Utusan Online - Utara |
- Undang-undang tidak diketepikan
- KEDA bantu keluarga termiskin
- Ketua polis tunggang motosikal dekati orang awam
Undang-undang tidak diketepikan Posted: Undang-undang tidak diketepikan
KANGAR 11 April – Pada November tahun lalu, banjir besar yang tidak disangka-sangka melanda Perlis, iaitu lima tahun selepas banjir besar yang pertama berlaku di negeri ini. Banjir ketika itu tidak disangka kerana pada kejadian banjir atau di utara Semenanjung disebut bah pada 2005, hampir semua rakyat negeri ini berandaian bahawa bah yang besar hanya akan melanda negeri ini 10 tahun kemudian. Namun, hanya lima tahun kemudian iaitu pada November 2010, bah besar berlaku lagi dan sekali lagi rakyat di negeri ini berandaian bah hanya akan berlaku dua tahun lagi, suatu andaian tempoh paling singkat Bagaimanapun, andaian tersebut meleset sekali lagi apabila tidak sampai setengah tahun atau lebih tepat selepas lima bulan, bah datang lagi. Walaupun kali ini bah yang melanda tidak sebesar seperti pada November lepas, namun mangsa-mangsa tetap mengalami keperitan apabila sekali lagi terpaksa membersihkan rumah walaupun penat lima bulan masih terasa. Namun, penat atau tidak kesemuanya reda dengan ketentuan Ilahi dan sama ada air bah itu besar atau tidak, ia tetap menjadi suatu pesta main air bah untuk semua lapisan masyarakat di negeri ini. Lokasi seperti jalan raya yang dinaiki air menjadi tumpuan, ibarat main air di taman-taman tema air yang popular di Lembah Klang, orang ramai bersama-sama keluarga masing-masing dilihat berduyun-duyun mengharung air tanpa rasa bimbang. Golongan muda dengan motosikalnya, manakala ibu bapa membawa anak masing-masing mengharung air, malah ada yang memakaikan anak masing-masing dengan pelampung untuk memudahkan mereka berenang. Kawasan Bintong di jalan utama dinaiki air separas paha manakala kawasan hadapan Hotel Putra Palace di Pesiaran Jubli Emas dan Bulatan Jubli Emas yang terletak dalam bandar Kangar menjadi tumpuan utama. Kawasan-kawasan sawah padi yang digenangi air sehingga melimpahi jalan raya turut menjadi perhatian orang ramai, terutama untuk melihat orang menjala ikan untuk mendapatkan sepat, puyu dan haruan. Setiap kali jala dinaikkan, berpuluh-puluh ikan air tawar tersangkut di jaring masing-masing dan ketika itu orang ramai yang sejak awal melihat terus berkerumun untuk membeli hasil tangkapan tersebut. Namun, dalam kemeriahan dan pesta air bah itu, banyak pihak seolah-olah lupa tentang keselamatan masing-masing, terutama kanak-kanak yang bermain air separas paha mereka di jalan raya berhadapan rumah masing-masing. Bagi petugas media yang menjalankan tugas dengan menaiki trak tentera atau kenderaan berat, kebimbangan dan rasa cemas tercetus di hati apabila melihat kanak-kanak tersebut riang menyelam dalam air yang bergelombang setiap kali trak atau lori melalui kawasan itu. Dalam pada itu, tindakan polis daerah Kangar mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal yang melanggar peraturan jalan raya semasa banjir patut dipuji, walaupun menghilangkan seketika keseronokan mereka bermain air bah. Ketua Polis Daerah Kangar, Supritendan Abdul Rahman Mohd. Noordin berkata, sama ada banjir atau tidak, saman tetap dikeluarkan jika tidak mematuhi peraturan dan hasilnya sebanyak 60 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dalam Operasi (Ops) Banjir itu. Empat kawasan yang terlibat ialah Kayang, Bintong, Persiaran Jubli Emas dan Jalan Raja Syed Alwi. Seramai 359 anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar terlibat dalam rondaan dan pencegahan jenayah itu, selain menempatkan anggotanya di setiap pusat pemindahan dan sekitar taman perumahan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: KEDA bantu keluarga termiskinOleh JAMLIAH ABDULLAH
PADANG TERAP 11 April - Sebanyak 4,750 unit rumah bantuan telah dibina oleh Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) di seluruh negeri sejak 30 tahun lalu. Pengerusi KEDA, Datuk Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, pembinaan melalui peruntukan Kerajaan Pusat melibatkan 56 perkampungan dengan kos antara RM14,000 hingga RM33,000 sebuah. Katanya, keprihatinan kerajaan itu tentunya melegakan penduduk, sekali gus membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik berbanding sebelum ini terpaksa tinggal di rumah usang. "Tengok hari ini, pembangunan keluarga KEDA begitu baik. Daripada segi pendidikan, ekonomi mahupun politik kerana mereka tahu Kerajaan Pusat yang membantu mereka. KEDA sebagai agensi terlibat akan terus memainkan peranan ini. "Kita akan memohon lebih banyak peruntukan daripada Kerajaan Pusat untuk membina lebih banyak rumah PPRT ," katanya selepas majlis Perasmian dan Penyerahan Kunci Rumah PPRT KEDA di Perkampungan KEDA Bendang Tok Teri di sini, semalam. Sehubungan itu, beliau menyeru semua penduduk memberi sokongan padu kepada kerajaan dalam memastikan langkah tersebut berjalan lancar. "Hasrat kita memanglah untuk membina rumah sebanyak mungkin kepada rakyat. Namun, ia bergantung kepada keluasan tanah milik KEDA yang masih ada. Jadi kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negeri ini kita mampu bangunkan semuanya. "Apapun lepas jika kita menawan semula Kedah, pembangunan KEDA ini akan terus menjadi keutamaan," jelasnya. Dalam majlis itu, 14 keluarga berpendapatan rendah menerima bantuan rumah PPRT tersebut yang bernilai RM33,000. Sehingga kini terdapat 71 keluarga menetap di perkampungan itu. Menurut seorang penerima, Mohd. Rizan Hussein, 38, bantuan rumah itu meringankan bebannya. "Nak beli rumah memanglah tidak mampu, kerana kerja cuma ambil upah menoreh getah. Tetapi, kini saya sudah ada rumah sendiri dan tidak perlu lagi menumpang keluarga. Saya amat menghargai bantuan ini," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Ketua polis tunggang motosikal dekati orang awam Posted: Ketua polis tunggang motosikal dekati orang awam
SUNGAI PETANI 11 April - Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim mengambil pendekatan lebih mesra apabila mengenepikan protokol dengan menunggang motosikal ke majlis yang disertainya. Hari ini, beliau menunggang motosikal unit trafik dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen negeri di Alor Setar untuk menghadiri program penyerahan sumbangan kepada warga emas di Rumah Seri Kenangan Bedong, dekat sini. Kata Ahmad, tindakan yang diambil itu bertujuan mengurangkan jurang antara beliau selaku ketua dengan anggota polis lain. "Selain itu, dengan menunggang motosikal ke majlis-majlis, saya boleh lihat sendiri keadaan sekeliling. Sebagai contoh, apabila ada kes atau orang ramai memerlukan bantuan, saya boleh berhenti 'on the spot' untuk ambil tindakan. "Kalau naik kereta rasmi, susah sikit hendak berhenti dan orang ramai pun akan berasa sedikit sangsi. Jadi saya suka ambil cara low profile," katanya. Ahmad berkata, para pegawai polis termasuk dirinya perlu mengenepikan sedikit protokol untuk mengurangkan rasa kekok masyarakat dengan polis. "Hubungan yang baik antara kita dan orang awam merupakan sebahagian daripada kerja-kerja kepolisan," katanya. Beliau berkata, polis akan menganjurkan lebih banyak program bercorak kemasyarakatan di seluruh negeri ini bagi mengurangkan kadar jenayah di samping memupuk semangat kekitaan. "Selepas ini saya dan pegawai kanan lain akan lebih kerap 'turun padang'. Malah, kami akan tunggang motosikal atau naik kenderaan yang sesuai semasa menghadiri majlis bersama masyarakat," katanya. Ahmad sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah Pengurusan (Perjawatan) Bukit Aman, Kuala Lumpur. Beliau mula bertugas sebagai Ketua Polis Kedah pada 16 Disember lalu menggantikan Datuk Syed Ismail Syed Azizan yang dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan