Utusan Online - Rencana |
Posted: Elak sensasi isu agama, kaum
TEKS titah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yusuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-lah di Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-83 baginda di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, semalam. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, hamba-Mu ini melafazkan kalimah kesyukuran kerana dengan limpah ihsan dari-Mu juga, hamba-Mu terus dikurniakan usia untuk dapat menyambut ulang tahun hari keputeraan kali ke-83. Semoga dengan panduan dari-Mu juga, hamba-Mu berjaya menyempurnakan amanah memimpin negeri dan menaungi warga, secara adil – secara saksama. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Nabi Muhammad SAW, para keluarga dan para sahabat Baginda, seterusnya ke atas para Tabiin dan para ulama. Ketika negara ini mencapai kemerdekaan, Beta berada dalam usia muda yang penuh dengan idealisme. Beta turut menghayati iltizam dan impian Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra (Almarhum) untuk membangunkan sebuah negara merdeka yang aman lagi bersatu, makmur lagi berdaulat. Barisan pemimpin yang merintis gerakan kemerdekaan, mengenal pasti pentingnya dipupuk perpaduan dan hubungan harmoni di kalangan warga pelbagai kaum dan pelbagai agama di bumi ini. Beta bersama warga muda sezaman, turut berazam untuk menjadikan impian indah itu satu realiti, lalu sama-sama mendukung impian untuk membina sebuah negara bangsa merdeka yang teguh bersatu dan kukuh berpadu. Sesungguhnya, hubungan harmoni antara kaum telah sedia ada secara semula jadi terutama melalui semangat yang diperlihatkan di kalangan masyarakat biasa, dari kalangan petani dan nelayan, pekerja ladang dan pelombong bijih, pemandu teksi dan pekedai runcit, demikian juga di kalangan pendidik, pentadbir dan peniaga. Masing-masing menerima hakikat bahawa Tuhan telah mencipta manusia dengan pelbagai perbezaan tetapi dari perbezaan itu terkandung banyak persamaan. Hubungan tulus ikhlas kemanusiaan, sebenarnya, lebih terpancar di kalangan kanak-kanak, yang bermain air di kolam yang sama dan berlari-lari di padang yang sama, tanpa mengenal perbezaan sama ada antara kaum, antara agama atau antara taraf sosial. Ketika Beta berada di alam sekolah, hubungan harmoni di antara kaum sebenarnya telah berjaya dipupuk dengan penuh kebijaksanaan melalui program pendidikan nasional yang berkesan. Perpaduan dan hubungan harmoni tumbuh segar di dalam jiwa raga setiap warga – hidup subur di taman sebuah negara bangsa. Pohon perpaduan yang subur itu kemudiannya diracun. Kegiatan politik bersentimen kaum secara keterlaluan mengakibatkan tercetusnya tragis perselisihan kaum yang ekstrem dalam tahun 1969. Langkah-langkah perundangan dan pentadbiran lalu diperkenalkan untuk menangani krisis yang berlaku. Ia berjaya memberi kestabilan yang telah membolehkan negara memberi fokus kepada usaha pembangunan hingga negara berjaya mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi yang membanggakan. Kebelakangan ini, isu perkauman dan isu keagamaan kembali menjelma. Pandangan sempit bertunjangkan kaum dan pendirian emosional berakarkan agama cuba dihidupkan semula. Api kemarahan di kalangan kaum dan di antara penganut agama mahu dinyalakan, sementara pendekatan rasional kerajaan cuma dilemahkan. Perkembangan ini amatlah berbahaya. Perkembangan berbahaya ini, jika tidak dibendung secara bijak, berpotensi memusnahkan masa hadapan negara. Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan sensitiviti agama adalah kompleks lagi rumit. Isu kaum dan isu agama tidak dapat diselesaikan melalui saluran perundangan atau melalui penghakiman mahkamah semata-mata. Keputusan mahkamah tidak memberi erti jika keputusan tersebut tidak diterima secara objektif, lebih mudarat lagi jika ditafsirkan dengan emosi. Kebebasan dan integriti mahkamah akan menjadi subjek pertikaian apabila emosi mempengaruhi asas penilaian. Isu-isu menyentuh sensitiviti kaum dan sensiviti agama memerlukan pendekatan penyelesaian secara bijaksana serta berhikmah – melalui perbincangan – melalui perundingan, supaya persefahaman dan apresiasi di kalangan warga dapat dipertingkatkan. Pemimpin kaum dan pemimpin agama yang berpengaruh mempunyai peranan sangat utama. Semua agama menyeru kepada perdamaian, Semua agama mengajar penganutnya menghormati agama lain serta memahami akan sensitiviti agama lain. Semua agama mengajar pengikutnya supaya tidak mempersendakan jauh sekali dari menghina agama lain. Semua pihak wajib menerima realiti asas, bahawa negara ini telah mempunyai sejarah yang lama didiami oleh penduduk pelbagai kaum dan pelbagai agama. Pada hari pertama negara ini mencapai kemerdekaan, warga kepada Persekutuan Tanah Melayu terdiri daripada pelbagai kaum dan pelbagai agama. Kata sepakat tentang keistimewaan, kedudukan, perlindungan dan hak setiap kumpulan telah dijamin secara Perlembagaan. Dengan latar belakang sedemikian, setiap pihak harus menerima hakikat bahawa di antara warga memang ada kelainan, tetapi dalam kelainan tersebut terkandung kesamaan. Elemen-elemen kesamaan itu adalah aset negara yang harus dipupuk untuk membina kemakmuran, sedangkan elemen-elemen kelainan yang bersifat liabiliti, tidak harus digembar-gemburkan. Tidak akan berlaku kestabilan politik tanpa perpaduan warga. Tidak akan dapat disuburkan ekonomi negara tanpa kestabilan politik. Banyak negara berakhir dengan anarki, pertumpahan darah, pembunuhan dan kemusnahan apabila isu kaum dan isu agama dipilih untuk disensasikan. Oleh itu, pemimpin agama hendaklah melaksanakan tugas keagamaan dengan penuh keikhlasan, atas nama Tuhan, atas nama agama, tanpa menyelitkan agenda politik. Akan rosaklah agama jika agama mula dicampuradukkan dengan agenda politik. Akibatnya pengikut kabur, negara hancur, yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu. Raja pemerintah, termaktub di dalam Perlembagaan mempunyai tanggungjawab sebagai Ketua Agama Islam Negeri. Namun Perlembagaan juga menggariskan tanggungjawab raja pemerintah untuk melindungi kepentingan sah kaum-kaum lain. Raja-raja Melayu amat memahami tanggungjawab untuk bersifat adil dan saksama kepada semua warga dan bersedia membantu merangka formula terbaik demi memastikan hubungan harmoni di antara kaum dan di antara agama kekal terjamin. Beta menyeru seluruh warga di negeri ini untuk mengamalkan budaya politik berteraskan kesederhanaan, mengutamakan perpaduan warga, dan memilih pendekatan politik yang konstruktif demi menjamin sistem berkerajaan berteraskan amalan demokrasi kekal dipertahankan. Isu sensitif menyentuh kaum dan menyentuh agama hendaklah dielak daripada dijadikan modal politik untuk mendapatkan pengaruh. Carilah formula menang-menang untuk menyelamatkan warga daripada menjadi mangsa pertelingkahan hingga terpaksa berakhir dengan kesengsaraan. Beta hargai sokongan dan persepakatan yang Beta peroleh daripada Paduka Anakanda Raja Muda, Paduka Adinda Raja Di Hilir, kesemua Raja Bergelar Waris Negeri, Kerabat Diraja, Orang Besar dan Ahli Dewan Negara membantu Beta memenuhi peranan seorang Sultan. Beta menzahirkan penghargaan kepada Mamanda Menteri Besar, Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, Ahli-ahli Dewan Negeri, anggota kehakiman dan perundangan, anggota perkhidmatan awam, para ulama dan imam-imam. Angkatan Tentera, Polis Diraja Malaysia, badan-badan beruniform, para penghulu dan Jawatankuasa Kemajuan Kampung yang telah melaksanakan tanggungjawab serta saling bekerjasama untuk memastikan negeri sentiasa berada dalam keadaan aman lagi stabil serta warga berada dalam suasana selamat lagi sejahtera. Beta amat mengalu-alukan peranan pihak swasta, badan-badan sukarela, badan-badan kebajikan, badan-badan sukan serta warga keseluruhannya yang telah membantu memperlengkapkan usaha-usaha pembangunan yang dirintis oleh kerajaan beta. Semoga warga dan Negeri Perak Darul Ridzuan terus dilimpahkan nikmat dan rahmat, perlindungan dan keselamatan dari Allah Subhanahu Wataala. Kepada Mu Ya Allah, hamba-Mu memohon untuk terus diberikan petunjuk dan hidayah. Amin, Ya Rabul Alamin. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Ayuh! Gerakkan segera 1Melayu, 1Bumi Posted: Ayuh! Gerakkan segera 1Melayu, 1BumiOleh Zaini Hassan ORANG Cina telah bersatu. Keputusan Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membuktikannya. Malah, sebenarnya orang Cina telah pun bersatu sejak dulu lagi. Perkembangan politik muaasir (kontemporari), selepas era-Mahathirisme dan semasa era-Abdullahisme telah membuktikan ikatan orang Cina lebih utuh dan berpadu. Hubungan kekitaan, kekeluargaan serta brotherhood dan ukhwah orang Cina lebih erat, tanpa boleh ditandingi oleh mana-mana kaum di atas muka bumi Malaysia ini. Walaupun antara mereka berlainan haluan politik, tapi apabila sampai masa menentukan arah untung nasib kaum Cina – mereka akan bersatu atas pangkahan undi yang sama. Dalam ekonomi, mereka membantu antara satu sama lain. Dari sekecil-kecil ekonomis kepadalah yang sebesar-besarnya, mereka akan tolong-menolong antara satu sama lain. Budaya telah berjaya menyatupadukan orang Cina. Dalam masyarakat Cina tiada istilah bidaah yang boleh memesongkan mereka daripada soal budaya dan adat resam bangsa. Bahasa Cina diangkat tinggi, malah ada yang kata orang Cina yang tidak boleh membaca Cina pun akan turut membantu membeli akhbar Cina. Maka itu, akhbar Sin Chew Jit Poh – suara keramat orang Cina, menjadi antara akhbar yang paling tinggi edaran dan keuntungannya di Malaysia. Sekolah Cina terus dijadikan sebagai cagaran politik utama – yang tidak boleh dikompromi sama sekali. Pendek kata, orang Cina sebenarnya amat beruntung sekali berada di bumi Malaysia ini. Mereka telah menguasai segala-galanya. Sepuluh teratas orang mereka adalah bilionaire Malaysia. Sebahagian besar kedai yang ada di atas muka bumi Malaysia ini milik mereka. Hampir semua pelajar yang belajar di universiti swasta dan IPTS ternama dan mahal-mahal di negara ini rata-ratanya orang mereka. Saya telah nyatakan perkara itu dalam Cuit bertajuk Apa lagi orang Cina mahu? tahun lepas. Tulisan itu dipetik sepenuhnya oleh akhbar Straits Times Singapura dan surat pembaca yang saya terima dari republik itu menyokong penuh tulisan itu. Apa yang saya katakan ini adalah hakikat atau fakta. Hanya kuasa mutlak politik yang belum dikuasai sepenuh oleh orang Cina, yang lain semua sudah. Kini DAP membawa slogan yang cukup hebat di kalangan masyarakat mereka iaitu Undi untuk Ubah, Enough is Enough (Cukuplah) dan Selamatkan Malaysia. Slogan itu sebenarnya bukan ditujukan kepada orang lain, tapi khususnya kepada orang Cina. Terpapar megah di dada baju penyokong dan calon DAP dalam pilihan raya Sarawak supaya diubah kepimpinan Melayu Malaysia ini. Terus terang saya katakan, saya amat menyanjungi orang Cina. Mereka mempunyai matlamat dan masa depan yang cukup jelas. Walaupun tindakan itu berbau politik atau bukan, soalnya mereka cukup bersatu. Politik digunakan sebaik-baik mungkin untuk menyatupadukan kaum itu. Kita jangan salahkan DAP. Apa yang DAP lakukan itu amat betul untuk masa depan kaumnya. Jika Pas dipergunakan oleh DAP untuk memecahkan bangsanya sendiri, itulah operatif licik DAP. DAP telah berjaya menjadi parti Cina yang telah menyatupadukan orang Cina. MCA gagal dan SUPP pun gagal. Itu hakikat atas kertas. Malah seorang sahabat saya berbangsa Cina, pengarang sebuah akhbar ternama bersetuju bahawa orang Cina kini ke arah menyokong pembangkang. Pilihan Raya Umum Ke-13 akan digunakan sepenuhnya untuk menyatukan kuasa mereka. Sebaliknya apa yang orang Melayu buat? Tiada apa-apa. Mereka ialah satu bangsa yang cukup selesa, komplesen, alpa dan tidak peduli. Malah pemikiran mereka cukup bercelaru. Apa yang harus UMNO lakukan? UMNO harus berfikiran seperti DAPkah? Pandangan saya, apa yang UMNO harus lakukan sekarang, di masa yang amat terdesak sekarang, ialah melancarkan gelombang perpaduan bangsa – 1Melayu, 1Bumi. Lancarkan segera 1Melayu, 1Bumi dalam lingkungan UMNO dan parti-parti Melayu yang lain. Jika Pas degil dan tidak mahu ikut serta, gabungkan dengan puluhan NGO-NGO Melayu yang kini tumbuh bagaikan cendawan di atas bumi Malaysia ini. Perlu diingat NGO-NGO itu wujud kerana mereka dahagakan wadah perjuangan untung nasib bangsa semakin ditinggalkan. UMNO harus tarik pertubuhan sukarela ini ke hadapan dan menjadi juara semula dalam soal ini. Persetankan Pas yang ternyata telah menggadaikan perjuangan bangsa Melayu untuk kepentingan politik totok mereka. Hairan sungguh, para penyokong Pas akan menjadi lebih kuah daripada sudu semasa berkempen, dan mereka tidak pernah sedar bahawa secara senyap-senyap DAP cukup strategik mempermainkan mereka. Saya kira, sekiranya lima kerusi Pas di Sarawak itu ditandingkan di kawasan Cina sudah pasti mereka akan menang dan ada wakil dalam dewan undangan negeri. Tapi DAP telah mempermainkan mereka. Pas diletakkan di kawasan kaum bumiputera, bagi membolehkan kaum bumiputera terus berpecah. Pas seperti biasa, tidak sedar semua itu. Dalam usaha meniupkan gelombang 1Melayu, 1Bumi, tidak salah 1Malaysia diteruskan kerana ia adalah dasar jangka panjang negara. Parti komponen Cina dalam BN pun tidak akan marah jika UMNO melancarkan gagasan 1Melayu, 1Bumi kerana bagi mereka orang Cina telah pun bersatu. Tidak salah bagi orang Melayu melancarkan seruan 1Melayu, 1Bumi kerana orang Melayu sendiri belum bersatu. Dalam tulisan-tulisan saya sebelum ini, saya ada mengatakan orang Melayu berpecah kepada enam golongan. Melayu UMNO, Melayu Pas, Melayu PKR, Melayu DAP, Melayu Liberal dan Melayu Atas Pagar. Orang Melayu cukup berpecah. Orang Cina tidak akan marah sekiranya orang Melayu bersatu kembali. Mungkin DAPlah yang tidak selesa kerana matlamat mereka untuk memecah-belahkan lagi orang Melayu akan gagal. Bagi DAP, selagi konsep Malaysia Malaysian mereka tidak berlaku, selagi itu mereka akan berusaha keras untuk menjayakannya. UMNO harus meniupkan gagasan 1Melayu, 1Bumi ini segera. Orang Melayu harus disatukan segera bagi memastikan mereka menguasai semula politik yang semakin terhakis daripada tangan mereka. Walaupun Melayu berpecah, namun ada lagi suara-suara segelintir yang amat sayangkan bangsa. Seorang sahabat umpamanya, menghantar SMS semasa tulisan ini ditulis berbunyi: "Tolong tulis...BN jangan lagi bagi kawasan majoriti Melayu kepada wakil MCA, Gerakan dalam PRU akan datang... cukup sudah pengorbanan UMNO yang dibalas dengan tuba. MCA dan Gerakan WAJIB akur kerana kalau mereka kalah dengan DAP, wakil mereka tak perlu dilantik dalam kerajaan..." Itu ialah suara marah. Orang Melayu marah. Tapi kita harus rasional. Susun semula barisan dan gelombang satukan orang Melayu. Saya bercakap bagi pihak bangsa saya. Gagasan inilah yang turut dimainkan oleh sahabat saya, saudara Ridhuan Tee Abdullah, seorang mualaf Cina yang cukup kental jiwa ultra-Melayunya. Orang Cina amat tidak menggemari beliau di atas semangat assabiyah Melayu beliau itu. Namun bagi Ridhuan, dan orang Melayu yang lain, mereka amat khuatir dengan perkembangan mutakhir yang berlaku di negara ini sekarang. Namun, penghargaan harus diberi kepada kaum bumiputera Sarawak yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dengan begitu betul sekali. Saya angkat topi kepada kaum bumiputera Sarawak yang dilihat lebih matang daripada orang Melayu di Semenanjung. Sekiranya mereka tidak bersatu dalam pilihan raya 16 April lalu, maka Sarawak sudah tentu akan jatuh ke tangan orang lain. Orang bumiputera Sarawak telah memberi satu petunjuk yang amat berharga supaya diikuti oleh kaum Melayu di Semenanjung. Namun, orang Melayu Semenanjung berpecah enam. Mereka masih lagi berpecah enam. Oleh itu menjadi kewajipan UMNO; atas nama pejuang-pejuangnya yang terdahulu; dan sebagai parti induk orang Melayu; lancarkan segera slogan 1Melayu, 1Bumi bagi menggerakkan semula gelombang kebangsaan bangsa itu. Melayu harus dan wajib disatukan kembali sebagaimana kita mahu satukan orang Malaysia di bawah semangat 1Malaysia. Tiada makna adanya 1Malaysia, jika orang Melayu sendiri pun berpecah. Kini terletak dalam tangan UMNO untuk menentukan hidup atau mati bangsa ini. Orang Cina sudah ada 1Cina dalam erti kata tersendiri. Orang Melayu pun perlu ada 1Melayu, 1Bumi. Ayuh gerakkan! Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan