Selasa, 19 April 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Ancaman aktiviti pembalakan

Posted:

Ancaman aktiviti pembalakan

Ancaman aktiviti pembalakan

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Aliran air dari atas Bukit Kabung sudah tidak bersih, berkeladak dan berlumpur akibat aktiviti pembalakan di kawasan tersebut.


PASIR PUTEH 18 April – Sebelum ini, lebih 700 penduduk di tiga buah kampung dekat sini melalui kehidupan yang aman walaupun mereka hanya bergantung kepada bekalan air bersih dari sebuah bukit berhampiran.

Namun, kehidupan mereka tiba-tiba tergugat angkara pembalakan kawasan hutan dara Bukit Kabung dekat sini yang merupakan nadi kepada sumber bekalan air bersih bagi pelbagai kegunaan harian penduduk termasuk kegiatan pertanian.

Disebabkan sikap tidak peka kerajaan Pas Kelantan meluluskan aktiviti pembalakan itu, penduduk di Felda Teratak Batu, Kampung Gong Kelih dan Kampung Gong Genor berdepan ancaman kemungkinan berlaku hakisan tanah.

Lantaran itu, penduduk terbabit mendesak kerajaan Pas Kelantan segera membatalkan permit pembalakan di kawasan hutan dara itu demi survival mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Gong Kelih, Mat Lazim Zakaria berkata, kerajaan negeri lebih mementingkan keuntungan apabila meluluskan pembalakan di kawasan berkenaan tanpa memikirkan implikasinya kepada penduduk.

Beliau mendakwa, kesan aktiviti pembalakan menyebabkan bekalan air bersih penduduk yang menggunakan sistem tandak atau takungan terancam, selain kemungkinan hilang punca rezeki apabila tanaman padi dan cili secara berkelompok turut gagal diusahakan.

"Keadaan yang berlaku menyebabkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menghadapi masalah untuk menyedut dan mengalirkan air ke sawah dan kawasan pertanian kerana hampir keseluruhan anak sungai di kaki bukit berkenaan ditimbus tanah berlumpur akibat kerja-kerja pembalakan.

"Pada akhir tahun lalu, penduduk menanggung kerugian apabila tanaman padi tidak menjadi disebabkan ketiadaan punca air. Pada musim ini, mereka turut hilang pendapatan kerana tidak dapat mengerjakan sawah akibat masalah sama," katanya ketika ditemui di Gong Kelih, dekat sini, baru-baru ini.

Mat Lazim mendakwa, penduduk yang tinggal pada aras tinggi di kaki bukit di Teratak Batu juga menghadapi kesukaran bagi membina telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air bersih kerana terpaksa menggerudi tanah berbatu.


Anak sungai di kaki Bukit Kabung turut tertimbus disebabkan hakisan sehingga gagal membekalkan sumber air ke kawasan pertanian yang berdekatan.


Dakwanya, masalah itu tidak akan berlaku sekiranya kawasan hutan dara berkenaan tidak diteroka semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Seorang penduduk Teratak Batu, Rozi Ibrahim, 63, mendakwa, hakisan tanah yang berlaku menyebabkan keseluruhan saluran paip utama berukuran lilit 72 sentimeter dan saluran jejari ke rumah penduduk tidak dapat berfungsi akibat dipenuhi lumpur.

"Ketika ini, kerja membalak dihentikan buat sementara waktu kerana kebanyakan pembalak bimbang kegiatan mereka akan dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) setelah mendapati berlaku hakisan teruk sehingga menyebabkan keseluruhan bekas takungan air penduduk tertimbus," katanya.

Rozi mendakwa, tidak ramai penduduk yang mengetahui perkara tersebut kerana mereka perlu meredah hutan dan mendaki bukit sejauh lebih dua kilometer jika hendak melihat tandak yang dibina sekiranya krisis bekalan air bersih berlaku.

"Tindakan pemimpin kerajaan negeri yang tidak bijaksana menyebabkan penduduk terpaksa menerima kesan berpanjangan," dakwanya.

Seorang lagi penduduk, Wan Hussin Wan Ibrahim, 70, pula bimbang kampung mereka akan mengalami tanah runtuh dalam jangka panjang kerana tiada lagi sistem penampan semula jadi setelah pokok-pokok yang ada ditebang.

Beliau mendakwa, bencana itu boleh berlaku disebabkan pemimpin kerajaan negeri lebih mementingkan keuntungan hasil sumber balak berbanding menjaga kebajikan rakyat.

Kesan penerokaan hutan dara tidak dirasai oleh pemimpin kerajaan negeri. Sepatutnya, mereka tidak rakus menggunakan kuasa dengan meluluskan kawasan tadahan hujan untuk diterokai. Bayangkan betapa sukarnya ahli jemaah untuk mengambil air sembahyang di masjid akibat ketiadaan air," katanya.

Wan Hussin berkata, masalah tersebut boleh diatasi sekiranya kerajaan negeri menarik balik permit yang dikeluarkan dan membersihkan timbunan lumpur dalam anak sungai.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Air bersih: Penduduk Pasir Puteh berpiket lagi

Posted:

Air bersih: Penduduk Pasir Puteh berpiket lagi

Air bersih: Penduduk Pasir Puteh berpiket lagi


200 penduduk Pasir Puteh berpiket buat kali kedua apabila perkhidmatan bekalan air bersih gagal diselesaikan di hadapan pejabat AKSB, petang kelmarin.


PASIR PUTEH 18 April - Hampir 200 penduduk daerah ini berpiket secara aman buat kali kedua di hadapan pejabat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dekat sini, petang semalam apabila tuntutan memorandum yang dihantar kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 7 April lalu tidak mendapat maklum balas positif daripada pihak kerajaan negeri.

Mereka berkumpul selama setengah jam bermula pukul 4.00 petang dengan disertai Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MKPM) Parlimen Pasir Puteh, Zawawi Othman.

Penduduk terbabit mengangkat sepanduk sinis "Terima Kasih kepada Kerajaan Negeri Kelantan Kami Rakyat Pasir Puteh bersyukur atas keprihatinan kerajaan mengatasi masalah air penduduk - Daripada Rakyat Jajahan Pasir Puteh," selain melaungkan "Kerajaan Negeri Bohong."

Zawawi berkata, kerajaan negeri sepatutnya menyuntik lebih banyak dana untuk meningkatkan perkhidmatan bekalan air bersih kepada penduduk, selain telus dalam perbelanjaan pinjaman mudah berjumlah RM510 juta yang disalurkan oleh Kerajaan Pusat bagi tujuan berkenaan.

"Saya mewakili rakyat Pasir Puteh mendesak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan terhadap penggunaan wang tersebut kerana bekalan air bersih sepatutnya tidak lagi bermasalah sekiranya peruntukan itu digunakan dengan sebaik mungkin," katanya.

Zawawi berkata, rakyat turut marah dengan cadangan kerajaan negeri menyediakan paip khas kepada peniaga di kalangan kroni pemimpin kerajaan, berbanding hospital dan sekolah yang lebih memerlukan bekalan air.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Lembaga Pelawat Hospital Tengku Anis (HTA), Datuk Che Min Che Ahmad berkata, masalah air telah menjejaskan operasi di hospital kerana bekalan air lori yang disediakan oleh AKSB tidak mencukupi.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Puteh itu berkata, pengurusan air di Kelantan sewajarnya diserahkan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) kerana kerajaan negeri terbukti gagal menguruskan keperluan utama rakyat sejak sekian lama.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang ketika dihubungi pula mengesahkan masalah bekalan air berlaku di semua sekolah di daerah ini dan ia turut mengganggu pembelajaran di makmal sains, kantin, asrama dan tandas.

"AKSB perlu bertindak segera, jangan sampai Jabatan Pelajaran Negeri terpaksa mengambil keputusan memberi cuti sementara kepada beberapa sekolah yang berdepan masalah bekalan air paling kritikal," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Peluang pelajar miskin ke UiTM

Posted:

Peluang pelajar miskin ke UiTM

Peluang pelajar miskin ke UiTM

Oleh MOHD. ZUHARMAN MOHAMMAD NOR
utusankelantan@utusan.com.my

RANTAU PANJANG 18 April - Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menyediakan peruntukan khas bagi memberi peluang kepada pelajar miskin dari seluruh negara melanjutkan pengajian di universiti tersebut.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata (gambar), peruntukan itu merangkumi semua kos berkaitan termasuk yuran pengajian.

"UiTM akan tanggung semua kos yang berkaitan. Pelajar terbabit tidak perlu risau tentang perbelanjaan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri majlis UiTM Destini Anak Bangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial, dekat sini kelmarin.

Katanya, kemudahan itu disediakan bagi membela nasib pelajar terbabit agar mereka boleh menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam usaha mengubah nasib keluarga.

Beliau berkata, pada tahun ini UiTM mensasarkan seramai 5,000 pelajar miskin dari seluruh negara menikmati peruntukan khas tersebut.

"Kerajaan sememangnya peka dan amat menyedari bahawa masih ramai anak-anak kita yang layak untuk melanjutkan pengajian, tetapi kerana kekangan kemiskinan maka mereka terpaksa lupakan hasrat dan cita-citanya itu," katanya.

Justeru katanya, transformasi harus berlaku dengan memberikan pendidikan seimbang, sama-rata dan sempurna kepada semua golongan, terutama pelajar miskin.

"Dalam mencapai matlamat tersebut kita merakyatkan UiTM sebagai sebuah universiti yang relevan, dirujuk dan dihormati untuk terus kekal sebagaimana kewujudannya sehingga ke hari ini," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan