Khamis, 28 April 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Pesta Sukan Bendang imbau nostalgia

Posted:

Pesta Sukan Bendang imbau nostalgia

Pesta Sukan Bendang imbau nostalgia

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


Para peserta yang mengambil bahagian dalam acara serkap ikan dalam bendang kelihatan berusaha untuk medapat hasil tangkapan terbanyak pada Pesta Sukan Bendang di Kampung Senara, Pendang, baru-baru ini. - utusan/Kamal Basir


PENDANG 27 April - Bersesuaian dengan statusnya sebagai jelapang padi negara, muka bumi Kedah diliputi kawasan bendang yang luas.

Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan mempunyai satu musim lembap yang ketara selain adanya musim panas berpanjangan.

Justeru, bukan satu perkara yang menghairankan apabila melihat kewujudan sawah-sawah padi yang terbentang luas di seluruh negeri ini termasuk di sekitar daerah Kota Setar yang pesat membangun.

Bagaimanapun, mungkin ramai generasi muda pada masa ini hanya melintasi kawasan bendang tanpa merasai kemeriahan aktiviti selepas musim menuai pada masa dahulu.

Bagi mengembalikan nostalgia rakyat tentang aktiviti bersawah yang sudah menjadi sumber rezeki penduduk negeri ini sejak berzaman, Pesta Sukan Bendang diadakan di Kampung Senara di sini baru-baru ini.

Penganjuran pesta sehari itu hasil inisiatif dan kerjasama pergerakan belia dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) dari Kampung Senara, Keda Lahar Tunjung, Bukit Lalang serta Bukit Chegal.

Lebih 500 pengunjung tanpa mengira usia dari kampung-kampung berdekatan hadir bagi menyaksikan dan menyelami aktiviti kehidupan masyarakat pesawah yang diketengahkan dalam pesta berkenaan.

Ia turut mendapat sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tiang, Suraya Yaacob yang tanpa segan silu turun ke bendang bagi sama-sama memeriahkan acara berkenaan.

Sebanyak 12 acara disertai pengunjung antaranya bola baling, tarik tali dan menangkap ikan menggunakan serkap buluh.

Meskipun terpaksa bergelumang dengan selut di bawah pancaran terik sinaran matahari, para peserta kelihatan gembira dapat bertanding dalam suasana berbeza.

Para pengunjung yang membanjiri jalan tar di kawasan sawah tempat pesta itu berlangsung pula kelihatan berseronok memberikan sokongan.

Menurut Suraya, penganjuran acara seumpama itu mampu memberi pendedahan berguna kepada orang ramai khususnya generasi muda melihat dan merasai pengalaman yang tidak dapat diperoleh di tempat lain.

Lebih penting, kata beliau, acara tersebut secara tidak langsung dapat mengeratkan silaturahim sesama peserta dan pengunjung.

Menurut beliau, berdasarkan sambutan hangat orang ramai terhadap acara yang mengetengahkan aktiviti masyarakat pesawah yang semakin dilupakan itu, pihaknya bercadang menjadikannya sebagai program tahunan.

"Ia wajar dianjurkan pada setiap tahun kerana pesta sukan bendang mempunyai nilai warisan rakyat yang perlu diketengahkan kepada generasi pada masa ini.

"Kita mahu masyarakat mengetahui lebih banyak mengenai sawah yang mungkin pada pandangan ramai sebagai kawasan untuk menanam padi semata-mata. Program seumpama ini juga merupakan satu aktiviti yang sihat dengan penglibatan masyarakat di semua peringkat usia," katanya.

Sementara itu, pengerusi acara berkenaan, Mohd. Hamdi Che Me, 31, berkata, sebanyak lima kampung terlibat iaitu Kampung Senara, Lahar Tunjung, Keda Lahar Tunjung, Bukit Chegal dan Bukit Lalang.

Menurutnya, antara acara yang paling menarik perhatian dan penyertaan seramai 70 orang adalah menangkap ikan menggunakan serkap buluh.

"Kami melepaskan sebanyak 200 ekor ikan keli ke dalam bendang bagi memastikan para peserta dapat membuat tangkapan sebanyak mungkin. Pemenang dikira menerusi tangkapan yang paling banyak.

"Dalam pertandingan ini, bukan kemenangan atau hadiah yang menjadi buruan tetapi ia lebih kepada memberikan keseronokan kepada masyarakat untuk merasai pengalaman berkenaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peluang melihat aktiviti selepas menuai

Posted:

Peluang melihat aktiviti selepas menuai

Peluang melihat aktiviti selepas menuai


Azhar Nasir, Khairul Mohd Amin, Farah Diana


PENDANG 27 April – Pengalaman menyertai dan menyaksikan keunikan aktiviti pesta sukan bendang di Kampung Senara di sini menjadi kenangan manis kepada lebih 500 pengunjung yang menghadirinya baru-baru ini.

Mereka bukan sahaja dapat berseronok tetapi memperoleh pengalaman berharga melihat keunikan aktiviti petani selepas musim menuai yang semakin jarang dapat disaksikan khususnya oleh generasi muda pada masa ini.

Seorang peserta tarik tali dalam bendang, Azhar Nasir, 18, berkata, apa yang dilalui semasa menyertai acara berkenaan merupakan satu pengalaman berharga dan akan menjadi satu kenangan indah dalam hidupnya.

Peserta yang berasal dari Bukit Chengal di sini itu berkata, dia cukup seronok apabila dapat bersama dengan rakan-rakan termasuk dari kampung berdekatan 'bermain' selut dalam bendang.

"Biasanya kalau turun ke sawah adalah untuk menanam padi, tetapi acara ini cukup berbeza apabila sawah yang dipenuhi selut digunakan untuk bersukan. Memang cukup meriah lebih-lebih lagi dapat merasainya sendiri," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada program berkenaan.

Peserta menangkap ikan menggunakan serkap buluh, Khairul Mohd. Amin, 14, berkata, dia cukup gembira apabila keluarga membenarkannya turun ke bendang untuk menyertai acara berkenaan.

Katanya, biarpun penat tetapi peluang menangkap ikan keli yang dilepaskan oleh penganjur ke dalam bendang amat mengujakan.

"Kalau program seperti ini diadakan lebih kerap, lagi elok. Saya tidak akan ketinggalan untuk menyertainya," katanya yang berasal dari Kampung Lahar Tunjung.

Seorang pengunjung, Farah Diana Sudin, 25, pula berkata, acara yang disaksikan sepanjang pesta itu memang menghiburkan dan menjadi satu pengalaman unik yang tidak akan dilupakan sampai bila-bila.

Katanya, ia satu pendedahan berharga mengenai aktiviti nenek moyang mereka suatu ketika dulu kepada generasi muda sepertinya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

38,000 komputer diagih

Posted:

38,000 komputer diagih

38,000 komputer diagih

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my


AHMAD Bashah Md. Hanipah (belakang, lima dari kiri) bersama guru dan pelajar pada majlis pelancaran pemberian komputer 1Malaysia di SMKTAR di Alor Setar, semalam.


ALOR SETAR 27 April - Sebanyak 38,000 unit komputer riba 1Malaysia akan diagihkan kepada pelajar yang layak di 178 buah sekolah menengah di seluruh negeri ini menjelang Jun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, kerajaan Persekutuan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memperuntukkan RM38 juta bagi tujuan itu di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan (NBI).

Katanya, pengagihan komputer berkenaan yang dibuat secara berperingkat membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu masyarakat khususnya pelajar luar bandar supaya celik teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

"Pemilikannya dengan sasaran satu komputer bagi satu keluarga memberi kemudahan kepada pelajar dan masyarakat untuk mengakses jalur lebar secara lebih meluas.

"Kita harap pemberian ini juga dapat merapatkan jurang digital serta komunikasi antara penduduk di kawasan bandar dan luar bandar," katanya pada majlis pelancaran pemberian komputer 1Malaysia di bawah NBI peringkat negeri di Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman (SMKTAR) di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah SKMM Wilayah Utara, Mohd. Hussin Ali dan Pengarah Pelajaran negeri, Mansor Lat. Pada majlis tersebut seramai 389 pelajar SMKTAR menjadi kumpulan pertama menerima sumbangan komputer riba berkenaan.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri berkata, pengetahuan dalam bidang ICT menjadi faktor penting bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik bahkan memastikan masyarakat pada masa ini celik teknologi maklumat agar setanding dengan rakyat di negara maju.

"Penggunaan ICT dalam pembelajaran amat berguna apabila kesemua maklumat dikehendaki diperoleh dengan mudah dan cepat. Pada zaman sekarang, menjadi satu kelebihan bagi mereka yang melayari Internet untuk menyediakan pelbagai bahan rujukan serta maklumat.

"Nasihat saya kepada pelajar jangan menyalahgunakan kemudahan ini untuk tujuan yang tidak baik.

"Ibu bapa perlu memantau aktiviti anak-anak ketika menggunakan komputer supaya ia tidak disalahgunakan," katanya.

Sementara itu Mohd. Hussin berkata, pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan tahap penembusan jalur lebar supaya kemudahan itu dapat dinikmati oleh masyarakat ke arah melahirkan modal insan berkualiti tinggi yang setanding dengan negara-negara maju.

Antara langkah yang diambil kata beliau, ialah bekerjasama dengan syarikat penyedia kemudahan jalur lebar dan membuka Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) di kawasan-kawasan tertentu seperti di tanah rancangan Felda.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan