Rabu, 27 April 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Polis buru ahli Geng Chellu

Posted:

Polis buru ahli Geng Chellu

Polis buru ahli Geng Chellu

Oleh AZELI ALI
azeli.ali@utusan.com.my


Shafien Mamat menunjukkan komputer riba dan beberapa motosikal yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam. (Gambar kecil) suspek, T. Sugunthan.


NIBONG TEBAL 26 April - Polis masih memburu seorang anggota Geng Chellu yang dipercayai terlibat dalam kegiatan samun bersenjata dengan menjadikan warga asing sebagai mangsa yang bergiat aktif di sekitar daerah ini sejak Ogos tahun lalu.

Suspek yang diburu itu ialah T. Sugunthan atau dikenali sebagai Veera, 23, berasal dari Taman Merak, Simpang Ampat dekat sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, tiga rakan Veera yang berusia 18 tahun telah ditahan pada 15 April lalu di sekitar Taman Merak dan mereka kini direman sehingga 29 April ini.

"Kumpulan ini dipercayai terlibat dalam kes samun menggunakan parang, pisau dan topi keledar ke atas warga asing.

"Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) SPS menyerbu dua rumah di Taman Merak dan menangkap tiga suspek terbabit," katanya pada sidang akhbar di IPD SPS, di sini hari ini.

Tambahnya, dalam serbuan itu, polis merampas dua motosikal jenis Ho nda EX5 berwarna hitam, sebuah motosikal jenis sama berwarna merah, sebuah komputer riba jenama Dell dan satu resit jual beli telefon bimbit daripada suspek.

Beliau berkata, modus operandi kumpulan ini adalah mereka akan menaiki motosikal berasingan sebelum menahan mangsa warga asing yang pulang atau berjalan ke tempat kerja.

"Hasil siasatan yang dibuat, kesemua suspek mengaku terlibat dalam lebih 15 kes samun di sekitar SPS dan aktif melakukan samun sejak Ogos tahun lalu.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nasib Sarimah dapat pembelaan BN

Posted:

Nasib Sarimah dapat pembelaan BN

Nasib Sarimah dapat pembelaan BN


Sarimah Abdul Aziz menceritakan nasib hidup yang terpaksa tinggal di rumah uzur kepada Zambry Abd. Kadir (tiga dari kanan) di Kampung Menteri, Kuala Sepetang, baru-baru ini.


KUALA SEPETANG 26 April - Penderitaan ibu tunggal, Sarimah Abdul Aziz, 42, yang terpaksa tinggal di rumah papan yang uzur di Kampung Menteri di sini bakal berakhir apabila kerajaan bersetuju membina rumah baru tidak lama lagi.

Perkara tersebut diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir selepas meninjau keadaan rumah Sarimah sempena program turun padang di kawasan Parlimen Bukit Gantang kelmarin.

Zambry berkata, Yayasan Bina Upaya (YBU) diberikan amanah membina rumah berkenaan bagi memastikan Sarimah bersama empat anaknya dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan selamat.

Ketika ditemui pemberita, Sarimah berkata, dia bersyukur kerana kerajaan negeri sudi membantu membina rumah baru bagi menggantikan rumah sedia ada.

Katanya, dengan pendapatan sekitar RM100 sebulan hasil mengopek kerang, dia tidak mampu untuk membina rumah baru yang lebih selesa.

"Saya tiada pilihan melainkan terpaksa tinggal di rumah uzur ini. Itu pun atas ihsan ahli keluarga lain yang juga bukan golongan senang," katanya di sini kelmarin.

Dia yang kematian suami setahun lalu berkata, walaupun menerima bantuan bulanan RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), ia masih belum mencukupi bagi menampung perbelanjaan harian yang semakin meningkat.

Dalam pada itu, lawatan Zambry ke sini bukan sahaja membawa khabar gembira kepada Sarimah tetapi lebih 750 keluarga yang tinggal di sepanjang laluan landasan kereta api pertama negara dari Port Weld ke Taiping.

Zambry berkata, kerajaan Barisan Nasional akan menyediakan tanah lot tersusun bagi menyelesaikan masalah penempatan membabitkan 776 rumah di sepanjang laluan kereta api berkenaan.

"Kerajaan Perak membuat keputusan untuk menyediakan lot tanah kepada penduduk terbabit selepas kerajaan Persekutuan bersetuju menyerahkan semula tanah di sepanjang laluan kereta api Kuala Sepetang-Taiping kepada kerajaan negeri," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk kecewa, banjir Taman Seri Kulim terus berulang

Posted:

Penduduk kecewa, banjir Taman Seri Kulim terus berulang

Penduduk kecewa, banjir Taman Seri Kulim terus berulang

KULIM 26 April - Penduduk Taman Seri Kulim di sini yang sering dilanda banjir kilat mendakwa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) gagal mengambil tindakan sewajarnya untuk mengatasi masalah itu sehingga menyebabkan ia terus berulang.

Penduduk mendakwa, projek menaik taraf Sungai Tebuan yang digerakkan JPS baru-baru ini tidak membawa sebarang makna memandangkan banjir kilat dikesan lebih teruk berbanding sebelum ini.

Seorang penduduk Anissriman Ismail, 33, berkata, dalam kejadian terbaru semalam, lebih 30 rumah penduduk dimasuki air selepas hujan turun dengan lebat bermula kira-kira pukul 3 petang.

Dia mendakwa, sebelum ini air hanya akan memasuki halaman rumah tetapi banjir kilat semalam lebih buruk.

"Saya terkejut apabila air Sungai Tebuan melimpah dengan banyak sehingga memasuki seluruh rumah. Saya berharap pihak JPS dapat mengkaji semula keberkesanan projek tebatan banjir," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Anissriman berkata, berdasarkan tinjauan penduduk, kerja projek tebatan banjir itu dilakukan secara ala kadar dan menyebabkan masalah banjir kilat berulang.

"Penduduk difahamkan projek tebatan banjir ini hanya berjalan separuh dan terhenti dengan alasan tiada peruntukan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Hassan Abdul Aziz, 55, kesal kerana masalah yang dihadapi penduduk tidak dapat diselesaikan meskipun beberapa agensi kerajaan berjanji untuk membantu sebelum ini.

"Taman ini sememangnya kawasan yang sering dilanda banjir kilat. Apabila projek tebatan banjir dilakukan penduduk berharap ia dapat atasi.

"Namun, sekarang keadaan bertambah buruk kerana ia tidak dilaksanakan dengan baik," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan