Jumaat, 15 April 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Penghujung trauma

Posted: 14 Apr 2011 01:25 PM PDT

BESUT: Hasrat lima rakan karib keluar bersiar-siar untuk menghilangkan perasaan trauma selepas asrama mereka diceroboh perompak berakhir tragedi apabila tiga daripada mereka menemui ajal selepas terbabit kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 6 pagi, lima pelajar kejururawatan daripada Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) cawangan Bachok, Kelantan, menaiki Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke kampus mereka selepas bersiar-siar di bandar raya Kuala Terengganu, malam kelmarin.


Tiga yang terbunuh ialah pemandu kereta, Nur Diana Mohd Noor, 22, dari Kota Tinggi, Johor, Nurul Shahidah Abdul Jaabar, 19, dari Taman Rahmat, Tanah Merah, Kelantan dan Zur Irah Zakaria, 19, dari Kampung Titian Baru, Atas Tol, Kuala Terengganu.

Dua lagi rakan mereka, Bazilah Abdullah, 19, dari Lot 2051 Kampung Tiong Dalam, Kota Bharu, Kelantan dan Nur Adilah Mohd Ghazali, 19, dari Kampung Kelewek, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan, parah dan kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.


Kejadian berlaku di Kilometer 104, Jalan Jertih-Kuala Terengganu, apabila kereta dipandu Nur Diana cuba memotong sebuah kenderaan, tetapi gagal sebelum bertembung lori tangki minyak dari arah bertentangan.


Seorang rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nor berkata, dia pada awalnya ingin turut serta bersama lima rakannya itu ke Kuala Terengganu selepas beberapa kali diajak Nur Diana, tetapi menolak pelawaan itu kerana tidak sihat.

Nor berkata, semua rakannya meninggalkan asrama mereka di Bachok kira-kira jam 9 malam kelmarin.


Menurutnya, mereka ke Kuala Terengganu untuk makan angin dan menenangkan perasaan selepas terkejut asrama pelajar wanita diceroboh perompak pada Subuh kelmarin.

"Mereka trauma selepas melihat seorang lelaki bertopeng menceroboh masuk asrama menyebabkan mereka menenangkan fikiran di Kuala Terengganu.


"Bagaimanapun, saya dikejutkan panggilan telefon seorang rakan lain yang memaklumkan mereka terbabit kemalangan di Jertih ketika dalam perjalanan pulang," katanya ketika ditemui di Hospital Besut (HB), semalam.


Menurutnya, lima sahabat itu dipercayai meminjam kereta rakan lain dan tidak tidur ketika berada di bandar raya berkenaan, sebaliknya berangkat pulang selepas beberapa jam bersiar-siar.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Nor Zainy Mohd Noor, berkata Nurul Shahidah yang tercampak keluar dari kereta meninggal dunia di HB kira-kira jam 7 pagi, manakala Nur Diana dan Zur Irah maut di tempat kejadian.


Katanya, pemandu lori terbabit, Khairi Ayob, 43, dari Kampung Alur Keladi, dekat sini, cedera ringan dan sudah diambil keterangan.


"Perodua Viva dinaiki mangsa rosak teruk di bahagian hadapan akibat pelanggaran dengan lori tangki menyebabkan ia berpusing balik ke arah Kuala Terengganu manakala lori terbabit terbabas ke dalam parit," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Polis tahu siapa pelaku

Posted: 14 Apr 2011 01:23 PM PDT

KUALA LUMPUR: Identiti lelaki dalam video seks yang dikaitkan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah dikenal pasti.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya belum boleh mendedahkan identiti lelaki terbabit kerana siasatan lanjut masih dijalankan.


Beliau berkata, antaranya polis masih menunggu laporan daripada syarikat pengedar jam tangan Omega yang ditemui di lokasi rakaman video itu bagi mengesahkan siapa pemiliknya berdasarkan kad pendaftaran jam itu.

"Pada saya mengikut siasatan, kita tahulah siapa dia. Ini berdasarkan bukti serta fakta yang ada. Hanya saya tidak boleh umumkan hasil siasatan sekarang kerana kita ada prosedur.


"Macam kes-kes lain sebelum ini, saya tak boleh beritahu. Semuanya kita kena rujuk pada Peguam Negara," katanya ketika ditemui pada majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di sini, semalam. Pada majlis itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Khalid Abu Bakar dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa hari ini.


Khalid menggantikan Datuk Hussin Ismail yang bersara selepas berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 39 tahun empat bulan.

Berhubung identiti wanita dalam video itu pula, Ismail enggan mengulas mengenainya kerana tidak mahu menjejaskan siasatan kes itu.


Katanya, pasukan penyiasat yang ditubuhkan diberi kebenaran untuk merakamkan kenyataan semua individu yang boleh membantu siasatan termasuk wanita dalam video berkenaan.

"Apa yang penting kita sudah beri petunjuk umum kepada penyiasat dan saya harap mereka jalankan tugas dengan baik bagi menyelesaikan kes ini. Mengenai identiti wanita itu saya tidak boleh bagi jawapan," katanya.


Menjawab persoalan mengenai lokasi video itu dirakamkan kerana ada yang mendakwa ia dibuat di luar negara, beliau berkata, apa yang penting ialah kesahihan klip video itu.


Menurutnya, kesahihan video lebih utama bagi memastikan ia bukan sesuatu yang diada-adakan atau menggunakan teknik pertindihan imej (super impose) atau ditiru dan sebagainya. "Pihak pakar sudah sahkan video itu tulen, kalau dibuat di Malaysia atau di mana-mana pun yang penting ia sahih atau tidak. Ini kerana kebanyakan orang ingin tahu sama ada video itu tulen atau tidak dan kita sudah rujuk pada pakar yang mengesahkan mengenainya.


"Siasatan polis menepati semua prosedur dan undang-undang yang ada. Ini bermakna siasatan kita adalah siasatan berpandukan kepada peraturan. Jadi dalam kertas siasatan nanti kita akan ketahuilah semua pihak yang terbabit termasuk siapa merakamkan dan sebagainya," katanya.


Ismail berkata, jenis kesalahan dan tindakan yang bakal diambil hanya akan diketahui selepas kertas siasatan lengkap serta berdasarkan fakta dan bukti yang ada.


Beliau turut menjangkakan siasatan berhubung kes itu dapat diselesai dalam masa terdekat iaitu mungkin minggu depan sebelum menyerahkan hasil siasatan kepada Peguam Negara.


Sebelum ini, tiga individu yang menggelarkan diri mereka Datuk T mendedahkan kewujudan video seks yang didakwa mereka membabitkan seorang pemimpin kanan pembangkang dan sudah menyerahkan video serta jam tangan jenama Omega yang didakwa ditemui di tempat kejadian kepada polis.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan