Utusan Online - Mahkamah |
Posted: Khairudin menangis kena soalOleh NOOR AZMAH IBRAHIM KUALA LUMPUR 18 April – Seorang pengawal keselamatan yang bertugas pada malam Teoh Beng Hock disoal siasat di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor tiba-tiba menangis selepas tidak sampai setengah jam memberi keterangan dalam prosiding suruhanjaya di sini hari ini. Mohd. Khairudin Denan, 56, dilihat tidak dapat menahan air mata sebaik sahaja mendengar komen Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen tentang kegagalannya membuat rondaan di dalam pejabat berkenaan pada malam tersebut. Terdahulu, semasa ditanya oleh peguam yang mewakili SPRM, Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, Mohd. Khairudin menjelaskan tugasnya menjaga keselamatan dokumen-dokumen kerajaan, mengawal keluar masuk serta membuat rondaan bagi memastikan lampu-lampu ditutup. Semasa bertugas antara pukul 12 tengah malam dan 8 pagi, 16 Julai 2009, saksi mengaku serta bersumpah, dia tidak membuat rondaan kerana merasakan keadaan di pejabat selamat selain tidak tergerak hati untuk berbuat demikian. "Saya tidak meronda sebab Allah tidak menggerakkan hati saya,'' kata Mohd. Khairudin. Jawapan tersebut menyebabkan Cheng Yuen berkata: ``Kalau Tuhan tidak suruh awak buat rondaan, jadi awak tidak buat. Bergantung kepada Tuhan. Kalau begini setiap hari, jadi awak tidak perlu buat". Mohd. Khairudin dilihat terdiam dan terus tunduk sambil menangis sebaik sahaja mendengar kata-kata itu sehingga terpaksa dihulurkan tisu untuk mengelap air mata. Prosiding yang pada mulanya ditangguhkan selama lima minit bagi memberi ruang untuk saksi bertenang bagaimanapun berlanjutan selama satu jam apabila lelaki itu kemudiannya diambil keterangan secara tertutup di dalam kamar oleh seorang daripada panel suruhanjaya, Profesor Dr. Mohamed. Hatta Shaharum. Sebelum ini, pegawai penyiasat SPRM, Mohd. Anuar Ismail ketika memberi keterangan dalam prosiding suruhanjaya juga menangis apabila Cheng Yuen bertanya adakah saksi ditenangkan oleh isterinya ketika dia pulang untuk memastikan keluarganya dalam keadaan selamat berikutan insiden kematian Beng Hock. Pada Khamis lalu, prosiding sedikit gempar apabila Mohd. Khairudin didakwa menipu serta mendapat tunjuk ajar untuk memberi keterangan selepas sehelai nota bertaip dan bertulis tangan serta sebuah diari yang mengandungi beberapa catatan berkaitan ditemui bersamanya di dalam kandang saksi. Mohd. Khairudin bagaimanapun menjelaskan nota itu sebagai persediaan kerana ini merupakan pertama kali dia memberi keterangan di mahkamah manakala diari itu pula diambil dari bakul sampah dalam pejabat SPRM apabila melihat ia mengandungi ayat-ayat al-Quran dan tidak wajar dibuang sebegitu. Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok. Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada exco Selangor, Hian Wah, ditemui mati di koridor tingkat lima pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Graduan tikam kekasih kekal dipenjara Posted: Graduan tikam kekasih kekal dipenjaraPUTRAJAYA 18 April - Seorang graduan sebuah universiti tempatan kekal dipenjara empat tahun setelah Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuannya atas kesalahan menghalang bayi berusia lapan bulan yang dikandung oleh teman wanitanya daripada dilahirkan dengan cara menikam perut mangsa menggunakan pisau. Panel tiga hakim diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd. Sheriff sebulat suara menolak rayuan akhirnya dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor pada 10 September 2009. Ekoran keputusan yang turut dicapai oleh Hakim Datuk Ahmad Maarop dan Hakim Datuk Azhar Ma'ah itu, lelaki terbabit yang kini berusia 23 tahun terlepas peluang menghadiri upacara konvokesyennya yang dijadualkan berlangsung beberapa bulan lagi. Pemuda itu yang ketika kejadian berusia 17 tahun disabitkan atas tuduhan menikam perut gadis sebayanya di antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang, 11 September 2005 di sebuah rumah di Kampung Endah, Tanjung Sepat, Banting, Selangor. Dia yang mengaku bersalah atas tuduhan pilihan diperintah oleh Mahkamah Kanak-Kanak Telok Datok ditahan di Sekolah Henry Gurney selama tiga tahun sehingga mencapai usia 21 tahun. Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad (kini Hakim Mahkamah Rayuan) yang menjalankan kuasa semakan menggantikan perintah itu dengan hukuman penjara empat tahun. Pemuda terbabit diwakili oleh peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff manakala Timbalan Pendakwa Raya, Fatnin Yusof mewakili pihak pendakwaan. Fakta kes menyatakan, pada hari kejadian, pasangan itu melakukan hubungan seks sebelum bertengkar kerana perayu tidak berpuas hati berhubung bayi yang dikandung oleh kekasihnya. Mangsa mengalami pendarahan yang banyak setelah sebilah pisau berukuran lapan inci tercucuk di perutnya sehingga terpaksa dikejarkan ke Hospital Banting. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan