Kosmo Online - Rencana Utama |
- Kandungan gula tinggi dalam durian
- Wanita Maghribi cari jodoh di internet
- Hadiah Sako iktiraf penulis
Kandungan gula tinggi dalam durian Posted: Kandungan gula tinggi dalam durianOleh IZYAN LIYANA MOHD. DARIF PERLAWANAN bola sepak Piala Amal Menteri Besar Perak yang berlangsung di Stadium Perak, Perak, baru saja lima minit bermula. Tatkala mood para pemain sedang berkobar-kobar untuk mengecapi kemenangan secara tiba-tiba semua yang berada di dalam stadium dikejutkan dengan insiden yang mencemaskan. Bekas juara bina badan dan Mr. Asia enam kali, Datuk Malek Mohd. Noor, yang bermain pada posisi penjaga gol diserang sakit jantung. Bekas atlet berusia 57 tahun tersebut dilihat berpaut pada tiang gol gara-gara menahan kesakitan pada bahagian dada. "Mula-mula saya berasa pening. Kemudian, sesak nafas sehingga saya rasakan badan semakin mengembang dan jersi mula mengetat terutamanya di bahagian perut. Oksigen saya pula pada waktu itu bagaikan tidak mencukupi dan membuatkan saya tercungap-cungap. PENGAMBILAN durian secara berlebihan boleh memudaratkan penghidap diabetes. "Sedangkan semasa melakukan sesi memanaskan badan sebelum perlawanan tubuh badan saya dalam keadaan baik saja. Saya boleh melompat dan berlari setempat," jelas Malek ketika dihubungi Kosmo! mengenai situasi yang menimpanya sewaktu terlibat dalam perlawanan bola sepak antara Pasukan Pilihan Menteri Besar Perak dan Pasukan Legenda Negara baru-baru ini. Ditebak soalan adakah dia menghidap masalah jantung, anak kelahiran Kampung Sri Gading Batu Pahat, Johor itu menidakkan sekeras-kerasnya. Sebaliknya, graduan dari Universiti Denver di Amerika Syarikat (AS) tersebut memberitahu, dia bebas daripada diabetes, darah tinggi apatah lagi penyakit jantung. Atas faktor berkenaan, Malek yang menetap di Ampang, Selangor masih terkejut apabila doktor mengesahkan serangan jantung itu berpunca daripada dua saluran jantungnya yang tersumbat. Sesak nafas MALEK diserang penyakit jantung ketika mahu memulakan perlawanan bola sepak baru-baru ini. "Paling mengejutkan, ada pula pihak yang mendakwa serangan jantung ini akibat saya makan buah durian sewaktu menyertai aktiviti melawat sebuah ladang buah-buahan di Ipoh, Perak anjuran Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb). Sukar bagi saya untuk mengiyakan dakwaan itu kerana doktor pun tidak mengesahkannya. "Lagipun, pada hari itu saya hanya memakan empat ulas durian. Kemudian, disusuli pula meminum air kelapa dan menjamu selera dengan lauk-pauk yang lain," tutur Malek yang pernah membintangi filem Rimba Malam sekitar tahun 1992 dalam nada suara yang masih lemah. Kisah makan durian sehingga menjejaskan faktor kesihatan terhadap masyarakat tempatan bukanlah perkara baru. Pada tahun lalu, media melaporkan akibat terlebih makan durian, Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang mengalami kesesakan nafas sehingga mencemaskan para tetamu yang menghadiri jamuan Pesta Durian dan Promosi Daging Kambing di bangunan Parlimen. "Sejak kecil saya sudah mengenali buah durian yang berkulit keras dan mengeluarkan bau yang kuat. Setiap tahun, tiba saja musim durian saya dan keluarga pasti pulang ke kampung ayah di Kuala Kangsar, Perak.
Di sana, kami berpeluang menikmati buah durian sepuas-puasnya kerana datuk mempunyai dusun yang luas. "Seronok apabila makan beramai-ramai sehingga riuh-rendah di pekarangan dusun. Kadangkala kami adik-beradik bersaing siapa yang makan durian dalam kuantiti yang banyak. Setakat ini, saya mampu menghabiskan lebih enam biji durian pada satu-satu masa," jelas penggemar tegar durian, Faridatul Husna Othman, 27, kepada Kosmo!. Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu yang mesra disapa Husna, tidak cukup dengan menikmati buah durian di kampung, mereka sekeluarga pasti tidak melepaskan peluang membawa bekalan longgokan durian pulang ke Kuala Lumpur. "Bagi saya keunikan durian terletak pada tekstur dan isinya yang lazat. Biarpun menyedari sesetengah individu kurang gemar pada bau durian tetapi itulah yang menjadikan durian antara buah-buahan tempatan yang istimewa. TEMPOYAK salah satu produk daripada buah durian yang popular di kalangan masyarakat Melayu. "Lagipun durian bukan saja enak dinikmati secara mentah malah ia boleh dimasak bubur, manisan, aiskrim, kek ataupun tempoyak yang dihidangkan bersama nasi putih, sambal belacan dan ulam-ulaman," ujar Husna. Walaupun pernah terbaca tentang beberapa individu yang jatuh sakit akibat makan durian, bekas pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan Batu 4, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur itu tidak pernah gusar. Cerita Husna, sebenarnya ia bergantung kepada individu itu untuk menjaga diri sendiri. Namun begitu, Husna mengakui bahawa pengambilan buah durian dalam kuantiti yang banyak membuatkan badannya berpeluh-peluh dan terasa panas. Bagi menghilangkan kepanasan tersebut dia mengatasinya dengan meminum banyak air kosong. Ini termasuklah mengikut petua nenek moyang supaya minum air putih yang diisi dalam kulit durian. Minum banyak air
"Sukar untuk dijelaskan, keberkesanan minum air putih dalam kulit durian yang dapat meredakan kepanasan dalaman badan. Lagipun petua ini telah dipraktikkan secara turun-temurun. "Pendapat peribadi saya, jika tidak mahu suhu badan terasa panas, janganlah makan durian umpama tiada esok bagi durian lagi," saran peniaga durian, Mustafa Ali, 53, ketika ditemui di tapak bazar Taman Melawati, Kuala Lumpur. Menyentuh mengenai kepanasan badan gara-gara menikmati buah durian, pakar perubatan dan pernafasan Hospital Pantai Ampang, Dr. Zal Ab. Rahim memberitahu, buah durian mempunyai kandungan gula dan lemak yang tinggi. Jadi apabila individu memakan durian dalam kuantiti yang banyak maka ia mengganggu sistem metabolisme gula di dalam badan. Kesan daripada peningkatan kadar metabolisme akan menghasilkan haba dalam badan. "Bagi penghidap diabetes, jantung atau darah tinggi mereka perlu mengelakkan makanan yang manis, kandungan garam yang tinggi, berkolesterol dan berlemak. Durian antara buah yang mempunyai ciri-ciri itu. "Cara untuk mengurangkan suhu dalam badan adalah dengan minum banyak minum air kosong," jelas Zal. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Wanita Maghribi cari jodoh di internet Posted: Wanita Maghribi cari jodoh di internetGOLONGAN wanita Maghribi dilihat lebih berani dan serius dalam mencari pasangan di internet berbanding lelaki. DI negara yang kebanyakan perkahwinannya masih diatur, ribuan individu yang bujang serta kesepian mencari pasangan mereka dengan hanya satu klik di tetikus komputer di laman web Soukzouaj. "Laman mencari jodoh itu direka pada Jun 2010. Walaupun masih baru, laman ini boleh dikatakan berjaya mungkin kerana ia percuma dan juga mudah," kata Pengasas Soukzouaj, Yasser Nejjar. Setiap hari, kira-kira 2,600 calon pasangan akan melayari laman itu dan dua per tiga daripadanya ialah wanita. Laman itu akan menunjukkan peta Maghribi yang dibahagikan kepada 16 bahagian, kemudian pelayar hanya perlu klik pada bahagian yang dipilih untuk mencari pasangan. "Sebagai contoh, berdasarkan pemerhatian hari ini sebanyak 1,670 catatan masuk daripada wanita berbanding lelaki 870 sahaja. "Saya berpendapat keadaan ini menandakan wanita lebih berani berbanding lelaki. Kebanyakan catatan menunjukkan mereka benar-benar komited serta berminat untuk mengikat hubungan halal menerusi perkahwinan," kata Nejjar. Penganalisis Maghribi menganggap laman perkahwinan itu merupakan satu fenomena baru yang mempunyai kaitan dengan teknologi komunikasi, walaupun di negara ini kebanyakan perkahwinan sudah diatur mengikut pilihan ibu bapa. "Kini, golongan perempuan juga boleh memilih pasangan mereka. Mereka mahukan suami yang cintakan mereka, hormat, lelaki yang tidak mempunyai ibu yang berfikiran kolot yang tidak membenarkan mereka tinggal berasingan selepas berkahwin kelak," kata ahli sosiologi, Soumaya Naamane Guessous. Katanya lagi, kejayaan laman Soukzouaj menunjukkan bahawa di negara yang kebanyakan anak-anak berkahwin atas pilihan ibu bapa sudah berubah. Golongan remaja perempuan tidak lagi menerima bulat-bulat pilihan ibu bapa mereka. LAMAN Soukzouaj menjadi fenomena di Maghribi dalam kalangan orang muda. Angka rasmi terbaru menunjukkan lebih 13 juta orang melayari laman sesawang di negara yang mempunyai populasi 32 juta penduduk itu. Malah, penggunaan internet juga memainkan peranan dalam demonstrasi yang dilakukan baru-baru ini iaitu reformasi prodemokrasi di Maghribi. Ia mengikuti trend di dunia Arab yang bermula di Tunisia di mana protes yang berterusan menyebabkan kejatuhan Presiden Zine el Abidine Ben Ali, Januari lalu. Protes pertama di beberapa bandar di Maghribi pada 20 Februari lalu merupakan suara yang mewakili golongan belia melalui laman sosial Facebook. Berbalik kepada laman Soukzouaj, kebanyakan catatan wanita adalah yang menggunakan dialek Maghribi dan Perancis. Ini menunjukkan mereka mengharapkan permintaan mereka dihormati serta menepati ciri calon suami yang dianjurkan Islam. "Wanita muda Maghribi, guru, mahukan calon Muslim yang baik hati, lelaki yang baik, menghormati wanita serta ikhlas dari segala sudut," menurut salah satu posting di laman tersebut. Sementara itu, catatan kaum lelaki pula lebih kepada kedudukan sosial dan kesungguhan mereka. "Saya Simo, 28 tahun berasal dari Rabat, bekerja sebagai jurutera komputer sektor kerajaan, baik dan serius, mencari pasangan dari bandar untuk hubungan yang serius, semoga dengan izin Tuhan, hubungan yang terjalin akan membawa kepada perkahwinan yang suci," kata seorang jejaka yang sedang mencari pasangan yang diimpikannya. Menurut seorang pemerhati, kewujudan laman perkahwinan itu menunjukkan perubahan yang terjadi berikutan kemodenan yang dialami masyarakat Maghribi. "Selain itu, kami juga melihat terdapat ramai lelaki dan wanita yang dalam kesunyian dan kecewa," kata Naamane Guessous. - AFP Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Posted: Hadiah Sako iktiraf penulisOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR MOHD. PUAD (lima dari kiri) bersama Mohamed Hashim (empat dari kiri), Zainuddin Maidin (tiga dari kanan) dan Nasir (dua dari kanan) memotong pulut kuning sempena ulang tahun ke-35 UP&D dan Pengisytiharan Kerjasama Pintar Hadiah Sako 3 di Hotel Marriott Putrajaya baru-baru ini. AKSARA nama Ishak Muhammad atau lebih dikenali sebagai Pak Sako amat bermakna dalam lipatan sejarah negara. Sumbangan tokoh persuratan Melayu yang dilahirkan pada 14 November 1909 itu terlalu tinggi nilainya kepada agama, bangsa dan negara. Justeru, tidak hairanlah jika beliau menjadi ikon dalam bidang kewartawanan. Beliau berjaya membuktikan kepada masyarakat bahawa dunia kewartawanan bukan sekadar melapor berita, bahkan lebih daripada itu. Menyoroti pemikiran dan perjuangan beliau, ia mampu membawa generasi baru mengenali seorang nasionalis merangkap aktivis politik yang memanfaatkan bidang kewartawanan dan kesusasteraan untuk berjuang di medan tempur sebenar. Sehubungan itu, bagi menghargai sumbangan dan jasa beliau, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. (UP&D) mengambil inisiatif mewujudkan Sayembara Hadiah Sako bagi novel nasional bermula sejak tahun 1992. Menurut Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Hairi Abu Bakar, Hadiah Sako merupakan lambang kenangan abadi Utusan kepada Allahyarham Pak Sako, seorang nasionalis yang menggerakkan perjuangan kemerdekaan negara menerusi mata penanya. "Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Utusan dan telah memerah keringat menjelajah ke segenap pelosok negara untuk mengumpulkan dana bagi mewujudkan akhbar Melayu pertama milik bangsa ini sepenuhnya. "Buah fikiran yang dikirim dalam baris kata-katanya membakar sukma rakyat dan pada masa yang sama menggugah fikiran penjajah. "Kini, untuk musim ketiga, UP&D berbangga kerana dapat bergabung tenaga dalam kerjasama pintar Hadiah Sako dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dengan tawaran hadiah yang lebih menarik," jelas Hairi pada satu majlis yang dianjurkan baru-baru ini. Terjemahan karya Anugerah Hadiah Sako menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM30,000 bagi pemenang pertama, RM15,000 untuk pemenang tempat kedua dan RM5,000 bagi tempat ketiga. Apa yang pasti, buat julung-julung kalinya karya pemenang Hadiah Sako bukan sahaja menerima ganjaran wang tunai, sebaliknya karya mereka akan diterjemahkan ke dalam bahasa asing dan berpeluang menembusi pasaran antarabangsa. Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi yang merasmikan majlis pengisytiharan Kerjasama Pintar Hadiah Sako Kumpulan Utusan melalui UP&D dan ITNM, memuji langkah tersebut demi memartabatkan penulisan sastera dan mengiktiraf penulis-penulis di negara ini. "Di samping memartabatkan karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi, Hadiah Sako ini juga secara tidak langsung dapat mencungkil bakat-bakat baru dalam bidang penulisan di Malaysia bagi memandu pemikiran rakyat melalui karya yang dihasilkan," kata beliau. Dalam pada itu, Pengarah Urusan ITNM, Mohd. Khair Ngadiron menegaskan, Pak Sako adalah bukti dan simbol betapa sastera dan pembangunan nasional adalah dua perkara yang saling melengkapi antara satu sama lain. "Untuk membentuk sebuah tamadun, bidang sastera tidak boleh dipinggirkan kerana fungsinya tidak terbatas kepada aspek perkembangan bahasa semata-mata. "Sebaliknya, sastera turut menjadi medium pembina jati diri bangsa, wadah pemikiran yang sarat pandangan, moral, idea malah menjadi kayu ukur intelektual dan kemanusiaan. Lantaran itu, kami di ITNM sentiasa komited menyokong sebarang aktiviti berteraskan kesusasteraan," tutur Khair yang turut merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Utusan di atas tawaran kerjasama tersebut. Bagi Hadiah Sako kali ini, penyertaan dibuka sejak tahun 2005 sebelum ditutup pada 2008 dan pengumuman serta penyampaian hadiah kepada pemenang akan berlangsung pada Julai depan. Majlis yang dihadiri oleh Pengerusi Ekekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali dan mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin itu turut meraikan ulang tahun ke-35 penubuhan UP&D. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan