Selasa, 19 April 2011

Malaysiakini :: Berita

Malaysiakini :: Berita


Video seks: Siapa 'whistle blower' sebenarnya?

Posted: 19 Apr 2011 06:53 PM PDT

Sejak 21 Mac, gandingan' Datuk T' diangkat oleh pemimpin Umno dan juak-juaknya termasuk PERKASA dan Utusan Malaysia sebagai 'whistle blowers' yang harus dilindungi.

Pada tarikh itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay dan Datuk Shuib Lazim menayangkan sebuah video kepada media dan ahli politik terpilih untuk "membuktikan' Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan hubungan seks dengan seorang pelacur.

Suara-suara Umno mengenai keperluan melindungi Datuk T sebagai "whistle blower" semakin lantang dengan pengumuman terbaru polis bahawa tiga individu berkenaan mungkin dihadapkan ke mahkamah kerana menayangkan video lucah.

Persoalan timbul sama ada Datuk T layak dipanggil "whistle blower" kerana kononnya mendedahkan perbuatan sumbang Anwar.

"Whistle blower" adalah pihak yang mendedahkan sesuatu skandal , khususnya yang mempunyai implikasi kepentingan nasional.

Umumnya orang yang membuat pendedahan itu terbabit secara langsung dalam skandal berkenaan, justeru keperluan untuk memastikan keselamatan beliau.

"Whistle blower" berkenaan juga dikecualikan daripada pendakwaan demi memastikan agenda lebih besar ialah membongkar skandal itu dan menghukum "ikan jerung" yang bertanggungjawab, mencapai matlamatnya.

Merujuk kepada kes Datuk T, seseorang yang memegang bukti dan mahu menegakkan kebenaran tidak akan membuat tempahan bilik hotel dan menjemput media serta ahli politik tertentu (Datuk Zaid Ibrahim) untuk menonton video lucah.

Tindakan itu bukan amalan rasional bagi pihak yang menuntut keadilan tetapi lebih mirip kepada ahli politik yang mahu memastikan rakaman itu dipancarkan ke seluruh media tempatan dan antarabangsa.

Pihak yang berjiwa Islam dan tidak mahu mengaibkan sesiapa (seperti mana yang didakwa Datuk T) tidak akan menggunakan media untuk membuat ugutan terbuka terhadap Anwar dan isterinya untuk berundur dari politik.

Sejak 21 Mac, motif Eskay, Rahim dan Shuib berhubung video itu terbongkar sedikit demi sedikit.

Kecacatan-kecacatan dalam video berkenaan turut diperinci dan didedahkan oleh pihak-pihak tertentu, untuk membuktikan rakaman itu adalah fitnah licik semata-mata.

Dukacita dimaklumkan gandingan Datuk T tidak boleh memakai topi "whistle blower" supaya kebal dari pendakwaan di mahkamah undang-undang mahupun menghadapi penilaian di mahkamah rakyat.

Segala tindakan yang diambil mereka mempunyai agenda tertentu dan ia amat berkait dengan agenda besar Umno untuk menumbangkan Anwar.

Benar, "whistle blower" harus dllindungi, tetapi siapakah "whistle blower" dalam kes ini, mahupun dalam politik negara?

Jawapannya Anwar Ibrahim.

Susulan tindakannya mendedahkan pelbagai skandal di Dewan Rakyat dan di ceramah-ceramah, Anwar digantung enam bulan dari parlimen Disember lalu.

Ceramah-ceramah beliau di Kuala Lumpur, Johor dan negeri-negeri lain menjadi sasaran serbuan polis.

Di Sarawak, ceramah-ceramah Anwar dihadiri ribuan orang, di bandar dan kawasan pedalaman, dengan pengundi Melayu-Melanau, Cina, Iban dan Dayak hadir mendengar kepincangan-kepincangan BN.

Sehingga hari ini, perdana menteri dan menteri-menteri Umno khususnya tidak menjawab beberapa skandal yang dibongkarkan oleh Anwar.

Ini termasuklah pemberian kontrak lebih RM2 bilion Kementerian Pertahanan kepada seorang pemimpin Umno dari Perak sejak tahun 2008 yang mencerminkan budaya kronisme masih menebal dalam Umno.

Najib juga tidak mengulas dakwan Anwar bahawa 1Malaysia Development Corporation (MDB) dan syarikat milik keluarga Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud menjalankan urusniaga mencurigakan dengan Petro Saudi.

Urusniaga itu melibatkan hampir RM6 bilion ringgit.

Contoh-contoh ini hanya secebis daripada pendedahan yang dibuat oleh Anwar di parlimen dan di luar dewan sejak beliau menjadi ketua pembangkang Ogos 2008.

Kebanyakan daripada dakwaan itu tidak dijawab oleh menteri berkenaan, sebaliknya ketua pembangkang diaib dan dicaci dengan kata-kata kurang sopan di dalam parlimen serta juga di luar oleh juak-juak Umno.

Sejak 2008, Umno mencari helah bagaimana untuk mengekang "whistle blower" bernama Anwar Ibrahim.

Perbicaraan fitnah liwat sekali lagi menjadi senjata politik Umno untuk menyerang Anwar dengan keyakinan pengundi Melayu mudah dipengaruhi atas isu-isu agama dan moral.

Juak-juak Umno seperti Umni Hafilda dikitar semula manakala "pejuang-pejuang bangsa" seperti Senator Ezam Mohamad Nor dan S.Nallakarupan diberikan liputan luar biasa dalam media arus perdana.

Apabila "tsunami fitnah" Umno tidak dapat menghakis sokongan untuk Anwar kerana orang Melayu menolak budaya sedemikian, parti itu tidak berundur malah memperhebatkan serangan.

Maka sampailah giliran gandingan Datuk T pula memegang "obor kebenaran" Umno dengan video seks demi membela agama bangsa dan negara.

Dan jika video seks babak pertama gagal mencapai maksud yang dihajatkan oleh Umno, usah bimbang kerana kilang fitnah parti itu sentiasa rancak dengan senjata-senjata lain.

Perlu ditanya, jika Anwar tidak lantang dan hujahnya tidak meyakinkan, adakah Umno akan mengambil peduli terhadapnya?.

Apakah rakyat di Semenanjung dan di Sarawak akan menerima secara membuta tuli segala pendedahan Anwar, jika ia tidak disokong dengan bukti dan fakta?

Jelas, Umno mempunyai kepentingan untuk membisukan "whistle blower" terbesar di negara ketika ini dengan apa cara sekali pun sama ada menerusi mahkamah atau pun menggunakan video untuk menabur fitnah.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Teoh lebih banyak berfikir dan berdiam diri'

Posted: 19 Apr 2011 06:00 AM PDT

Seorang ahli perniagaan yang menguruskan projek DAP memberitahu suruhanjaya menyiasat kematian Teoh Beng Hock bahawa setiausaha politik kepada Exco Selangor itu dilihat lebih banyak berfikir dan berdiam diri ketika mereka bertemu di ruang tamu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Selangor.

Lee Wye Weng, 52, berkata Teoh juga kelihatan agak letih dan daripada raut wajahnya, Teoh seolah-olah sedang memikirkan sesuatu.

"Saya berjumpa dengan Teoh selepas kembali ke pejabat SPRM pada awal pagi, 16 Julai 2009 dan pada ketika itu Teoh sedang berehat di atas sofa di kawasan Pendidikan Masyarakat (Penmas)," katanya.

Lee menjelaskan walaupun agak terkejut dengan pertemuan itu, namun beliau sempat berbual dengan Teoh kira-kira 20 minit sebelum Lee dibawa oleh pegawai SPRM untuk dirakam percakapan sekitar pukul 1 pagi.

"Dalam pertemuan itu, Teoh memaklumkan telefon dan pasportnya telah diambil oleh pegawai SPRM dan beliau juga memberitahu kepada saya yang beliau (Teoh) tidak suka komputer riba miliknya diambil oleh pegawai berkenaan," katanya ketika disoal pegawai pengendali Awang Armadajaya Awang Mahmud.

Lee berkata Teoh juga memaklumkan bahawa beliau tidak berpuas hati dengan cara pegawai SPRM yang memaksanya untuk menulis e-mel dan kata laluan ketika ditemu bual oleh pegawai SPRM itu.

"Teoh juga tidak dibenarkan berjumpa dengan peguamnya pada waktu itu walaupun telah meminta kebenaran daripada pegawai SPRM," katanya.

Lee memberitahu suruhanjaya itu bahawa selepas pertemuan singkat itu, beliau tidak lagi berjumpa dengan Teoh walaupun berada di pejabat SPRM sehingga 10 pagi, 16 Julai 2009.

Teoh, 30, setiausaha politik anggota Exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi kenyataan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

Selain itu, Lee berkata beliau terperanjat apabila mendapat panggilan daripada seseorang pada pukul 5 hingga 5.30 petang yang memaklumkan kepadanya Teoh telah membunuh diri.

Ketika disoal bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman apa yang berada di dalam minda Lee sejurus mendapat tahu mengenai perkara itu, Lee berkata: "Terdapat tiga kemungkinan yang bermain di minda saya iaitu sama ada Teoh bunuh diri, kejadian itu satu kemalangan ataupun Teoh dibunuh".

Jawapan yang diberikan oleh Lee mendapat reaksi daripada Awang Armadajaya yang mempersoalkan mengapa Lee berpendapat sedemikian?

Lee berkata beliau tidak bermaksud untuk menyatakan Teoh berkemungkinan membunuh diri atau sebaliknya kerana dalam keadaan tertekan seseorang itu boleh melakukan apa sahaja.

"Saya melalui situasi yang sama seperti Teoh dan saya juga turut tertekan apabila disoal bertalu-talu oleh pegawai SPRM," katanya.

Lee juga disoal peguam Robert Lau dari Majlis Peguam mengenai dakwaan pegawai SPRM yang memaklumkan Lee tidak memberikan kerjasama semasa disoal siasat.

"Pada waktu itu saya agak tertekan dengan cara pegawai berkenaan menyoal saya seperti saya orang salah dan saya bukannya tidak mahu bekerjasama sebaliknya ingin merujuk kepada peguam terlebih dahulu," kata Lee.

Selain Foong, suruhanjaya itu turut dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan, Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

Penubuhan suruhanjaya itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 26 Jan lepas, antara lain untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner membuat 'keputusan terbuka'.

- Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan