Jumaat, 15 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Pembela protes Alkitab, dakwa Kristian mahu murtad Muslim

Posted: 15 Apr 2011 01:14 AM PDT

Dr Yusry Mohamad

KUALA LUMPUR, 15 April — Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengadakan protes berhubung isu Alkitab hari ini sambil mendakwa kumpulan Kristian mempunyai agenda untuk menyemai fahaman pluralisme kepada umat Islam.

Jurucakap Pembela, Dr Yusry Mohamad berkata, kumpulan-kumpulan Kristian cuba mencabar kedudukan agama Islam apabila bertegas mahu Putrajaya melepaskan kitab Injil versi Bahasa Malaysia yang ditahan Kementerian Dalam Negeri sebelum ini.

Jelas beliau, Pembela menentang keras usaha yang dilakukan kumpulan Kristian agar penggunaan kalimah "Allah" dibenarkan dalam kitab suci itu.

"Akhir-akhir ini dalam menangani isu berkaitan kitab Injil dan penggunaan kalimah Allah, sesetengah pihak terutamanya kumpulan-kumpulan Kristian kelihatan mula mencabar dan merombak kedudukan dan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara.

"Ini adalah pendekatan yang tidak diterima oleh Pembela kerana ia membayangkan bahawa terdapat agenda-agenda yang lebih besar yang hendak dicapai oleh kumpulan-kumpulan ini.

"Pembela percaya bahawa di sebalik isu ini terselit misi untuk membuka masyarakat Islam di Malaysia kepada pemurtadan atau sekurang-kurangnya suntikan fahaman pluralisme agama, sekularisme dan ekstrem liberal yang akan menghakis keutuhan jati diri umat Islam," katanya di pekarangan Masjid Negara di sini.

Pembela yang terdiri daripada gabungan 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada perhimpunan itu turut membawa kain rentang tertulis "Islam Agama Negara", Pertubuhan Pembela Islam Bantah Formula Idris Jala: Bible Melaya dan "Jangan Cabar Kedaulatan Islam Tanah Air Kita."

Perhimpunan yang disertai kira-kira 30 wakil NGO itu terlebih dahulu dimulakan dengan bacaan selawat yang diketuai Yusry.

"Kami mengadakan perhimpunan ini memandangkan sikap kumpulan Kristian yang terlalu provokatif dan melampau-lampau dalam menangani isu kitab Injil ini.

"Jika isu ini diteruskan ia akan mencetuskan ketegangan dan mengundang reaksi daripada kelompok Islam yang mungkin sukar dan dibendung oleh sesiapa," katanya, Pembela menegaskan bahawa umat Islam di negara ini adalah berdaulat... Islam bukan anak yatim piatu atau anak tiri yang tidak penjaga," kata Yusry.

Kata beliau, pihaknya mempersoalkan tindakan kumpulan Kristian yang sehingga ini masih mendesak Putrajaya agar satu penyelesaian muktamad dibuat bagi perkara itu.

"Kami ingin mempersoalkan sampai tahap manakah mereka hendak memprovokasi dan memanipulasi isu ini? Adakah mereka tidak sedar tindakan mereka ini amat menghiris perasaan umat Islam.

"Pembela berpendapat 35,100 kitab Injil itu tidak patut dibenarkan untuk edaran kerana bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan enakmen agama Islam, sikap degil dan keras pihak Kristian sangat mendukacitakan," katanya.

Yusry berkata, pihaknya juga pemimpin politik agar jangan menggadaikan kedaulatan agama Islam hanya kerana tekanan politik.

"Pemimpin politik tanpa mengira parti jangan tunduk kepada tekanan sokongan politik, kami juga sangat tidak selesa dengan pendekatan membiarkan pemimpin bukan Islam ke hadapan bagi menjadi jurucakap bagi pihak kerajaan," katanya.

Beliau juga mendakwa 10 formula bagi menyelesaikan isu kitab Injil itu dibuat secara tergesa-gesa dan tidak mengikut lunas undang-undang sedia ada.

"Isu kitab Injil harus diselesaikan berdasarkan perlembagaan dan tidak harus diselesaikan mengikut jadual waktu pilihan raya.

"Sepatutnya kerajaan tangguh dahulu dengan mengikut proses, termasuk rayuan di mahkamah berhubung kalimah Allah," kata merujuk kepada pilihan raya negeri Sarawak yang akan berlangsung esok.

Sebelum ini Pembela menyifatkan langkah Putrajaya menawarkan 10 formula menyelesaikan isu kitab Injil sebagai keputusan "mengalah" kepada desakan-desakan dibuat kumpulan masyarakat Kristian dan mahu ia dikaji semula.

Pembela juga menegaskan, langkah terbaru Putrajaya itu akan menyebabkan desakan sama berulang kembali yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun Datuk Seri Najib Razak berkata pihaknya memberi jaminan peribadi bahawa pentadbirannya tidak akan menahan kitab Injil selepas ini.

Semalam, Persekutuan Gereja Malaysia (CFM) masih kekal tidak yakin dengan formula 10 perkara yang diumumkan oleh Putrajaya pada 2 April lalu bagi menyelesaikan isu Alkitab sambil mendakwa pendekatan itu hanya sebagai "langkah ad hoc dan jangka pendek" semata-mata.

Pertubuhan itu menegaskan formula tersebut masih belum menyelesaikan isu berkaitan dengan penggunaan kalimah "Allah."

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Raja Petra: Saya tak belot, masih bersama pembangkang

Posted: 15 Apr 2011 01:04 AM PDT

KUALA LUMPUR, 15 April — Blogger kontroversial Raja Petra Raja Kamaruddin menegaskan beliau masih bersama barisan pembangkang sambil menafikan beliau telah membelot hanya kerana memberi TV3 satu temu bual eksklusif, yang disiarkan semalam dan kelmarin.

Raja Petra (gambar) mencetuskan kegemparan dua hari lalu apabila dalam temu bual itu mengatakan bahawa beliau tidak pernah menuduh Perdana Menter Datuk Seri Najib Razak atau isterinya Datin Seri Rosmah Mansor terbabit dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Sharibuu.

Editor portal Malaysia Today ini menjelaskan keputusan memberikan temu bual itu kepada The Malaysia Insider hari ini.

Respons penuh adalah seperti berikut:

TMI: Baru-baru ini anda berada di Australia, bermakna anda mempunyai pasport untuk mengembara. Di mana anda berada sekarang dan di mana anda tinggal (sekarang)? Adakah anda akan balik ke Malaysia dalam waktu terdekat?

RPK: Sekarang saya di Bali. Dan, tidak. Saya tidak akan balik ke Malaysia, sekurang-kurangnya sehingga kerajaan (yang ada sekarang) tukar. Jika Barisan Nasional (masih memerintah, maka saya sepatutnya akan dikebumikan di Brookwood sebelah ibu saya apabila saya meninggal dunia.

Mengapa anda bertanya sama ada saya balik ke Malaysia? Disebabkan temu bual saya dengan TV3? Jika saya mengadakan temu bual dengan TV3 dan kemudian kembali ke Malaysia (yang bermakna saya tidak boleh jika saya tidak memberikan temu bual), bukannya terlalu jelas bahawa temu bual itu menyebabkan (saya) membelot?

Langkah bodoh, bukan anda fikir begitu?

TMI: Mengapa anda memberikan TV3 temu bual? Anda pernah menyerang akhbar, khususnya media arus perdana di Malaysia sebelum ini. Mengapa percaya mereka? Apakah tiada ruang lain?

RPK: Adakah saya perlu percaya mereka untuk memberikan satu temu bual? Saya tidak percaya sama ada anda sendiri atau Malaysia Insider. Saya fikri anda alat bagi Khairy Jamaluddin dan Kalimullah Hassan. Lagi anda hantar (soalan) dan saya pun jawab.

Anda datang kepada saya. Saya tidak pergi kepada anda. TV3 juga datang jumpa saya. Saya tidak pergi jumpa mereka.

(Nota: The Malaysian Insider tiada apa-apa kaitan dengan Khairy Jamaluddin atau Datuk Seri Kalimullah Hassan)

MENYUSUL LAGI

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan