Selasa, 19 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


PAS akan tetap tanding di Sarawak PRU-13, kata Hadi

Posted: 18 Apr 2011 11:41 PM PDT

KUALA LUMPUR, 19 April — PAS akan tetap bertanding merebut kerusi Parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 walaupun gagal memenangi sebarang kerusi semasa pilihan raya negeri Sarawak, Sabtu lalu.

Tegas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang (gambar), walaupun parti Islam itu tidak menang di kelima-lima kerusi yang ditandingi namun sokongan kuat pengundi Sarawak menunjukkan parti itu mula diterima.

"Sokongan yang kuat diterima oleh mereka, maka ini petunjuk PAS diterima di Sarawak, namun kekuatan yang ada tidak mampu memberi kemenangan buat masa ini. 

"Bagaimanapun kita yakin dengan penerusan gerak kerja yang akan kita lakukan untuk mengembangkan PAS di Sarawak sejurus tamat pilihan raya (negeri Sarawak). 

"Malah sudah ada negeri-negeri yang mengambil inisiatif menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dibantu sebagai DUN angkat, untuk digerakkan PAS di Sarawak dan kita akan bertanding dalam pilihan raya yang akan datang," katanya kepada The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya negeri Sarawak kali ini PAS bertanding lima kerusi iaitu Tanjung Datu, Muara Tuang, Sadong Jaya, Sebuyau dan Beting Maro namun tewas di kesemua kawasan.

Walaupun tiada kerusi dimenangi tetapi undi popular diterima parti itu meningkat kali, kemungkinan antara lain kerana jumlah kerusi ditandingi kali ini. 

Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerajaan negeri Sarawak dalam persaingan paling sengit dengan memperoleh 55 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala Pakatan Rakyat, yang pertama kali bertanding di bawah perikatan tiga parti pula mendapat 15 kerusi dan Bebas satu. DAP menyumbangkan 12 kemenangan manakala PKR tiga kerusi. 

Tambah Hadi, walaupun masih baru bertapak di Sarawak, namun undi parti itu pada pilihan raya negeri itu meningkat dan ia bukti pengundi mula menerima dasar perjuangan parti Islam itu.

"PAS parti yang baru di Sarawak, walaupun tidak memenangi sebarang kerusi, undi PAS meningkat tinggi di Beting Maro dan bertambah melebihi 100 peratus di beberapa DUN lain yang  ditandingi. 

"Walaupun kali pertama bertanding di empat DUN yang baru, kita tidak hilang wang pertaruhan. Malah ada banyak peti undi yang kita menang dalam DUN tersebut termasuklah rumah panjang didiami kaum Iban," katanya.

Jelas Ahli Parlimen Marang itu, PAS akan meneruskan gerak kerja dan Sarawak bagi memperkukuhkan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Walaupun masih baru di Sarawak, dalam tempoh dua minggu kempen pilihan raya, kita berjaya menubuhkan cawangan-cawangan baru PAS di setiap DUN termasuk Muara Tuang yang mana kita berjaya menubuhkan tujuh cawangan baru di kalangan anak anak tempatan.

"Keahlian PAS juga bertambah sepanjang tempoh pilihan raya . . . ini isyarat PAS diterima dan sedia untuk dikembangkan di Sarawak," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Timbalan KSU Belia dan Sukan hadapi tuduhan khalwat

Posted: 18 Apr 2011 11:00 PM PDT

GEORGE TOWN, 19 April — Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Salim Parlan, dikenakan tuduhan berkhalwat melibatkan pembantu peribadinya, di sini hari ini.

Dia ditahan pihak berkuasa agama negeri bersama pasangannya Nur Diayana Norslan, 30, pada pukul 5 pagi Sabtu lalu.

Salim didakwa di bawah Seksyen 27(a) Enakmen Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 manakala Nur Diayana pula di bawah Seksyen 27(b).

Kedua-dua Salim dan Nur Diayana meminta mereka dibicarakan.

Jika disabitkan kesalahan kedua-dua mereka boleh didenda hingga RM3,000 atau hukuman penjara lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Hakim Mahkamah Syariah Rendah Nik Bukhari Hashimy Nik Yahya menetapkan 20 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Pegawai itu ditangkap khalwat bersama pembantunya di sebuah hotel di Batu Feringghi.

Mereka ditahan dua anggota penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang dan seorang anggota polis.

Pegawai kanan terbabit pernah memegang jawatan tinggi dalam Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama lima tahun sebelum dinaikkan pangkat ke jawatannya kini sejak 21 Ogos lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan