.

Teater itu mengisahkan kehidupan seorang model bernama Ash yang melalui pelbagai halangan dalam kehidupan dalam menemui cinta sejati bersama kekasihnya, The Magician.

Disiplin mime


MARCEL MARCEAU antara penggiat dari Perancis yang berjaya mempopularkan mime di seluruh dunia.


Persembahan itu berlangsung dengan jayanya. Tepukan penonton sebaik sahaja ia tamat membuktikannya. Ash gembira, nyata latihan berbulan-bulan sebelum ini berbaloi.

Penuntut tahun akhir Sarjana Muda Sistem Informasi Perniagaan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) itu memberitahu meminati mime kerana keunikannya.

Akuinya, berbanding teater atau lakonan biasa, mime menuntut disiplin yang tinggi serta latihan yang berterusan sebelum seseorang itu boleh menguasainya.

Lebih-lebih lagi, ia dipersembahkan tanpa dialog dan menggunakan alatan lakonan yang minuman.

Ujarnya, antara elemen penting dalam persembahan itu ialah bahasa tubuh di samping ekspresi wajah yang bertepatan dengan plot cerita.

"Pada masa yang sama, penggiatnya perlu kreatif dan mempunyai daya imaginasi yang tinggi ketika beraksi. Misalnya, aksi memegang gelas, biarpun ia hanyalah ilusi, saya perlu membayangkannya seolah-olah ia wujud," katanya.

Biarpun ramai mengaitkan seni itu dengan negara Perancis, namun mime dikatakan telah wujud sejak zaman pemerintahan tamadun Yunani dan Rom.

Ketika itu, penggiat-penggiat mime memakai topeng sambil menghiburkan ribuan penonton di panggung seni mime dikenali sebagai Hipotesis. Bangsa Rom kemudiannya telah mengembangkan seni itu ke Itali selepas mereka menguasai Greece.

Pada tahun 1811, mime mula dikembangkan di Perancis oleh Jean Gaspard Batiste Deburau. Dia kemudiannya mengembangkan dan memodenkan mime sehingga ia mula bertapak kukuh di sana.

Sejak itu, mime mempunyai peminat dan pengikutnya serta mula diiktiraf sebagai salah satu cabang seni yang kemudiannya berkembang di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Pengarah teater Ash in The Ashes: The Mime Show, Dr. Shamsul Rahman Mohamed Kutty berkata, seni mime telah lama berkembang di negara ini, tetapi hanya segelintir sahaja yang berminat mendalaminya.

"Selama ini, mime sering menjadi selingan dalam persembahan teater atau pentas serta komedi oleh penghibur jalanan. Bagaimanapun, kali ini kami cuba mengolahnya dalam bentuk teater berskala penuh. Sebanyak 11 plot cerita digabungkan serentak dengan elemen-elemen muzikal bertujuan mempopularkan seni ini dalam kalangan peminat teater tempatan," katanya yang juga merupakan pengasas, Tronoh Theatre Shop (TTS), sebuah kelab teater yang aktif di UTP.


BIARPUN hanya bersandarkan dua watak namun, teater Ash in the Ashes: The Mime Show tetap menghiburkan.


Syamsul berkata, mime lazim dipersembahkan dalam dua bentuk iaitu abstrak atau literal.

Katanya, persembahan abstrak tidak memiliki plot atau watak utama tetapi lebih kepada ekspresi perasaan yang digunakan untuk membangkitkan idea-idea tentang sesuatu subjek yang serius.

"Sementara itu, persembahan literal pula sering menggunakan elemen komedi dan penceritaan. Gerak-geri dan visual menunjukkan plot cerita yang jelas dan biasanya diakhiri konflik lucu yang dialami watak utama.

"Bagaimanapun dalam teater, kedua-dua elemen ini adakalanya digabungkan. Ia juga disesuaikan dengan elemen-elemen moden seperti muzik dan alatan lakonan yang sesuai dengan watak dan plot cerita," jelasnya.

Minat pelajar kejuruteraan

Biarpun mempunyai latar belakang di dalam bidang kejuruteraan awam dan merupakan salah seorang pengajar kursus itu di UTP, namun Syamsul tidak kekok untuk mengembangkan seni mime di negara ini.

Katanya, dia mempelajari seni itu ketika melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Universiti Memphis, Amerika Syarikat sekitar tahun 1997 dahulu.

"Ketika itu, ia lebih kepada kepuasan diri kerana minat yang mendalam dalam bidang seni khususnya teater. Keunikan seni ini menyebabkan saya bertekad untuk mengembangkannya. Melalui TTS yang ditubuhkan pada 2003, saya berpeluang mencurahkan ilmu yang ada sekali gus melahirkan bakat-bakat baru dalam seni ini,," katanya.

Salah seorang pelajarnya, Asyraf atau Acab melakonkan watak The Magician. Pemudah itu memberitahu, dia teruja mempelajari mime kerana tertarik dengan falsafah seninya.

"Ia bukan sekadar persembahan biasa sebaliknya turut melontarkan isu-isu sosial berkaitan masyarakat, politik dan sebagainya," katanya.

Acab berkata, biarpun seni itu tampak mudah dan menghiburkan, namun ia sangat mencabar mental dan fizikal.

"Perkara asas yang perlu diketahui adalah bagaimana berinteraksi dengan penonton menggunakan bahasa tubuh dan ekspresi wajah secara semula jadi.

"Ia memerlukan disiplin tinggi dan proses latihan panjang, lebih-lebih lagi ketika menguasai watak dan plot cerita yang dijayakan," katanya yang berlatih di hadapan cermin dan mempelajari teknik-teknik mime di laman Youtube.


SESEORANG penggiat mime perlu mahir menggunakan bahasa tubuh dan ekspresi muka ketika berinteraksi dengan penonton.


Jelasnya penuh berfalsafah, penggiat mime boleh diibarat seperti memiliki tubuh ahli gimnastik, minda seorang pelakon dan jiwa seorang penyair.

Tambah Acab, sama ada melakukan persembahan secara solo, duo atau berkumpulan, apa yang penting adalah bagaimana menjadikan sesuatu persembahan itu menghiburkan dan tidak jemu ditonton.

"Di sinilah terletaknya kreativiti seseorang penggiat mime, biarpun apa yang dilakukan hanyalah ilusi, namun mereka perlu bijak memanipulasikannya seperti ia benar-benar wujud," jelasnya.

Bagi Syerina Ahmad Khan, dia gembira kerana pertama kali berpeluang menonton persembahan mime apatah lagi, dalam bentuk teater.

"Sebelum ini, saya sering menonton teater biasa dan teater muzikal, tidak banyak yang diketahui mengenai mime.

"Ibarat menonton sebuah persembahan bisu, penonton perlu peka dengan apa yang berlaku di atas pentas untuk memahaminya," katanya.

Menganggapnya sebagai pengalaman baru dan menarik, dia yakin mime berpotensi untuk dikembangkan dan bakal mempunyai peminat serta pengikutnya sendiri satu hari nanti.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Perang tembakau Indonesia

Posted:

Perang tembakau Indonesia

Perang tembakau Indonesia


MENIUP asap rokok ke dalam telinga pesakit antara kaedah yang digunakan di klinik Griya Balur di Jakarta.


KELIHATAN seorang wanita sedang menghembuskan kepulan asap rokok ke dalam mulut seorang pesakit yang cengkung dan tanpa baju di sebuah klinik di Jakarta.

Pesakit yang berasal dari Barat itu menderita penyakit emfisema iaitu gangguan salur pernafasan kronik akibat tabiat merokoknya. Namun selain emfisema, kanser dan masalah autism boleh diubati dengan menggunakan rokok. Ini diakui sendiri oleh pihak klinik Griya Balur yang mendakwa bahawa rokok membantu merawat penyakit-penyakit berkenaan.

"Saya merindui suasana ini," jelas salah seorang wanita dalam loghat Amerika yang merupakan pelanggan tetap di klinik itu.

Jika diperhatikan, klinik Griya Balur yang dibuka di kebanyakan negara sudah ditutup kecuali di Indonesia. Klinik tersebut sedang rancak membangunkan perusahaan tembakau yang dianggap menguntungkan.

Meskipun tembakau ditegah kerana boleh memudaratkan kesihatan tetapi klinik seperti Griya Balur, klinik tersebut masih beroperasi seperti biasa tanpa mendapat sebarang gangguan daripada pihak berkuasa. Ini disebabkan kebanyakan pengusaha industri tembakau telah menyalurkan berbilion wang kepada pihak kerajaan.

Bagi merawat penghidap enfisem di klinik tersebut, perawat akan meniupkan asap rokok daripada rokok ketuhanan berteknologi nano bagi mengeluarkan kanser.

Sembuhkan penyakit

Pada masa yang sama, asap rokok ditiup ke dalam telinga dan mata pesakit sambil tangan pesakit memegang secawan aspirin yang diletakkan di sebelah mata kanannya.

Menurut pengasas Griya Balur, Dr. Gretha Zahar, sejak sedekad lalu dia telah membantu menyembuhkan 60,000 pesakit dengan menggunakan asap rokok.

Berlatar belakang doktor falsafah kimia nano dari Universiti Padjadjaran, Bandung, Jawa Barat, Gretha percaya bahawa manipulasi merkuri dalam asap rokok dapat menyembuhkan segala penyakit termasuklah kanser dan melambatkan proses penuaan.


SEORANG pesakit menjalani rawatan untuk merawat penyakit kanser menggunakan tembakau yang dibalut pada tubuhnya menggunakan kerajang aluminium dan kain yang dibasahkan.


"Merkuri adalah penyebab kepada semua penyakit. Di dalam rokok seperti rokok ketuhanan, terdapat bahan-bahan yang membantu mengeluarkan merkuri dari dalam tubuh," katanya.

Di laman webnya, Gretha turut menyatakan bahawa teorinya itu tidak memerlukan sebarang ujian klinikal atau menjadi topik untuk dikupas dalam mana-mana jurnal. Bahkan, dia mengakui memiliki kewangan yang mencukupi sekiranya perlu membiayai sebarang perbincangan yang melibatkan kumpulan saintis perubatan Barat.

Kes Gretha telah dilanjutkan ke Mahkamah Persekutuan. Para petani daripada industri penanaman tembakau di Jawa Tengah mahu mencabar undang-undang yang menyatakan daun tersebut boleh menyebabkan ketagihan.

Profesor Farmakologi dari Universiti Brawijaya, Malang, Jawa Timur, Aris Widodo memberitahu, mahkamah bahawa dia tidak pernah mendengar seseorang mati disebabkan tabiat merokok. Dia juga menyatakan bahawa merokok baik untuk kesihatan.

"Merokok dapat menghilangkan perasaan cemas, menajamkan konsentrasi dan menenangkan saraf. Ia juga merupakan alternatif yang paling murah berbanding ubat lain seperti valium,"katanya.

Walaupun ada yang menyatakan tembakau menyebabkan ketagihan dan membahayakan kesihatan tetapi di Indonesia industri tembakau semakin meningkat. Ini disebabkan bilangan anak-anak muda yang menghisap rokok juga semakin bertambah.

Pemandangan individu merokok dapat dilihat di merata-rata tempat sama ada di salon kecantikan ataupun ruang menunggu di klinik gigi. Kadangkala segelintir ibu bapa tanpa rasa bersalah memberikan anak-anak kecil mereka rokok bagi memastikan mereka duduk diam.

Bukan itu sahaja, di kebanyakan konsert pihak penganjur sanggup mengedar tiket dan rokok kepada kumpulan remaja yang datang. Undang-undang tidak membenarkan orang ramai merokok di kawasan awam, namun ia dipandang enteng walaupun telah dikuatkuasakan. Kempen iklan tembakau pula sentiasa ada tidak kira di bahu-bahu jalan atau di kaca televisyen.

Kos sekotak rokok yang berisi 20 batang rokok ialah RM3.50. Ia merupakan perbelanjaan isi rumah kedua tertinggi selepas makanan di kalangan keluarga berpendapatan rendah di Asia Tenggara.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kadar merokok di Indonesia telah meningkat enam kali ganda di negara tersebut sejak empat dekad lalu.

Senario itu mengakibatkan 400,000 perokok tegar dan 25,000 perokok pasif mati setiap tahun.

Namun, Indonesia adalah satu-satunya negara di Asia yang tidak melakukan perjanjian bersama WHO Framework Convention untuk mengawal penggunaan tembakau.

Peluang pekerjaan


KLINIK Griya Balur masih beroperasi seperti biasa tanpa mendapat sebarang gangguan daripada pihak berkuasa.


Pengusaha rokok terbesar di Indonesia, PT HM Sampoerna telah bergabung bersama Philip Morris Antarabangsa. British American Tobacco juga telah membeli pembuat rokok keempat terbesar di Indonesia, PT Bentoel pada harga RM1.73 bilion sekitar tahun 2009.

Kesannya pemerintah negara tersebut menerima sekurang-kurangnya RM24 billion setahun menerusi hasil cukai industri tembakau sehingga ia membuka peluang pekerjaan kepada ribuan penduduk di Temanggung, Jawa Pusat.

Kumpulan aktivis antimerokok memberitahu, industri tembakau tidak lagi menggunakan cara pemasaran lama. Mereka mempraktikkan pendekatan baru dengan mempamerkan merokok membuatkan individu kelihatan lebih maskulin, segak, glamor dan menyihatkan.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Budi Sampurno telah dipersoalkan mengenai masalah itu tetapi beliau menegaskan bahawa perkara tersebut tiada kena mengena dengan syarikat tembakau.

"Tidak pernah. Mana buktinya? Lagipun kami tidak pernah didekati oleh syarikat tembakau kerana ia tidak termaktub dalam undang-undang," jelasnya.

Menurut penggubal undang-undang Parti Demokrasi, Dr. Hakim Sorimuda Pohan yang telah merangka undang-undang kesihatan, tidak mustahil syarikat tembakau terbesar berada di sebalik tipu helah tersebut.

"Mereka pernah lakukan perkara yang sama pada tahun 1992. Syarikat tembakau berjaya memperoleh klausa yang sama daripada pihak undang-undang," katanya. - AFP

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan