Ahad, 17 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Kavyan kecewa Putrajaya dakwa Kamus Dewan hanya milik orang Melayu

Posted: 17 Apr 2011 01:08 AM PDT

KUALA LUMPUR, 17 April — Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan), pertubuhan mewakili penulis kaum India, mendakwa Kementerian Pelajaran menafikan hak bukan Melayu terhadap Bahasa Malaysia ekoran kenyataannya bahawa Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) hanya milik orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan oleh kaum lain.

Presidennya Uthaya Sankar SB berkata, jawapan Kementerian Pelajaran berhubung isu semasa — dakwaan yang Kamus Dewan mempunyai banyak kata-kata menyinggung perasaan kaum India — ternyata cuba menafikan kedudukan Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh bangsa Malaysia.

Sebaliknya (Kementerian Pelajaran) memaksa orang lain melihat serta menganggap Bahasa Malaysia (bahasa Melayu) sebagai milik kaum tertentu sahaja.

DBP terletak di bawah penyeliaan Kementerian Pelajaran.

"Jawapan dan pendirian seperti ini yang mewakili kerajaan Malaysia pasti menggagalkan usaha murni mengangkat martabat dan maruah Bahasa Malaysia, serta usaha membina Bangsa Malaysia," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Kamus Dewan semasa adalah edisi keempat, dipasarkan sejak 2005. Edisi pertama keluar pada 1970.

Isu terbaru ini muncul ketika kontroversi novel Interlok masih berlarutan meskipun Kementerian Pelajaran menegaksan ia sudah ditutup.

Uthaya Sankar menambah, Kavyan yang terdiri daripada kumpulan penulis kaum India yang berkarya menggunakan Bahasa Malaysia serta mengendalikan aktiviti sastera, seni dan budaya menggunakan Bahasa Malaysia mempunyai alasan untuk berasa amat kecewa dengan pendirian dan bentuk jawapan yang diberikan oleh Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran.

"Kementerian sepatutnya mengambil langkah merakyatkan Bahasa Malaysia dan bukannya menyempitkan bahasa kebangsaan kepada kaum tertentu. 

"Apatah lagi dalam usaha menggalakkan generasi muda pelbagai kaum menggunakan Bahasa Malaysia dalam kehidupan seharian," kata beliau.

"Begitu juga dengan hasrat Kerajaan Malaysia menggalakkan ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah kebangsaan," kata Uthaya Sankar.

Tambah beliau, sekiranya tiada langkah segera diambil bagi membetulkan kenyataan mengelirukan yang dikeluarkan menerusi portal rasmi kementerian berkenaan, nescaya akan menyempitkan kedudukan Bahasa Malaysia semata-mata sebagai bahasa milik hakiki kaum tertentu.

Dalam pada itu, katanya, Kavyan yang diasaskan pada Ogos 1999 akan terus mengangkat Bahasa Malaysia sebagai bahasa milik seluruh rakyat Malaysia.

Kavyan, kata beliau, terkejut dengan jawapan yang diberikan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Pelajaran menerusi portal rasmi kementerian berkenaan berhubung laporan berita di akhbar Makkal Osai akhir bulan lalu.

Kenyataan kementerian itu menyebut bahawa Kamus Dewan disusun berasaskan perkataan-perkataan yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu, termasuklah perkataan-perkataan yang bersumberkan bahasa-bahasa lain seperti bahasa "sukuan atau etnik, bahasa Inggeris, China, Sanskrit, Tamil, Belanda, Arab dan sebagainya".

Kementerian Pelajaran dalam kenyataannya mengatakan bahawa "perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang terdapat dalam kamus-kamus bahasa Melayu terbitan DBP, ia hendaklah dilihat dari kaca mata bangsa Melayu dan bukan dari kaca mata bangsa lain."

Katanya, setiap bangsa di Malaysia mesti menerima hakikat bahawa kamus bahasa Melayu mencerminkan bahasa, adat dan budaya Melayu.

"Terdapat perkataan-perkataan yang digunakan seharian yang dianggap lucah oleh bangsa lain tetapi tidak kepada bangsa Melayu.

"Ada juga perkataan-perkataan yang dianggap mulia pada bangsa Melayu tetapi dianggap menghina oleh bangsa lain," kata kementerian itu dan menambah, di samping itu ada juga perkataan-perkataan yang dijadikan peribahasa, perumpamaan atau sebagai metafora. 

"Semuanya itu ialah sebahaian daripada adat dan budaya orang Melayu yang sepatutnya tidak dipersoalkan," katanya lagi.

Kementerian itu mengatakan demikian dalam reaksi kepada laporan Makkal Osai bertarikh 31 Mac lalu bahawa Kamus Dewan  mengandungi perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.
Isu Kamus Dewan mempunyai perkataan-perkataan menyinggung kaum India juga pernah timbul hampir sedekad lalu.

"Kementerian Pelajaran tentu sahaja sedia maklum bahawa pengguna Bahasa Malaysia tidak hanya terdiri daripada kaum tertentu; sebaliknya masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

"Maka, huraian lanjut oleh Unit Komunikasi Korporat kementerian berkenaan berhubung isu sama amat mengecewakan," katanya lagi.

Uthaya Sankar berkata, Kavyan tidak mahu masuk campur dalam soal apakah perkataan-perkataan yang dikatakan "menyinggung perasaan masyarakat India" dalam isu semasa ini.

Bagaimanapun katanya, perkara yang membuatkan kredibiliti pihak terbabit boleh dipersoalkan adalah bentuk jawapan yang diberikan.

"Terbukti menggambarkan kejahilan" yang sekali gus memusnahkan harapan membina bangsa Malaysia dengan menjadikan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perpaduan, bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa komunikasi dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama, latar belakang, adat, budaya dan agama," kata beliau lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

KSN: Status senator Murugiah, timbalan menteri tamat esok

Posted: 16 Apr 2011 10:30 PM PDT

KUALA LUMPUR, 17 April — Tempoh perkhidmatan Datuk T. Murugiah sebagai senator akan berakhir esok, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan hari ini.

Sehubungan itu, kata beliau, perkhidmatan Murugiah (gambar) sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri juga akan berakhir esok.

"Bagi pihak kerajaan, saya mengambil kesempatan ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Senator Datuk Murugiah Thopasamy di atas sumbangan, khidmat bakti dan perkhidmatan beliau sebagai anggota Dewan Negara dan Timbalan Menteri Persekutuan," kata Sidek dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Minggu lalu, The Malaysian Insider membawa laporan bahawa kedudukan Murugiah sebagai anggota Dewan Negara yang akan berakhir Isnin ini tidak disambung, sekali gus akan digugurkan sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

The Malaysian Insider difahamkan Murugiah, 47, bekas pemimpin Parti Progresif Penduduk (PPP) yang menyertai MIC Ogos lalu, telah dimaklumkan secara rasmi mengenai kedudukannya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Empat bulan sebelum Datuk Seri S. Samy Vellu melepaskan jawatan presiden MIC, Murugiah diterima secara rasmi menyertai parti itu dan menjadi ahli biasa cawangan Batu Matang di Bukit Gantang, Perak.

Murugiah, ketua Pemuda PPP yang dipecat telah dilantik sebagai senator dan diberikan jawatan timbalan menteri ketika masih menganggotai parti itu.

Awal minggu lalu, Presiden MIC Datuk G Palanivel berkata, MIC ingin mengehadkan tempoh bagi anggotanya memegang jawatan senator kepada satu penggal atau tiga tahun sahaja bagi membolehkan parti itu 'memberi kuasa' kepada pemimpinnya di negeri yang BN tewas pada pilihan raya umum 2008.

Palanivel, yang juga bertaraf senator  berkata, selepas BN kehilangan negeri Selangor, Pulau Pinang dan Kedah pada pilihan raya umum 2008, kebanyakan senator MIC adalah dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan