Sabtu, 30 April 2011

Utusan Online - Muka Hadapan

Utusan Online - Muka Hadapan


Shazryl Eskay sempurna sumpah laknat

Posted:

Shazryl Eskay sempurna sumpah laknat

Shazryl Eskay sempurna sumpah laknat

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD
pengarang@utusan.com.my


Shazryl Eskay ketika melafazkan sumpah laknat sambil ditemani Abdul Rahim Thamby Chik (kiri) dan Shuib Lazim di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/ISMAIL KAMADIN


KUALA LUMPUR 29 April – Ahli Perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah hari ini melafazkan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As di sini bagi membuktikan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pelaku di dalam rakaman video seks melibatkan seorang pelacur dipercayai dari China.

Sambil memegang kitab suci al-Quran, beliau berjaya menyempurnakan lafaz laknat kira-kira pukul 4.25 petang walaupun sebelum itu ada usaha daripada Angkatan Muda Keadilan (AMK) bagi menghalang acara itu diadakan.

Ia berlangsung selama lima minit di hadapan wartawan, jurufoto, jurukamera dan beberapa penyokong PKR.

Sebelum acara lafaz sumpah itu berlangsung, seorang pendakwah bebas, Syamsul Firdaus Mohamed Supri sempat mengadakan ceramah ringkas di hadapan Shazryl Eskay mengenai kesan sumpah yang terpaksa ditanggung sehingga akhirat.

Dia juga turut mendakwa apa yang dilakukan oleh bekas rakan baik Anwar itu tidak ada di dalam syariat Islam.

Turut sama dua lagi trio Datuk T iaitu Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Sebelum acara lafaz sumpah bermula, ketiga-tiga mereka itu menunaikan sembahyang sunat di ruang solat masjid tersebut.

Mereka tiba di pekarangan masjid itu yang terletak di Bandar Baru Sentul kira-kira pukul 4.10 petang dengan menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Estima.

Bagi tujuan keselamatan, tiga sahabat itu telah dipakaikan baju kalis peluru selain diiringi oleh sepasukan anggota polis memasuki ruang masjid.

Antara kandungan lafaz sumpah Shazryl Eskay adalah seperti berikut: ''Wallahi, Wabillahi, Watallahi. Aku bersumpah bahawa aku dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam paparan video yang telah dirakamkan pada 21 Februari 2011 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pelaku dalam video tersebut.

''Sekiranya aku melakukan fitnah dalam kenyataan bersumpah ini maka Allah akan melaknat akan diriku.''

Semalam pada satu sidang akhbar, Shazryl Eskay mencabar Anwar melakukan sumpah laknat bersama tetapi sehingga pukul 5 petang ini kelibat Anwar langsung tidak kelihatan.

Dalam pada itu, acara lafaz sumpah laknat yang sepatutnya diadakan sejurus selepas solat Jumaat terpaksa ditangguhkan ekoran berlaku kekecohan yang dicetuskan oleh sekumpulan penyokong PKR yang diketuai Shamsul Iskandar Mat Akin.

Kekecohan bermula apabila ada di antara mereka menyerbu ke arah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali untuk diserahkan sebuah buku bertajuk Qazaf menjawab fitnah.

Ia kemudian berlanjutan sehingga satu peringkat berlaku tolak-menolak antara dua kumpulan di dalam ruang solat sehingga keadaan menjadi kelam-kabut.

Masing-masing mahu menunjukkan 'kehebatan' hingga sanggup melakukan sesuatu yang boleh dianggap mencemar kesucian masjid.

Di dalam masjid itu mereka menjerit-jerit meminta Trio Datuk T itu ditahan hingga menyebabkan Pengerusi masjid tersebut, Abdul Razak Husin menaiki mimbar untuk menenangkan keadaan.

''Saya telah diberitahu bahawa program yang dirancang petang ini terpaksa dibatalkan,'' ujarnya bagi tujuan menyuraikan para penyokong Anwar.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Sumpah laknat Eskay urusan peribadi

Posted:

Sumpah laknat Eskay urusan peribadi

Sumpah laknat Eskay urusan peribadi

KUALA LUMPUR 29 April - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan Datuk Shazryl Eskay Abdullah bersumpah laknat berhubung isu video seks hari ini adalah keputusan peribadinya dan bukan urusan kerajaan atau UMNO.

Kata Presiden UMNO itu, kerajaan dan UMNO juga tidak boleh menghalang atau menggalak mana-mana pihak membuat sumpah laknat kerana pada akhirnya apa yang berlaku dinilai oleh rakyat meskipun tanpa sumpah laknat itu dilakukan.

''Mana-mana parti sekali pun perlu mengambil sikap yang sama kerana ini (bersumpah laknat) adalah soal peribadi.

''Kalau Eskay mahu bersumpah laknat atau Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak mahu bersumpah laknat itu adalah urusan peribadi masing-masing,'' katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Najib berkata demikian sebagai reaksi kepada tindakan ahli perniagaan terbabit yang melakukan sumpah laknat di Masjid Amru Al-As, Bandar Baru Sentul pada petang ini dengan menyatakan bahawa dua individu di dalam paparan rakaman video seks yang didedahkan beliau baru-baru ini adalah dirinya dan Anwar.

Tambah Najib, apa sahaja urusan yang berlaku di dalam masjid (termasuk sumpah laknat) tidak salah dari segi peraturan selagi pentadbiran masjid mengizinkannya.

''Tidak ada siapa yang mahu gugat apa sahaja urusan dalam masjid, (namun) kesucian di dalam masjid perlu dijaga,'' katanya.

Kepada satu soalan mengapa Anwar menyalahkan UMNO sebagai dalang dalam isu rakaman video seks itu dan menghentam media termasuk Utusan Malaysia, Najib berkata, tuduhan Anwar itu bukanlah satu perkara baharu.

Dalam konteks media pula, kata beliau, adalah menjadi tanggungjawab media melaporkan apa yang berlaku apatah lagi apabila ia berkait dengan seorang tokoh.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kecoh sebelum, selepas sumpah laknat

Posted:

Kecoh sebelum, selepas sumpah laknat

Kecoh sebelum, selepas sumpah laknat

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED dan ASSIM HASSAN
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 29 April - Keadaan di dalam dewan solat Masjid Amru Al-As Bandar Baru Sentul yang menjadi lokasi ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah melafazkan sumpah laknat kecoh berikutan tindakan provokasi segelintir ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sebaik sahaja selesai solat Jumaat, kumpulan itu dilihat cuba menggagalkan majlis lafaz sumpah laknat yang dijanjikan oleh Shazryl Eskay semalam berhubung klip video seks yang didakwa membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Berikutan itu, beberapa anggota polis terpaksa masuk ke dalam masjid untuk menenangkan keadaan.

Pada masa sama, pengerusi masjid berkenaan, Abdul Razak Husin mengambil tempat di atas mimbar dan meminta orang ramai untuk bersurai.

Keadaan beransur tenang dan terkawal manakala orang ramai mula dilihat keluar dari dewan solat masjid.

Kira-kira pukul 3.30 petang, kelihatan pintu pagar masjid tersebut ditutup pihak polis dan hanya pintu belakang pagar masjid dibuka.

Tepat pukul 4.10 petang, ketiga-tiga Datuk Trio iaitu Shazryl Eskay, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim tiba di pekarangan masjid dengan menaiki sebuah kereta Toyota Vios dan kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima.

Sebaik Shazryl Eskay selesai melafazkan sumpah laknat tepat pukul 4.20 petang, beberapa orang dipercayai ahli AMK sekali lagi menimbulkan provokasi.

Bagaimanapun, pihak polis berjaya mengawal keadaan dan ketiga-tiga Datuk Trio itu dilihat meninggalkan pekarangan masjid kira-kira 4.30 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika ditemui di masjid berkenaan memberitahu, beliau dihubungi oleh pihak pengurusan masjid berhubung hasrat Shazryl Eskay untuk melafazkan sumpah laknat di masjid berkenaan.

Katanya, pihak pengurusan masjid meminta bantuan pihak polis untuk membuat kawalan keselamatan dan memastikan keadaan di dalam serta pekarangan masjid terkawal.

"Walaupun berlaku sedikit kekecohan namun, kita berjaya meleraikannya dan tiada mana-mana individu ditahan berhubung insiden itu," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan