Berita Harian: Wilayah |
Posted: 26 Apr 2011 03:51 AM PDT Wilayah PENDUDUK menunjukkan tanah yang ditambak setinggi bumbung rumah di Taman Medang, Mahsan, Bahau. BAHAU: Tindakan tidak bertanggungjawab pemaju perumahan melakukan projek menambak tanah untuk projek perumahan baru di Taman Medang, Mahsan di sini, menyebabkan keselamatan penduduk di situ di ambang bahaya. Penduduk meradang kerana tambakan itu melebihi paras bumbung rumah dan mereka juga diancam banjir lumpur setiap kali hujan lebat berikutan tanah merah yang ditambak tinggi itu mengalir ke bawah. Bagi Tey Huat Keong, 37, usahanya menabung bertahun-tahun hingga berjaya membeli rumah impiannya di taman berkenaan, ibarat mencurah air ke daun keladi, selepas projek menambak tanah bersebelahan rumahnya itu melebihi paras bumbung.Pengusaha bengkel kenderaan itu membeli rumah berharga RM260,000 pertengahan tahun lalu dan mahu membuat pengubahsuaian sebelum menetap di situ. Bagaimanapun, dua minggu lalu, Tey terkejut apabila melihat kehadiran jengkaut menambak tanah di sebelah rumah hingga melebihi paras bumbung dan kemudian diberitahu pekerja terbabit bahawa beberapa rumah baru akan dibina di tanah tambak itu. "Bagaimana rumah boleh dibina di tapak yang lebih tinggi daripada bumbung rumah saya," katanya.
"Jika mahu jual pun, tidak ada orang ingin membeli kerana tiada siapa mahu rumah bergelap dilindungi rumah sebelah," katanya. Guru, Mohd Azmi Che Awang, 40, berkata tambakan tanah itu menutup bahagian tepi rumahnya walaupun tidak setinggi bumbung. Katanya, tanah asal bersebelahan rumahnya tidak tinggi, tetapi kemudian ditambak tiga kali lebih tinggi hingga melebihi pagar rumahnya. "Saya terpaksa membersihkan halaman rumah akibat dikotori tanah yang jatuh dan lebih membimbangkan apabila hujan, banjir kilat boleh berlaku dan memberi kesan buruk kepada penduduk di sini," katanya. How Peng Chuan, 40, turut marah kerana kawasan projek itu yang asalnya hutan, ditebang hingga membahayakan rumahnya di bawah bukit. Katanya, pemaju tidak membina penahan tebing bukit menyebabkan rumah di bawah bukit terdedah kepada tanah runtuh dan banjir kilat. "Tahun lalu, banjir kilat melanda kawasan taman perumahan berhampiran. Kami tidak mahu pengalaman pahit itu berulang kerana walaupun pampasan diberi, jumlah itu tidak setimpal dengan kesusahan dan kerosakan yang penduduk alami," katanya. Beliau berkata, pemaju juga membina jalan ke projek itu di depan rumahnya yang sepatutnya jalan mati dan ini mengganggu ketenteraman penghuni rumah di situ, selain membahayakan kanak-kanak yang bermain di padang permainan berhampiran. Sementara itu, Mohd Azmi berkata, penduduk bersepakat menghantar memorandum bantahan kepada Majlis Daerah Jempol (MDJL) terhadap pelaksanaan projek itu, terutama berkaitan penambakan tanah hingga melebihi paras bumbung rumah bersebelahan. Katanya, MDJL perlu memantau pelaksanaan projek perumahan dan tidak mudah meluluskan sesuatu projek tanpa mengambil kira keselamatan dan ketenteraman penduduk taman perumahan bersebelahan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Penternak bimbang gulung tikar Posted: 26 Apr 2011 03:49 AM PDT Wilayah TD Poultry pembekal utama ayam di Pantai Timur. KUALA TERENGGANU: Rancangan TDM Bhd, sebuah syarikat milik kerajaan negeri melupuskan syarikat, TD Poultry (TDP) yang terbabit dalam kegiatan penternakan dan pemprosesan ayam menyebabkan penternak kontrak, pembekal dan kakitangan kebimbangan kehilangan sumber pendapatan kerana pemilik baru mungkin sudah mempunyai rantaian pembekalan sendiri. Selain hilang sumber pendapatan, lebih 600 orang yang terbabit dalam rantaian bergantung hidup dengan TDP juga bimbang tindakan pelupusan anak syarikat itu juga akan menyebabkan bekalan ayam halal untuk kegunaan orang ramai turut terjejas. TDP ditubuhkan pada 1995 ketika pentadbiran bekas Menteri Besar, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, bertujuan memastikan pengeluaran ayam halal di Pantai Timur terjamin dengan pengeluaran ayam bagi pasaran tempatan dikuasai TDP, selain menjadi payung kepada penternak Bumiputera serta menstabilkan harga ternakan itu di Terengganu.Anak syarikat TDM itu adalah syarikat terbesar di Pantai Timur dalam industri penternakan dan pemprosesan ayam dengan purata pengeluaran 300,000 ayam sebulan bagi memenuhi pasaran tempatan. Difahamkan, ahli lembaga pengarah TDM sedang mempertimbangkan untuk menjual TDP kepada syarikat tempatan. "Kita bukan saja bimbang hilang pekerjaan, malah lebih penting lagi sekiranya TDP diambil alih pihak lain terutama pengusaha bukan Bumiputera, industri ayam halal akan terjejas. TDP adalah satu-satunya syarikat penternakan ayam Bumiputera yang mendapat logo 'Veterinar Health Mark' (VHM) daripada Jabatan Veterinar.
"Sebagai contoh, bagi suku pertama tahun ini saja, TDP mencatatkan keuntungan RM300,000. Oleh itu, kami warga TDP, penternak dan pemborong khasnya merasakan TDM mengambil langkah kurang bijak jika menjual TDP kerana TDM sudah ada kepakaran dalam pengurusan TDP," kata sumber. TDP mempunyai kilang di Kawasan Perindustrian Chendering di sini, untuk memproses ayam daging bersih pada harga harga berpatutan dan mendapat permintaan tinggi dari negeri lain termasuk Kuala Lumpur dan Johor, namun setakat ini, syarikat itu hanya memenuhi pasaran tempatan. Penternak TDP, Wan Musa Wan Embong yang terbabit sejak awal penubuhan syarikat itu berkata, sangat merugikan jika TDP dijual kerana ia antara platform untuk pengusaha Bumiputera berkembang dan membina kedudukan stabil dalam industri penternakan ayam. "Syarikat besar seharusnya turut memikirkan aspek tanggungjawab sosial kepada masyarakat dengan memastikan adanya bekalan berterusan ayam halal," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan