Selasa, 12 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Siswa asing proses syabu

Posted: 11 Apr 2011 10:44 AM PDT

KUALA LUMPUR: Dua pelajar institut pengajian tinggi (IPT) warga asing ditahan polis selepas serbuan di rumah mereka di Jalan Seri Jati, Puchong, Khamis lalu, menemui dadah jenis syabu.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang itu, polis merampas dadah seberat 2,173 gram yang dianggarkan berharga lebih RM500,000.


Difahamkan, sebelum itu polis menerima aduan orang awam yang mengesyaki kondominium terbabit dijadikan pusat pemprosesan dan pengedaran dadah sejak setahun lalu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata polis bergegas ke lokasi dan terserempak beberapa lelaki warga asing yang cuba melarikan diri.


Hasil pemeriksaan, polis menemui kunci rumah yang membawa kepada penemuan syabu dalam kondominium terbabit.


Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk tujuan pemprosesan dadah terbabit.

Beliau berkata, selain menahan dua pelajar IPT berusia 26 dan 38 tahun terbabit, seorang ahli perniagaan berusia 38 tahun turut ditahan.


"Mereka terdiri daripada warga Nigeria dan Liberia. Ahli perniagaan terbabit sudah beberapa kali berulang-alik ke Malaysia atas urusan perniagaan dan rekod menunjukkan kali terakhir dia memasuki negara ini pada 3 Mac lalu.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.


Katanya, polis meneruskan siasatan terhadap kes itu mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sementara itu, pada 9 April lalu, satu lagi sindiket dadah didalangi rakyat tempatan ditumpaskan di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sentosa, Batu 6, Jalan Klang Lama.


Menurutnya, operasi yang dijalankan bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menerusi Ops Tapis Bersepadu itu membawa kepada penangkapan dua lelaki berusia 34 dan 38 tahun serta seorang wanita berusia 38 tahun.


Dalam serbuan itu, polis merampas 47.5 gram dadah jenis heroin yang cuba disembunyikan wanita terbabit dalam seluar dalamnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua lelaki samun RM1,881

Posted: 11 Apr 2011 10:42 AM PDT

GOMBAK: Dua lelaki bersenjata pisau menyamun sebuah kedai 24 jam di Rawang Idaman sebelum melarikan wang RM1,881, rokok dan minuman keras, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, seorang pekerja kedai yang berada di kaunter tergamam apabila seorang lelaki memakai topi keledar masuk dan mengacukan pisau lipat ke arahnya.


Menurut sumber, suspek mengambil kesempatan di atas ketiadaan pelanggan menyerbu masuk untuk menyamun barang di dalam kedai berkenaan.

"Suspek yang berselindung di sebalik topi keledar kemudian meminta mangsa membuka mesin wang, namun gagal kerana mangsa enggan berbuat demikian.


"Selang beberapa minit kemudian datang seorang lagi lelaki yang memakai topi keledar menarik mangsa ke bahagian belakang kedai," katanya.


Sumber berkata, ketika kejadian seorang lagi rakan mangsa yang mengira wang di belakang terkejut apabila suspek menendang rakannya sehingga terjatuh.

"Suspek mengarahkan rakan mangsa menyerahkan wang. Takut diapa-apakan rakan mangsa menyerahkannya kepada suspek.


"Malah, suspek mengurung mangsa di dalam bilik dan mengambil beberapa kotak rokok dan minuman keras," katanya.

Katanya, dua suspek terbabit kemudian melarikan diri.


Bagaimanapun, rakan mangsa menyelamatkannya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Rawang.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan laporan mangsa dan siasatan lanjut dijalankan bagi memburu suspek.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan