Berita Harian: Mutakhir |
Murid kena pukul meninggal, penyelia asrama ditahan Posted: 03 Apr 2011 02:37 AM PDT Mutakhir ALOR SETAR: Murid yang dikatakan dipukul oleh seorang guru di asrama sebuah Sekolah Agama Rakyat di Jejawi, Perlis, sehingga koma Khamis lalu, meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.Saiful Syazani Saiful Sopfidee, 7, disahkan meninggal dunia pada 8.50 pagi tadi selepas dimasukkan ke hospital berkenaan Jumaat lalu. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tok Paduka, Kangar petang ini. Dalam kejadian 7 malam itu, seorang guru lelaki berumur 26 tahun dikatakan memukul murid terbabit selama hampir dua jam sehingga pengsan.Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Supt Nashir Ya, berkata suspek yang juga penyelia asrama sekolah berkenaan ditahan pada jam 10 malam tadi. "Polis masih menunggu laporan bedah siasat dan menyiasat kes ini di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. Ibu angkat mangsa, Hazirah Chin, 38, berkata sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, anak angkatnya yang tidak sedarkan diri itu dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar pada jam 1.40 pagi kelmarin.
Hazirah berkata, dia dapat melihat kesan melecet pada pergelangan tangan mangsa selain kesan lebam di bahagian matanya. "Saya diberitahu Saiful alami pendarahan di bahagian kepala. Pada mulanya doktor kata dia stabil tapi semalam (Sabtu) doktor beritahu dia sudah tak ada harapan untuk hidup. "Ketika mula-mula masuk asrama, arwah gembira sangat-sangat. Dia kerap balik sebab sekolah tak sampai satu kilometer dari rumah kami," katanya. Bapa kandung mangsa, Saiful Sopfidee Marzuki, 34, berkata anaknya dipelihara oleh keluarga angkat selepas isterinya meninggal dunia ketika Saiful Syazani baru berusia tiga tahun. "Kali terakhir saya bertemu anak saya setahun lalu, sebab saya tinggal di Langkawi dan baru berpindah ke Jitra sebulan lalu," katanya. Saiful Sopfidee berkata, dia dimaklumkan mengenai kejadian yang menimpa anaknya pada jam 8 pagi kelmarin. Selepas melihat keadaan anaknya akibat dipukul, Saiful Sopfidee membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah pada petang kelmarin. - BERNAMA Komen Anda Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.Senarai komenFull Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
'Sebelum aku pergi' lirik terakhir Seri Bayu Posted: 03 Apr 2011 02:11 AM PDT Mutakhir PORT DICKSON: "Sebelum Aku Pergi" adalah lirik lagu terakhir yang dicipta oleh Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaludin Sulik, 45, yang meninggal dunia di Hospital Port Dickson 8.30 malam tadi akibat penyakit saraf.Lirik itu dihasilkannya beberapa hari sebelum beliau meninggal dunia, khusus untuk anak angkatnya Nazira Abdul Ghani, 16, yang baru mahu bertapak di bidang seni. "Dia menyiapkan lagu ini dengan bahasa isyarat dengan dibantu oleh Nazira. Lagu dan lirik ini ditulis dalam dua minggu terakhir hidup Allahyarham. "Lirik yang ditulis untuk lagu berkonsepkan balada ini banyak menyentuh kesedihan Allahyarham terutama mengenai masalah penceraian dengan isteri keduanya." kata abang angkat Allahyarham, Abdul Ghani Pandak Sidi.Abdul Ghani berkata, Seri Bayu dimasukkan ke Hospital Port Dickson pada Jumaat lalu apabila tiba-tiba diserang sakit kuat akibat jangkitan kuman dalam paru-parunya. Penulis lirik kelahiran Singapura yang juga bekas wartawan ini menderita sakit lumpuh selama enam tahun akibat masalah saraf. Sepanjang tempoh itu, Allahyarham dijaga oleh adik-beradik angkatnya yang tinggal di Shah Alam, Serdang dan kali terakhir di rumah Abdul Ghani.
"Lukaku simpan dalam senyuman. Menangis hatiku siapa yang tahu". Nazira hanya termenung melihat helaian lirik lagu itu yang ditunjukkan oleh Abdul Ghani dan tidak dapat menjawab semua pertanyaan wartawan kerana terlalu sedih dengan pemergian ayah angkatnya itu. Seorang sahabat lama Allahyarham, Azmi Zahari memberitahu bahawa Allahyarham berkahwin dua kali tetapi kedua-duanya tidak bertahan lama. "Saya tidak pernah berjumpa dengan anak-anak Allahyarham tetapi beliau ternyata amat sayangkan mereka. Potret lima anaknya dengan isteri pertama menjadi pengubat Allahyarham ketika rindu," katanya. Azmi berkata, beliau telah merancang untuk mengadakan konset kebajikan untuk Seri Bayu pada tahun lalu bersama dengan beberapa orang artis tempatan tetapi konsert itu tidak dapat diteruskan akibat masalah tertentu. "Saya rasa sepanjang hayat Allahyarham, beliau telah menulis sebanyak lebih daripada 2,000 lirik lagu. Artis yang mendapat khidmat penulis ini ialah Jamal Abdillah dan Anita Sarawak," katanya. Artis tempatan yang dikatakan mendapat khidmat terakhir Allahyarham tahun lalu ialah penyanyi Sheeda melalui lagu "Muah Muah Sayang". Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Telok selepas solat Zuhur tadi. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan