Sabtu, 30 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Gerak hati ayah penyelamat nyawa

Posted: 29 Apr 2011 11:14 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang ahli perniagaan yang tergerak hati keluar lewat 15 minit daripada kebiasaan untuk menghantar anaknya ke kelas al-Quran terselamat daripada dihempap tiang elektrik di hadapan rumahnya di Jalan J/15 Taman Melawati, di sini, semalam.

Mangsa, Mohd Azahaan Abdullah, 50, berkata dia kebiasaannya keluar awal, tetapi disebabkan tidak sedap hati, dia melewatkan perjalanan dan bersyukur tindakan itu menyelamatkan nyawanya.


Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, tiang kabel menyalurkan bekalan elektrik ke Depot Rapid Kuala Lumpur (Rapid KL) Taman Melawati di hadapan rumah Mohd Azahaan tumbang dan menghempap empat kereta hingga mengalami kerosakan dianggarkan lebih RM50,000.

Mohd Azahaan berkata, tiang berkenaan yang diikat pada tiang utama dengan menggunakan dawai kecil itu berbahaya sejak diletakkan di kawasan perumahan itu dan dia pernah membuat aduan kepada pihak berkaitan, namun tiada tindakan diambil.


"Nasib baik, kejadian pagi tadi (semalam) tidak mengorbankan nyawa sesiapa kerana ketika kejadian bukan sahaja saya ingin keluar untuk menghantar anak ke kelas mengaji, tetapi jiran saya berada di perkarangan rumah untuk ke keretanya yang terletak di luar," katanya ketika ditemui, semalam.


Jirannya, Daniel Ng Chung Tern, 26 turut menjadi mangsa apabila keretanya rosak teruk akibat dihempap tiang yang tumbang itu.

Lebih membahayakan, wayar kabel jatuh di hadapan deretan rumah di Jalan J/15 terbabit.


"Saya menganggarkan kerosakan kereta saya membabitkan kerugian lebih RM10,000. Nasib baik kabel itu tidak menghempap ibu saya yang baru keluar untuk ke tempat kerja," katanya yang membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati selain pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sementara itu, jurucakap TNB ketika dihubungi memaklumkan, pihaknya akan memberi kenyataan rasmi selepas menyiasat kejadian terbabit.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pemilik rumah perlu guna Roro berdaftar

Posted: 29 Apr 2011 11:12 AM PDT

AMPANG: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menasihatkan penduduk yang ingin melakukan kerja pengubahsuaian rumah supaya mengupah syarikat mengangkut sisa buangan bahan binaan yang mempunyai tong sampah besar atau Roll-On-Roll-Off (Roro) berdaftar secara sah.

Yang Dipertua MPAJ, Datuk Mohammad Yacob, berkata pemilik rumah dan pengusaha syarikat pengubahsuaian sepatutnya menggunakan perkhidmatan Roro disediakan MPAJ dan bukan daripada syarikat pengangkutan sisa buangan bahan binaan yang tidak mempunyai permit.


"Kami mendapati, hal ini juga berlaku disebabkan pemilik rumah dan pengusaha syarikat itu sendiri tidak memohon permit melakukan kerja pengubahsuaian rumah di MPAJ sedangkan mengikut peraturan mereka wajib membuat begitu.

"Justeru, mereka memilih syarikat pengangkutan yang membekalkan Roro itu secara haram. Perkara ini menyebabkan sisa buangan bahan binaan dibuang di merata tempat dan mengakibatkan pencemaran," katanya.


Mohammad berkata, penduduk boleh menyewa Roro itu di MPAJ dengan harga RM250 bagi memastikan sampah dan sisa buangan bahan binaan dapat diselenggara serta dibuang ke tempat disediakan.


Upah mengangkut yang jauh lebih murah iaitu RM100 dikenal pasti menjadi faktor penduduk memilih syarikat pengangkutan terbabit.

Katanya, MPAJ hanya boleh melakukan tangkapan ke atas pelaku atau pekerja syarikat terbabit sekiranya mereka melakukan kerja itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan