Jumaat, 29 April 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Sasar nilai dagang RM267 bilion

Posted:

Sasar nilai dagang RM267 bilion

Sasar nilai dagang RM267 bilion

Oleh RAJA SYAHIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Najib Tun Razak mendengar ucapan Wen Jiabao semasa Forum Kerjasama Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-China di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 April - Nilai perdagangan antara Malaysia dengan China disasarkan mencapai RM267 bilion (AS$90 bilion) pada 2015 hasil kerjasama ekonomi yang mantap kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, jumlah itu merupakan peningkatan dua kali ganda berbanding RM45 bilion yang dicatatkan tahun lalu.

"Pelaksanaan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China pada 2010 menyaksikan nilai perdagangan Malaysia-China meningkat sebanyak 150 peratus iaitu daripada RM53 bilion pada 2004 kepada RM45 bilion tahun lepas.

"Namun, kedua-dua negara boleh mencapai nilai (perdagangan) lebih baik sekiranya menumpukan ke arah bidang kepentingan bersama, bukan hanya secara dua hala tetapi membabitkan negara ketiga secara usaha sama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kerjasama Ekonomi, Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-China di sini hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri China, Wen Jiabao.

Majlis itu merupakan salah satu acara sempena lawatan dua hari Jiabao ke negara ini bermula semalam.

Dalam mencapai sasaran itu, Najib yang juga Menteri Kewangan mengalu-alukan kehadiran lebih banyak syarikat dari China ke negara ini terutama ketika Malaysia sedang melaksanakan Program Transformasi Ekonomi.

"Program Transformasi Ekonomi akan mencipta bidang pelaburan baru membabitkan nilai RM1.4 trilion dalam 10 tahun mendatang dengan 92 peratus membabitkan perniagaan swasta," ujarnya.

Selain menggalakkan pelaburan dari China ke negara ini, Najib turut memberi jaminan bahawa syarikat dari Malaysia akan lebih banyak menjalankan perniagaan di republik itu pada masa hadapan.

Katanya, syarikat dari Malaysia kini berminat mencari peluang pelaburan di kawasan komersial yang baru diwujudkan di China terutama di wilayah barat, tengah dan timur laut negara itu.

Sementara itu, Perdana Menteri memberitahu, Kuala Lumpur amat berbangga dengan pengiktirafan China yang memberi gelaran Negara Kehormat (Country of Honour) kepada Malaysia sempena Ekspo ASEAN-China Kelapan Oktober ini.

"Malaysia pasti akan melakukan yang terbaik dengan profil tinggi sebegini bagi memastikan kerjasama berterusan kedua-dua negara terutama dalam sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi, khidmat alam sekitar dan teknologi hijau," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penyatuan tenaga lonjak ekonomi negara

Posted:

Penyatuan tenaga lonjak ekonomi negara

Penyatuan tenaga lonjak ekonomi negara

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 28 April - Ekonomi Malaysia mampu berkembang dan mencapai tahap lebih tinggi melalui penyatuan serta penggemblengan tenaga antara semua kaum di negara ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia juga boleh dijayakan dengan menggabungkan nilai-nilai murni yang menjadi amalan setiap kaum.

"Dengan gabungan etika kerja, dedikasi dan ketekunan kaum Cina bersama layanan baik, kejujuran dan sikap bertimbang rasa orang Melayu serta masyarakat India yang menghormati nilai-nilai kekeluargaan, kita mampu mencipta sinergi yang akan melonjakkan ekonomi negara.

"Ia juga akan membawa Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur. Apabila saya menyebut kita mampu mencipta sinergi, ia bermaksud kita semua kerana kerajaan tidak mampu melakukannya seorang diri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Pusat Penyelidikan Sosio-Ekonomi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden ACCCIM, Tan Sri William Cheng dan Pengerusi Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun.

Pada majlis itu, ACCCIM menerima dana sebanyak RM25 juta bagi penubuhan pusat penyelidikan tersebut daripada beberapa syarikat ternama tempatan.

Najib berkata, selain penyatuan kaum, ekonomi negara juga boleh diperkukuhkan melalui kerjasama pintar antara kerajaan dan swasta.

Katanya, kedua-dua sektor harus saling bekerjasama bagi mewujudkan inovasi dan bukannya saling bertentangan yang akhirnya akan memberi kesan kepada ekonomi.

"Kerjasama antara sektor awam dan swasta sudah menunjukkan hasil apabila Malaysia berjaya memperbaiki kedudukan dalam laporan penilaian Doing Business 2010 Bank Dunia iaitu di kedudukan ke-21 berbanding ke-23 sebelum ini.

"Kita juga berjaya berada di kalangan 10 negara paling berdaya saing menerusi laporan World Competitiveness Yearbook 2010," jelasnya.

Atas kejayaan itu kata beliau, kerajaan komited dalam memastikan generasi serta masa depan negara bertambah baik menerusi inisiatif-inisiatif baru yang diperkenalkan seperti Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kata Najib, sebagai negara yang kaya dengan pelbagai sumber seperti minyak, gas dan getah, di pihak kerajaan, rakyat merupakan 'sumber' yang cukup berharga.

"Justeru, rakyat perlu dibekalkan dengan pelbagai kemahiran di peringkat awal. Merekalah nanti akan menjadi seorang ahli perniagaan berjaya yang akan membantu melonjakkan ekonomi negara," tambahnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

China pandang tinggi peranan global Malaysia

Posted:

China pandang tinggi peranan global Malaysia

China pandang tinggi peranan global Malaysia

PUTRAJAYA 28 April - Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang memandang tinggi peranan dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa menyatakan kesediaan Beijing untuk menghadapi isu dan cabaran global yang kompleks bersama negara ini.

Jiabao berkata, China mahu mendalamkan lagi dasar saling mempercayai antara kedua-dua negara dari segi politik dan strategik demi memastikan hubungan sedia ada terus berkembang secara stabil dan sihat.

''China tidak ada kepentingan utama yang bertentangan dengan Malaysia sebaliknya kita mempunyai hubungan rapat untuk mencapai kepentingan bersama demi kebaikan kedua-dua negara.

''Malaysia merupakan negara pengasas ASEAN dan penggerak aktif dalam kerjasama rantau Asia Timur yang memberi sumbangan penting dalam hubungan China dengan ASEAN," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Menyentuh hubungan ekonomi, Jiabao berkata, China akan mengimport kelapa sawit secara stabil selain durian beku dari Malaysia.

''Malaysia merupakan rakan dagang terbesar China di rantau Asia Tenggara. Pelbagai produk berkualiti dengan harga berpatutan dari Malaysia telah mendapat sambutan baik rakyat China.

''Pada masa sama, kita berharap Malaysia akan memudahkan syarat untuk kemasukan produk-produk keluaran China," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat-syarikat dari China bersedia melibatkan diri secara aktif dalam projek-projek pembangunan infrastruktur di Malaysia dan pada masa sama, mengalu-alukan kehadiran firma tempatan ke republik itu.

Mengenai hubungan sosial pula, Jiabao berkata, kerajaannya akan terus memperluaskan hubungan dalam bidang budaya, pendidikan, pelancongan, media dan teknologi untuk meningkatkan pemahaman rakyat Malaysia terhadap China.

''Saya berpendapat persahabatan antara kedua-dua negara bergantung kepada hubungan rakyatnya," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan