Ahad, 3 April 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


Jones mahu anjur lagi kempen bakar al-Quran 22 April

Posted: 02 Apr 2011 11:59 PM PDT

Pastor Terry Jones pada satu sidang media 8 September 2010 di Gainesville, Florida ketika bercadang mahu membakar al-Quran. — Foto Reuters

GAINESVILLE (Florida), 3 April — Pemimpin gereja fundamentalis dari Florida, yang mengetuai kempen membakar al-Quran bulan lalu dan membawa kepada demonstrasi berdarah di Afghanistan, berdegil akan mengadakan protes lebih besar di masjid paling besar di Amerika Syarikat akhir bulan ini.

Rancangan itu dikhuatiri akan memburukkan lagi ketegangan yang dirasakan di beberapa bahagian lain dunia.

Laporan Reuters menyebut demonstrasi dua hari berturut-turut, semalam dan kelmarin, di Afghanistan termasuk tindakan menceroboh pejabat PBB telah menyebabkan hampir 20 orang terbunuh.

"Matlamat kami ialah membawa kesedaran mengenai elemen radikal yang ada dalam Islam," kata Pastor Terry Jones dalam temu bual dengan Reuters di sini semalam.

Satu gambar naskhah al-Quran dibakar juga didapati dimuatkan pada skrin komputernya.

"Sudah pasti sesuatu yang sangat teruk melihat orang dibunuh atau terbunuh. Pada sebelah lain saya merasakan ia menunjukkan elemen radikal Islam," katanya lagi.

Jones, seorang bekas pengurus hotel sebelum tukar kerjaya sebagai pastor, yang mendakwa al-Quran mendorong kegagasan berkata, dia akan meneruskan satu protes pada 22 April ini - di pekarangan masjid terbesar di Amerika Syarikat iaitu Dearborn, Michigan.

Presiden Barack Obama juga mengecam perbuatan membakar al-Quran tetapi tidak menyebutkan nama Jones.

Beberapa pemimpin Kristian dan Islam di Amerika Syarikat juga mengecam jones dan gereja kecil Dove World Outreach Center yang mempunyai sekitar 30 ahli.

Jones merancang untuk membakar al-Quran sempena ulang tahun kesembilan sempena 11 September tahun lalu tetapi mengubah fikiran.

"Salah satu tragedi besar ialah gereja kecil ini menyebabkan kegemparan," kata Geoff Tunnicliffe, pengarah World Evangelical Alliance International, yang menghimpunkan gereja evangelis dari lebih 100 negara.

"Soalan saya kepada dia (Jones), 'Mengapa anda mahu memprovokasi orang kepada respons macam ini, dengan memang mengetahui apakah kesannya?" kata beliau.

Pegawai-pegawai kerajaan di Pakistan dan Afghanistan mahu pihak berkuasa menahan Jones meskipun kritikan dan tindakannya dibenarkan di bawah undang-undang kebebasan berucap di Amerika Syarikat.

Pada 20 Mac lalu, Jones mengetuai Hari Antarabangsa Keadilan Al-Quran dan kemudian menyelia pembakaran kitab suci itu yang dihadiri sekitar 50 orang. Program itu berlangsung kira-kira enam jam.

Video yang menunjukkan naskhah-naskhah yang direndam dalam minyak tanah dan kemudian dibakar disiarkan menerusi laman web Dove World Outreach Center.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua pekerja loji nuklear Jepun hilang ditemui mati

Posted: 02 Apr 2011 11:26 PM PDT

TOKYO, 3 April — Dua pekerja loji tenaga nuklear Fukushima yang hilang dalam tragedi gempa bumi dan tsunami bulan lalu ditemui mati ketika radiokatif pada kadar yang tinggi melimpah ke laut.

Kedua-dua pekerja terbabit yang berusia 21 dan 24 tahun dilaporkan hilang sejak 11 Mac.

Mayat kedua-dua mereka hanya ditemui minggu lalu di kompleks tenaga nuklear Fukushima Dai-ichi.

Operatornya, Tokyo Electric Power Company berkata mayat pekerja-pekerja berkenaan ditemui di aras bawah bangunan turbin reaktor No 4.

Syarikat itu tidak memberitahu punca mereka mati.

Bagaimanapun laporan media berkata kedua-dua mereka menghadapi masalah kehilangan darah dan lemas.

"Sesuatu yang menyedihkan  buat saya, dua pekerja muda ini cuba melindungi loji tenaga ini ketika dilanda gempa bumi dan tsunami," kata Pengerusi Tokyo Electric Power Company Tsunehisa Katsumata dalam satu kenyataan.

Kemusnahan di kompleks tenaga nuklear itu adalah paling buruk sejak krisis Chernobyl pada 1986.

Jurucakap Tokyo Electric Power Company berkata, pengumuman mengenai penemuan dua mayat itu dilewatkan atas pertimbangan keluarga mereka.

Polis kebangsaan Jepun mengesahkan 12,009 orang telah terbunuh manakala 15,472 masih hilang apabila gempa bumi pada skala 9 dan tsunami yang menyusul melanda kawasan timur laut Jepun awal bulan lalu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan