Ahad, 17 April 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Iktibar berharga buat BN

Posted:

Iktibar berharga buat BN

Iktibar berharga buat BN

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

BERMULA tengah hari sehinggalah pukul 7.30 malam kelmarin, begitu banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) diterima penulis dan rakan-rakan seperjuangan di Kuching tentang benarkah tsunami politik sudah melanda Sarawak.

Panggilan telefon bertalu-talu dari Semenanjung itu mendakwa pakatan pembangkang sudah membentuk kerajaan negeri sekitar pukul 5 petang, yang juga masa semua pusat pengundian di seluruh Sarawak ditutup serentak. Malas melayan panggilan bertalu-talu itu, penulis mendapatkan komen segera daripada seseorang yang mempunyai kredibiliti untuk mengulas spekulasi ini.

"BN membentuk kembali kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga," kata sumber yang boleh dipercayai itu pada pukul 6 petang. Satu SMS kemudian tertera di telefon bimbit penulis: "Rombongan pihak media sedang menuju ke kediaman Ketua Menteri (di Demak Jaya, Kuching), CM (Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud) pun sudah berbaju Melayu," menguatkan andaian tsunami politik di Bumi Kenyalang cuma khabar angin 'paling hebat' pernah penulis dengar.

Sesuatu yang menarik di sini ialah blogger-blogger pro-kerajaan tidak putus-putus bergasak di ruang maya untuk mengekang psy-war lawan mereka daripada pembangkang sejak pukul 1.30 petang lagi. Ini sejurus Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan spekulasi bahawa pembangkang mendahului dari segi sokongan pengundi di semua pusat mengundi.

Berdasarkan pengamatan penulis sepanjang 10 hari tempoh berkempen, pilihan raya Sarawak diakui menyaksikan persaingan cukup sengit. Di bandar-bandar utama seperti Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu, poster-poster Abdul Taib yang diganding dengan pemimpin Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP, parti komponen Cina BN Sarawak) hampir tidak ada langsung. Keadaan ini cukup berbeza dengan senario pilihan raya pada 2006.

Sentimen terhadap Abdul Taib itu sebenarnya bermula sejak pilihan raya kecil Parlimen Sibu lagi pada tahun lepas. Di tengah-tengah kesibukan bandar Sibu, poster Ketua Menteri itu digambarkan 'agak keterlaluan' bersebelahan dengan gambar Lim Guan Eng yang 'bersih dan berwibawa'. Realitinya, bentuk kempen DAP menggunakan poster amat strategis dan informatif. Ini ketara di semua kerusi Cina sehingga menjengkelkan mata memandang.

Sentimen penolakan pengundi Cina terhadap kepimpinan kerajaan negeri termasuk penguasaan kuasa terlalu lama Presiden SUPP, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam terkesan lebih awal pada hari ketiga kempen. Di Kampung Lereng Bukit di Miri, hadirin ceramah calon DAP pada malam Khamis lalu penuh sesak. Ramai penduduk berbondong-bondong sanggup menjinjing kerusi yang dibawa dari rumah dan premis perniagaan ke tempat ceramah.

Apakah iktibar yang dapat direnung dari pilihan raya Sarawak? Di sebalik kenyataan seorang ketua pemuda parti kerajaan dari Semenanjung kelmarin bahawa 'walaupun keseluruhan BN menang, tetapi BN mengalami kekalahan paling teruk (kali ini)', timbul persoalan apakah penyumbang utama kekalahan BN di kawasan-kawasan Cina.

Semua di Sarawak maklum kekalahan teruk SUPP yang meraih cuma enam daripada 19 kerusi yang ditandingi berpunca daripada kepimpinan Hong Nam serta pergolakan dalaman parti yang berlarutan sejak sekian lama. Ini terutama perseteruan Hong Nam dengan Timbalan Setiausaha Agung SUPP Pusat yang juga Pengerusi SUPP Sibu, Datuk Seri Wong Soon Koh.

Dengan masih banyak rumah panjang di Bawang Assan, Soon Koh patut bersyukur 'diselamatkan' oleh pengundi Bumiputera untuk menang 1,808 undi menewaskan calon DAP. "Meskipun masalah dalaman SUPP ini baru diperbaiki baru-baru ini dan lukanya dikatakan telah sembuh, (namun) parutnya masih ada," kata sumber parti itu kepada Utusan Malaysia semalam.

Yang pasti, SUPP akan senasib dengan parti Gerakan di Pulau Pinang yang dikatakan tidak lagi relevan buat pengundi Cina. Implikasinya, wakil Cina mana yang hendak dilantik dalam barisan Kabinet negeri. Adakah Abdul Taib yang menerajui cemerlang Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dengan menyapu bersih 35 kerusi akan mengekalkan wakil SUPP? Adakah masyarakat bumiputera akan memberi tempat yang wajar kepada SUPP? Dilema ini kelak akan menjarakkan lagi kepimpinan negeri dengan SUPP. Dan impaknya ialah pengundi Cina yang nampaknya kena dengan bidalan 'Gajah dan gajah bergaduh, pelanduk mati di tengah-tengah'.

Akhirnya SUPP akan menjadi parti nyamuk. Kedudukannya di ranking nombor dua dalam BN Sarawak hakikatnya telah dirampas oleh Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang hanya kehilangan satu kerusi daripada sembilan yang ditandingi. Dan bukan juga dalam kedudukan ketiga, tetapi SUPP kini jatuh ke tangga keempat pula selepas satu lagi komponen, SPDP menang enam daripada lapan kerusi. Ini bermakna SUPP akan tutup kedai dan gulung tikar. Dan jika imej SUPP yang tercalar ini sudah sedemikian rupa, maka masyarakat Cina di Sarawak perlulah berfikir bagaimana hendak menempatkan wakil mereka dalam kerajaan negeri.

Pokoknya di sini ialah semua kaum, tidak kira masyarakat Bumiputera (terdiri daripada Orang Ulu, Iban, Bidayuh dan Melayu/Melanau) dan Cina perlu bekerjasama untuk Sarawak yang mansang.

Namun, di sebalik sentimen perkauman yang terlampau kuat di kalangan pengundi Cina yang mewarnai penolakan terhadap kepimpinan Abdul Taib, sesuatu yang harus diakui adalah faktor turun padang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan beliau, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menjadi enjin penyelamat mencorakkan kemenangan besar BN di kerusi-kerusi pedalaman dan luar bandar.

Dari kerusi 'hitam', dikelabukan dan berakhir ke putih, Najib dan Muhyiddin mengharung cuaca mendung, berkabus dan menongkah angin lintang bumi Sarawak untuk menemui pengundi. Di Bario dan Marudi, penduduk teruja menanti pesawat Najib.

Di Demak Jaya malam kelmarin, Abdul Taib menyanjung tinggi kerja keras Najib dan Muhyiddin. Ternyata selepas ini, masyarakat pedalaman dan luar bandar Sarawak perlu lebih diberi perhatian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pemimpin pelapis akan dibentuk

Posted:

Pemimpin pelapis akan dibentuk

Pemimpin pelapis akan dibentuk

SEBAIK sahaja selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak kelmarin, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mengadakan sidang akhbar kali kedua di kediamannya di Demak Jaya, Kuching. Berikut kenyataan beliau yang dipetik oleh wartawan Utusan Malaysia, RAJA SYAHRIR ABU BAKAR dan MOHD. ZAAIN MD. ZIN.

SOALAN: Adakah Tan Sri sudah jangka BN menang 55 kerusi?

ABDUL TAIB: Saya telah jangka keputusan ini. Saya jangka Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan menang 100 peratus kerusi ditandingi. Jangkaan itu tepat. Namun semacam ada polarisasi kaum dalam trend pengundian ditunjukkan dalam pihak pembangkang dan ia sesuatu yang tidak sihat untuk Sarawak. Bagaimanapun, saya mengambilnya sebagai luahan perasaan para pengundi dan kita ambil maklum mengenai perkara itu. Apakah natijahnya, saya sendiri tidak tahu dan saya sedang memikirkan cara untuk menghadapi situasi ini. Hanya ada dua calon Cina (BN) yang memenangi pertandingan kali ini iaitu Datuk Seri Wong Soon Koh (Bawang Assan) dan Lee Kim Shin (Senadin).

Selain itu, ia adalah sesuatu yang merugikan apabila melihat Prof. Dr. Sim Kui Hian (calon BN di Pending) tidak menang kerana kita tahu beliau mampu menjadi seorang pemimpin yang amat baik. Namun itulah hakikatnya, saya perlu meneliti perkembangan ini dengan sebaik-baiknya untuk memahami apa mesej yang ingin disampaikan oleh masyarakat Cina kepada kerajaan.

Jika mereka ingin mengunakan pendekatan perkauman, ia adalah sesuatu yang tidak boleh saya penuhi, begitu juga di seluruh negara, kita tidak boleh memenuhi politik perkauman kerana ia akan menimbulkan situasi tidak elok di antara kita. Tetapi isu-isu dalam pilihan raya negeri kali ini tidak menyentuh sangat tentang perkembangan dalam negara. Ia lebih kepada serangan peribadi, pembunuhan karektor, lebih kepada menjatuhkan maruah seseorang daripada menjelaskan dasar alternatif yang dimahukan (pembangkang).

Manifesto yang dikemukakan pihak pembangkang tidak mempunyai kredibiliti, 'wishy-washy', itu perkataan yang tepat. Ia tidak berasaskan realiti atau kemahuan yang serius dalam memberikan khidmat kepada rakyat Sarawak.

Walaupun BN menang, secara umumnya jumlah majoriti calon-calon BN semakin menurun. Jadi, apakah maksud trend ini?

Kalau dibandingkan dengan pilihan raya negeri 2006, majoriti calon-calon PBB boleh dikatakan naik jauh. Di kalangan parti lain dalam BN juga majoritinya juga cukup baik. Dari situ, kita nampak bahawa perasaan di kalangan pengikut BN adalah sangat sihat dan mereka percaya kita telah pun dapat menunaikan janji kita untuk berkhidmat sepenuhnya kepada mereka. Saya rasa 'response' di kalangan para pengikut bumiputera sama ada Melayu, Iban, Bidayuh dan Orang Ulu adalah berasaskan keinginan untuk melihat nasib mereka bertambah lebih baik dengan adanya pembangunan berterusan serta lebih berjaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri kita.

Apakah bentuk Kabinet baru Tan Sri nanti dengan adanya ramai muka baru?

Saya tidak mahu jawab sekarang kerana kita mahu kaji dahulu apakah cara kita nak respons kepada keputusan ini dan apakah ertinya suara rakyat melalui pilihan raya ini. Tetapi, sebagai langkah sementara, saya akan melantik semua menteri penuh saya yang menang kembali menjadi menteri dan kemudian saya akan melihat pelantikan menteri-menteri muda. Bentuk terakhir Kabinet mungkin akan diketahui dalam masa sebulan lagi.

Dengan kekalahan SUPP, bagaimanakah perwakilan masyarakat Cina dalam Kabinet Sarawak nanti, adakah ia akan terjejas?

Inilah perkara yang kita fikirkan sedalam- dalamnya. Adakah kita dapat cukup pandangan menerusi wakil SUPP ataupun kita perlu melihat gambaran yang lebih luas lagi. Masalah ini saya terpaksa fikir dengan lebih dalam, tidak boleh sebut sekarang. Tentang SUPP, biarlah SUPP dahulu yang patut mengumumkan apa yang mereka nak buat bagi diri mereka.

Bagaimanakah dengan politik tidak matang/kotor (hitting below the belt) yang diamalkan pada pilihan raya kali ini?

Saya mengucapkan terima kasih kepada kebanyakan pengundi Sarawak kerana telah dapat mempertahankan bentuk 'gentlemanliness' di kalangan mereka dalam menghadapi pilihan raya ini. Saya rasa selesa kerana mereka bersikap demikian. Kalau tidak, banyak daripada cara politik baru yang datang dari luar dan berasaskan langkah mengapi-apikan, timbulkan perasaan benci, syak wasangka, meninggikan sifat perkauman dan menimbulkan perasaan takut. Semua ini telah kita nampak dalam cara kempen baru yang bukan berasal dari anak-anak Sarawak. Ini saya rasa saya tidak akan bincangkan secara cepat, bahkan akan menyuruh penyediaan satu kertas putih (white paper) seperti yang telah saya janjikan untuk menjaga agar politik kita tidak melarat sehingga demokrasi kita terheret ke sana sini tanpa tentu arah. Demokrasi yang tidak berhaluan dengan sihat tidak akan dapat menjaga kepentingan rakyat.

Apa komen tentang (Presiden SUPP Tan Sri Dr.) George Chan (Hong Nam)?

Hanya apakah yang akan kita buat dengan mesej daripada orang Cina. Seperti saya katakan, jika mereka mahu mengguna pakai politik perkauman, itu adalah sesuatu yang tidak boleh kita benarkan. Walaupun ia (politik perkauman) sah, kita akan mundur dalam perkembangan sebegitu.

Adakah Tan Sri fikir ini merupakan pilihan raya paling sukar buat anda?

Tidak, 1987 secara perbandingannya adalah lebih sukar.

Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sama-sama turun padang, adakah itu menyumbang kepada kemenangan?

Tiap-tiap pilihan raya kita selalu berjalan, saya pergi hampir semua Dewan Undangan Negeri (DUN). PM dan TPM memang membantu, sangat baik kesannya, kali pertama rakyat nampak kerajaan Pusat memberi perhatian lebih kepada Sarawak, rakyat tahu Sarawak perlu menyertai dengan cepat dasar Kerajaan Pusat seperti yang terkandung dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) program tiga tahun untuk mempercepatkan pembangunan luar bandar, bekalan air, elektrik dan ini perkara sangat penting sekali bagi Sarawak. Sebab itu orang Sarawak lebih yakin Kerajaan Pusat akan berdiri teguh di belakang kerajaan negeri khususnya pelaksanaan wilayah Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (Score) supaya Sarawak sama rentak pembangunan di Semenanjung, di mana aktiviti ekonomi lebih rancak, lebih banyak penduduk, pasaran lebih baik dan infrastruktur.

Tentang pengundi Cina, bagaimanakah kerajaan akan menarik kembali sokongan mereka?

Saya akan memikirkan perkara ini dengan semasak-masaknya bagaimana mengatasi masalah istimewa berkenaan masyarakat Cina. Ia bukan masalah Cina melawan (versus) bukan Cina, ia lebih kepada masyarakat Cina tidak mempunyai saluran atau wakil untuk mengemukakan perasaan, itu bacaan yang betul. Masyarakat Cina juga perlu berfikir dengan semasak-masaknya sama ada untuk kekal bersama DAP atau berada di luar (DAP) atau mereka mahu mencari penyelesaian terbaik untuk bersama-sama rakan lain dari bangsa lain dalam memperjuangkan Sarawak yang lebih makmur.

Bagaimana dengan pelan peralihan kuasa Tan Sri.

Saya tahu, tetapi saya perlu memikirkan perkara ini dengan teliti sebelum membuat sebarang pengumuman. Saya telah membuat keputusan tetapi saya tahu pengunduran saya adalah sesuatu yang amat sukar untuk dilaksana bukan kerana saya mahu terus memegang jawatan ini atau tidak, saya telah bersedia untuk melepaskan jawatan ini sejak 10 tahun lalu. Namun ia perlu mengambil kira dasar kesinambungan.

Persoalan untuk meneruskan agenda pembangunan, apa yang telah kita capai selama ini, segala momentum yang telah disediakan untuk Sarawak berkembang tidak boleh dikorbankan dengan perubahan dalam kepimpinan. Saya fikir akan mengumumkan (mengenai) pengunduran pada pertengahan penggal nanti dan saya akan gunakan segala masa yang ada untuk mempersiapkan satu pasukan pelapis mantap bagi mereka meneruskan semua dasar terbaik kita. Segala dasar inilah yang boleh memastikan para pelabur berasakan Sarawak masih merupakan destinasi baik untuk perniagaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan