Utusan Online - Pahang |
- Projek janakuasa elektrik RM70j
- Tubuh SRS di kampung, kawasan pedalaman
- Anggota polis dinasihat jaga kesihatan
Projek janakuasa elektrik RM70j Posted: Projek janakuasa elektrik RM70jOleh Ali Mahmood
TEMERLOH 1 April – Projek pembinaan Stesen Janakuasa Elektrik Kecil yang akan dilaksanakan tidak lama lagi di sini dengan membabitkan kos RM70 juta bakal memberi manfaat kepada penduduk sekitarnya. Ketua Pegawai Eksekutif JMT Tenaga Sdn. Bhd., Datuk T. Puspanadan berkata, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah meluluskan projek tersebut dengan pembinaan dalam lingkungan dua kilometer antara Pulau Temerloh dan Pulau Lebak di sini. Jelasnya, pembinaan itu tidak akan menjejaskan ternakan ikan di kawasan terbabit ataupun menyebabkan pencemaran sungai di kawasan sekitarnya. Katanya, selain itu janakuasa tersebut tidak menggunakan bahan kimia, petroleum, gas atau arang batu apabila siap kelak nanti. ''Nelayan dan penternak ikan patin serta talapia di kawasan berkenaan tidak perlu bimbang kerana kerja membina projek tersebut tidak menyebabkan ikan sungai dan ikan sangkar musnah," katanya kepada pemberita selepas meninjau kawasan berkenaan di Sungai Pahang di sini, baru-baru ini. Menurutnya, projek dikenali sebagai Program Tenaga Yang Diperbaharui Secara Terhad (Small Renewable Energy Program-SREP) menawarkan sumber tenaga elektrik alternatif yang tidak mencemarkan alam. Jelasnya, tenaga elektrik itu berasaskan penjanaan hijau seperti mini hidro yang dapat mengurangkan pelepasan karbon dan tidak akan mengancam keselamatan penduduk. Katanya, selain dapat menangani masalah banjir, janakuasa itu akan menjadi pemangkin dan alternatif kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga elektrik yang dijangka berlaku pada 2015. "Projek itu berasaskan konsep baru menggunakan air sungai (Run on River) adalah yang pertama diperkenalkan di negara ini dan tidak menggunakan tanah penduduk tetapi hanya menebus guna tanah sungai serta tanah kerajaan di hadapan pulau," katanya. | ||
Tubuh SRS di kampung, kawasan pedalaman Posted: Tubuh SRS di kampung, kawasan pedalaman
RAUB 1 April - Pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) perlu ditubuhkan di kampung dan kawasan pedalaman bagi mencegah kegiatan jenayah di kawasan tersebut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, langkah tersebut dapat membendung jenayah seperti kecurian, pecah rumah dan dadah serta mengawal keselamatan penduduk setempat. Katanya, pasukan ala 'Pasukan Kawalan' yang pernah ditubuhkan sekitar tahun 60-an sewaktu negara berkonfrantasi dengan Indonesia ternyata berjaya mengawal keselamatan kampung dan sekitarnya. ''Selain berkawal, berjaga dan meronda kawasan secara bersama secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan masyarakat dan mewujudkan rasa tanggungjawab kepada keselamatan kawasan perumahan serta kampung," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan peralatan kepada lapan SRS Daerah ini di Dong, Raub baru-baru ini. Menurut Shahiruddin, inisiatif penduduk, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Raub menubuhkan pasukan itu perlu dipuji dalam usaha menjaga keselamatan kawasan, taman perumahan dan kampung. Katanya, langkah tersebut secara tidak langsung membantu pihak berkuasa seperti polis dan Rela menangani masalah keselamatan serta jenayah kerana ia menjadi tanggungjawab bersama. ''Rakyat perlu menjaga keselamatan kerana jika berlaku huru-hara negara akan hancur dan hidup sengsara seperti yang berlaku di beberapa negara ketika ini. Beliau berharap, pasukan SRS bukan sahaja menjaga keamanan dan keselamatan kampung dan taman, malah, dapat mengadakan lebih banyak aktiviti kemasyarakatan dalam usaha menyatupadukan penduduk. | ||
Anggota polis dinasihat jaga kesihatan Posted: Anggota polis dinasihat jaga kesihatanTEMERLOH 1 April - Pegawai dan anggota polis Daerah Temerloh dinasihatkan supaya menjaga kesihatan agar sentiasa cergas supaya dapat melaksanakan tugas dengan lancar dan cekap. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohd. Nor Mansor berkata, kecergasan dan kesihatan yang baik adalah aset utama pasukan polis kerana mereka sentiasa berdepan dengan cabaran bagi menyelesaikan kes-kes jenayah dan menjamin ketenteraman awam. Katanya, pegawai dan anggota yang mempunyai pelbagai penyakit dan tahap kesihatan yang tidak seimbang menyukarkan mereka untuk membanteras aktiviti jenayah terutamanya yang membabitkan penggunaan tenaga dan stamina. "Selain melakukan aktiviti senaman, menderma adalah satu cara bagi memastikan tahap kesihatan sentiasa dalam keadaan baik dan terkawal bagi menghindari penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, jantung dan sebagainya. "Malah aktiviti menderma darah juga turut digalakkan oleh agama kerana darah yang kita sumbangkan itu dapat menyelamatkan banyak nyawa dan pesakit seperti demam denggi, hemofilia, leukemia, wanita bersalin, mangsa kemalangan dan penyakit-penyakit lain yang berkaitan dengan penerimaan darah," kata Mohd. Nor. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa melawat pegawai dan anggota polis menderma darah sempena majlis Peringatan Hari Polis Ke-204 di Kompleks Perumahan Anggota Polis Daerah Temerloh di Temerloh Jaya, di sini semalam. Seramai 100 anggota polis tampil menderma darah bagi mengisi Tabung Darah Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temerloh. Menurut beliau, menderma darah menjadi aktiviti tetap bagi pegawai dan anggota polis setiap tahun setiap kali menjelang sambutan ulang tahun penubuhan PDRM. "Bagaimanapun saya berharap semua pegawai dan anggota polis dapat menderma darah dari semasa ke semasa mengikut jadual tanpa perlu menunggu sambutan hari PDRM. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan