Utusan Online - Rencana |
Posted: Tinjauan mesra dekati rakyat Oleh NIZAM YATIM SETIAP kali Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan tinjauan mesra, ia pasti menghimbau kembali kenangan ketika ayahanda beliau, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, menyusuri jalan-jalan kampung, sawah dan tanah-tanah rancangan untuk menemui rakyat, 40 tahun lalu. Selain mencontohi apa yang telah dibuat ayahandanya, budaya turun padang yang dimulakan selepas dilantik sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April 2009, adalah bagi merealisasikan prinsip yang sentiasa dipegangnya iaitu untuk menjadi 'Perdana Menteri Rakyat'. Tinjauan mesra pertama diadakan pada 4 April 2009, iaitu tidak sampai 24 jam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Pada hari tersebut, Najib yang memakai baju khaki lengan pendek berwarna hijau cair dan seluar khaki berwarna coklat cair meluangkan masa kira-kira dua jam di tiga kawasan di sekitar Kuala Lumpur yang setiap penempatan itu mempunyai penduduk majoriti kaum Cina, Melayu dan India. Ia melibatkan kawasan perniagaan di Petaling Street, perumahan kos rendah dan sederhana Vista Angkasa di Bukit Kerinchi, Bangsar serta deretan kedai di Jalan Tun Sambanthan, Brickfield. Reaksi yang diberikan oleh rakyat pada hari tersebut memang cukup positif. Ada yang bertepuk tangan, ada yang melambai tangan, ada yang mengambil gambar dan ada juga yang menceritakan terus kepada Najib mengenai masalah mereka. ''Saya lakukan lawatan tidak rasmi dan mengejut untuk berjumpa dengan rakyat biasa bagi mengetahui masalah mereka," katanya ketika mengadakan pertemuan dengan penduduk Vista Angkasa. Pemerhati politik tempatan, Che Hamdan Che Mohd. Razali yang diminta mengulas pendekatan yang digunakan Najib itu mengakui ia adalah sama seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri kedua. ''Walaupun Tun Abdul Razak menjawat jawatan itu dalam tempoh singkat dari 22 September 1970 hingga 1976, beliau amat dikenali sebagai Perdana Menteri yang paling banyak berjalan untuk bertemu rakyat. ''Pendekatan seperti ini memang wajar diteruskan kerana ia boleh mewujudkan persepsi positif di kalangan rakyat bahawa Perdana Menteri mengambil berat tentang masalah mereka," ujarnya yang juga pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Dungun, Terengganu. Beliau menjelaskan, pada zaman pentadbiran Najib, boleh dikatakan semua bentuk pembangunan yang dikehendaki rakyat telah tersedia, jadi tumpuan utama kerajaan adalah untuk memastikan segala kemudahan itu dinikmati rakyat di peringkat bawahan. Menurutnya lagi, Perdana Menteri terdahulu seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak mengambil pendekatan seperti Najib kerana tumpuan mereka adalah untuk membangunkan negara dan meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa. Dalam pada itu, setelah lebih dua tahun dilantik sebagai Perdana Menteri, Najib tidak pernah jemu untuk turun padang dalam keadaan cuaca panas terik dan kadangkala basah ditimpa hujan semata-mata untuk bertemu dengan rakyat. Apa yang dibuat itu adalah selaras dengan pendiriannya bahawa melihat keadaan sebenar adalah lebih baik berbanding sekadar mendengar laporan pegawai yang dibentang dalam keselesaan bilik pejabat berhawa dingin yang terpisah jauh daripada realiti kehidupan. ''Saya bukan sahaja dapat tengok dengan mata saya sendiri keadaan di situ, tetapi juga dapat menghidu udara dan bau di situ. ''Banyak bezanya, macam bumi dan langit dengan taklimat yang diberikan oleh Datuk Bandar," kata Perdana Menteri ketika melakukan tinjauan mesra ke Stesen Bas Puduraya sebelum ini. "Anda boleh meyakini," tambahnya, "sebaik sahaja saya balik ke pejabat, semua masalah ini akan mendapat perhatian, malahan saya sering mengumumkan beberapa kelulusan penting berdasarkan tinjauan mesra yang saya buat." Sementara itu, tinjauan mesra terbaru Najib adalah di Pekan Song di pedalaman Sarawak pada 15 April lalu. Najib menjadi Perdana Menteri pertama yang mengunjungi pekan kecil itu. Mengulas sikap Najib yang gemar turun padang, penganalisis politik terkenal di negeri itu, Dr. Jeniri Amir berkata, pemimpin politik Barisan Nasional (BN) lain dan kakitangan kerajaan perlu mencontohi gaya kepimpinan beliau. ''Sarawak adalah negeri pertama yang beliau lawati selepas mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan tindakan beliau mengulangi kunjungan ke kawasan pedalaman negeri ini jarang dilakukan oleh kebanyakan pemimpin tertinggi negara sebelum beliau. ''Keikhlasan Najib dalam menangani isu serta menyelesaikan masalah orang ramai amat disanjung tinggi oleh rakyat dan kaji selidik yang dibuat menunjukkan populariti beliau di kalangan penduduk Sarawak mencapai 80 peratus," katanya yang juga Pensyarah Kanan Kajian Komunikasi, Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas). Ujar beliau, hakikat itu amat digeruni oleh pihak pembangkang sendiri, sebab itulah, dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-10, mereka hanya mengkritik dasar Najib, tapi tidak berani memperkecilkan kepimpinan beliau. Apa yang disyor oleh Jeniri itu selaras dengan nasihat yang sering diulangi Najib yang mahukan anggota pentadbirannya memahami denyut nadi rakyat agar mereka berupaya menyelami keluh-kesah dan gundah-gulana sebenar kehidupan seharian masyarakat. Jika nasihat ini diikuti tanpa menyerah segala-galanya untuk dibuat oleh Perdana Menteri, impian untuk melihat rakyat kembali menyokong BN sudah tentu bukan lagi mimpi di siang hari. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Video seks, pakatan dan pemilihan Pas Posted: Video seks, pakatan dan pemilihan PasKelolaan LUKMAN ISMAIL HAMPIR sebahagian besar dunia blog minggu ini sesak dengan kisah rakaman video seks siri kedua yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang yang dimuat naik ke dalam YouTube kelmarin, yang kemudiannya disiarkan oleh blog-blog terbabit. Lucunya, walaupun sebahagian besar blog mesra pembangkang bermati-matian cuba menafikan penglibatan pemimpin terbabit dengan rakaman video seks tersebut tetapi pada masa sama mereka tetap menyiarkan rakaman tersebut dalam bentuk imej. Blog Duke of UMNO (dukeofumno.blogspot.com) yakin rakaman video itu telah ditonton oleh ramai rakyat Malaysia tanpa mengira sama ada mereka penyokong kerajaan mahupun pembangkang semata-mata mahu melihat sendiri apakah benar pelaku di dalam rakaman tersebut adalah pemimpin yang disebut-sebut itu. Katanya, benar atau tidak lelaki dalam rakaman tersebut adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim, apa yang jelas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu telah dilihat sebagai liabiliti kepada pakatan pembangkang baik di kalangan pemimpin Pas dan DAP mahupun di peringkat akar umbi. "Majoriti mereka menyesal dengan idea Pas dan DAP bergabung dengan PKR. PKR memang "busuk", kata mereka. Sudah lama mereka mahu parti mereka keluar dari pakatan dan bergerak secara solo sebagaimana dahulu. "Sekiranya Anwar ada rasa tanggungjawab, malu dan sedar diri, dia sepatutnya meletakkan jawatan sebagai Ketua Pembangkang dan berikan kepada DAP. Kemudian, dia seharusnya melepaskan kedudukannya sebagai Ketua Umum (PKR) yang tidak pernah dipertandingkan itu," katanya. Blog Gelombang Rakyat (gelombang-rakyat.blogspot.com) pula mendakwa beberapa pemimpin Pas peringkat negeri mula mendesak agar Anwar melepaskan kesemua jawatan politik bagi memberi fokus terhadap tuduhan-tuduhan yang sedang dihadapinya. "Walaupun pada asasnya mereka menganggap penyebaran video seks itu sebagai satu serangan politik, namun Anwar juga mesti membuktikan kepada masyarakat bahawa beliau bukan individu di dalam video itu. Mereka juga turut senada dengan keputusan Setiausaha Agung Pas, (Datuk) Mustafa Ali bahawa keputusan hasil kajian pihak polis sebagai penentu masa depan pembangkang," kata penulis blog ini. Bagi blog Pelantaq Hujah (pelantaqhujah.blogspot.com) pula melihat percanggahan pandangan antara Mustafa Ali dan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali tentang hala tuju Pas selepas tersebarnya rakaman video seks adalah detik-detik keretakan kedua-dua parti pembangkang itu. Ini ditambah pula rasa berang Timbalan Murysidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din kepada lidah rasmi PKR, Suara Keadilan yang menyiarkan laporan yang bercanggah dengan kenyataan sebenar beliau berhubung akhbar Utusan Malaysia. "Adakah ini tanda-tanda bahawa PKR dan Pas sudah semakin retak? Retaknya bukan lagi menunggu belah, tetapi retaknya menjadi ribuan retak. Setiap hari kita dapat melihat masing-masing mengeluarkan kenyataan yang saling bertentangan," katanya. Mengulas mengenai laporan tidak benar Suara Keadilan berhubung kenyataan Haron, blog Taiping Mali (taipingmali.blogspot.com) berkata, jelas sekali Haron yang diketahui tetap berpegang kepada kebenaran kini terhimpit dengan politik kepartian yang disertainya. Kata blog ini, apabila Haron berkata "jangan baca akhbar yang membawa berita fitnah sebab hukumnya haram", beliau tidak langsung berfikir untuk menyatakan perkara yang tidak benar, sebaliknya ia berlandaskan al-Quran dan ijmak. "Tetapi malangnya Ustaz Haron tersilap kerana menyertai parti gerombolan pakatan pembangkang. Akibatnya kata-kata beliau diubah dan dijadikan "tidak benar" dan terpaksalah dinafikan sekeras-kerasnya. Inilah antara risiko dan cabaran yang perlu dihadapi oleh Haron Din dan ustaz-ustaz lain yang mukhlisin (apabila terlibat dengan politik kepartian yang sempit)," katanya. Sementara itu, agak menarik juga untuk melihat perkembangan dalam Pas menjelang pemilihan pucuk pimpinan parti itu Jun ini. Mohd Sayuti Omar (msomelayu.blogspot.com) berkata, ada kemungkinan pemilihan pucuk pimpinan pada Muktamar Pas kali ini bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu antara penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, Mohamad Sabtu dan Tuan Ibrahim Tuan Man. Beliau berkata, Nasharudin mempunyai beberapa keistimewaan tetapi malangnya ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya sehingga beliau kelihatan tidak berketerampilan manakala Mohamad Sabu walaupun telah menyatakan hasrat untuk bertanding tetapi beliau tidak begitu disenangi. "Khabarnya Tok Guru Nik Aziz telah menyatakan cadangan agar Tuan Ibrahim Tuan Man bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden... Apabila isyarat itu sudah jelas, saya percaya selepas ini senario dalam perebutan jawatan timbalan presiden akan berubah. Sekali gus ia akan merancakkan mutktamar Pas kali ini. Pertandingan mungkin bukan dua penjuru tetapi tiga, atau mungkin akan ada yang menarik diri," katanya. Blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) pula berkata, kebanyakan veteran Pas mahukan Nasharuddin kekal sebagai pemimpin nombor dua dalam parti itu dengan mengambil kira kebolehan yang ada pada beliau. Katanya, Pas tidak perlu orang 'berani tetapi bengap'. Pas juga tidak perlu orang yang 'kaya tetapi kedekut' sebagai Timbalan Presiden. Pas kena kembali kepada politik zaman Asri (Datuk Asri Muda). Cekap, pantas mengintai peluang dan tidak terlalu setia dengan pakatan politik. "Jangan cepat sangat nak menyanjung individu. Kena tengok jangka panjang. Kena tengok kemampuan kita di bawah," kata blog itu. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan