Utusan Online - Muka Hadapan |
- Sindiket curi kereta nasional tumpas
- Identiti pemilik jam Omega akan diketahui
- Juruterbang Sabah Air terbunuh
Sindiket curi kereta nasional tumpas Posted: Sindiket curi kereta nasional tumpasOleh ZAINAL AZHAR MOHAMED
KUALA LUMPUR 11 April - Polis berjaya menumpaskan sindiket mencuri kereta nasional yang terbesar setakat ini dengan menahan enam lelaki dan merampas 1,603 komponen kenderaan bernilai RM5 juta di Melaka dan Johor, kelmarin. Sindiket yang didalangi enam suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu hanya mencuri kereta dan lori buatan nasional di sekitar Lembah Klang sebelum meleraikan komponennya di Melaka dan Johor. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh pada akhir Februari lalu, satu pasukan diketuai oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah dibentuk untuk melakukan siasatan. Menurutnya, berdasarkan risikan, serbuan pertama dilakukan pada Jumaat lalu di tiga buah setor di Batu Berendam dan Durian Tunggal, Melaka dan polis berjaya menahan dua ahli sindiket berkenaan. "Polis menemui enam buah kereta dan sebuah lori yang dipercayai dicuri di Lembah Klang dan Johor. Dalam serbuan kedua kelmarin, sebuah setor, dua kedai alat ganti kenderaan dan dua buah rumah di Skudai, Johor telah diperiksa," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini hari ini. Tambahnya, dalam pemeriksaan tersebut sejumlah komponen kenderaan nasional telah ditemui dan empat lelaki ditahan. Mohd. Bakri memberitahu, siasatan awal polis mendapati, sindiket tersebut terlibat dalam 250 kes curi kereta dan lori di sekitar Lembah Klang dan Johor sejak 2009. "Tetapi setakat ini hanya 81 kes yang dilaporkan dan usaha sedang dilakukan bagi mengesan baki kes melibatkan sindiket ini," katanya. Beliau menambah, kejayaan besar itu memberi impak berkesan dalam usaha polis menangani jenayah curi kenderaan yang tinggi. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Identiti pemilik jam Omega akan diketahui Posted: Identiti pemilik jam Omega akan diketahuiOleh ZAINAL AZHAR MOHAMED KUALA LUMPUR 11 April – Identiti pemilik jam tangan Omega yang diserahkan ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah kepada polis akan diketahui selepas pengedar jam berjenama itu menyerahkan laporan pendaftaran pembeliannya dalam tempoh terdekat. Jam tangan berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk membantu siasatan kes rakaman video aksi seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang. Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis telah memohon untuk mendapatkan identiti pembeli jam itu daripada pengedarnya yang berpusat di luar negara. "Pengedar jam itu memberitahu mereka akan memberi laporan pendaftaran pembelian tersebut dalam tempoh seminggu, tetapi sekarang sudah lebih dari tempoh itu. "Mungkin dalam tempoh terdekat ini kita akan memperolehnya. Dengan memperoleh identiti pemilik jam itu kita mungkin dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kes ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini. Ketika ditanya sama ada polis akan meminta Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan jam tangan jenis sama untuk siasatan, Acryl Sani berkata, perkara itu tidak perlu kerana jam tangan yang sepatutnya telah pun diserahkan. Dalam pada itu beliau memberitahu, kertas siasatan mengenai rakaman video aksi seks tersebut sedang dikemas kini semula sebelum diserahkan kepada pejabat pendakwa raya. "Polis ketika ini sedang merakam beberapa keterangan sokongan kepada keterangan yang telah dibuat sebelum ini. Dalam minggu ini, semua rakaman keterangan sokongan itu dijangka selesai dan kertas siasatan akan diserahkan semula," ujarnya. Berhubung sedutan rakaman video aksi seks itu selama hampir dua minit yang didedahkan di Internet, katanya, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) sedang menjejaki pihak yang bertanggungjawab melakukan perbuatan itu. Semalam, Anwar menjadi berang apabila ditanya oleh wartawan mengenai jam tangan itu dan menegaskan isteri beliau, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah menjawabnya. Wan Azizah sebelum ini menyatakan jam tangan itu ada dalam simpanan beliau. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Juruterbang Sabah Air terbunuh Posted: Juruterbang Sabah Air terbunuh
SIBU 11 April - Sebuah helikopter jenis Bell 206 yang membawa pegawai Timbalan Perdana Menteri terhempas sejurus berlepas dari Dataran Sanyan di sini petang ini setelah menurunkan penumpang menyebabkan juruterbangnya, Kapten Sahaimi Ghazali terbunuh. Kapten berusia 38 tahun itu yang cedera parah di bahagian rusuk kanan dipercayai terkena serpihan kaca meninggal dunia kira-kira pukul 8.36 malam ini selepas menjalani pembedahan di Hospital Sibu di sini. Sebelum kejadian pada pukul 1.50 petang itu, helikopter terbabit baru beberapa minit menurunkan seorang pegawai khas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dua pegawai pengiring yang mengikuti kunjungan beliau ke Bintangor, Sarikei. Muhyiddin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang sebelum itu menghadiri satu majlis di sini terus bergegas ke Hospital Sibu untuk melawat Sahaimi yang terpaksa menjalani pembedahan. "Saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Memang saya sedih dan telah berdoa supaya beliau selamat, tetapi takdir telah ditentukan Allah," kata Muhyiddin dalam satu kenyataan di sini malam ini. Timbalan Perdana Menteri meminta keluarga Allahyarham bersabar dan menganggap kejadian itu sebagai cabaran dan beliau sendiri akan menyampaikan bantuan peribadi untuk urusan pengkebumian jenazah selain melihat bentuk bantuan yang boleh kerajaan berikan kerana Sahaimi meninggal dunia ketika bertugas untuk negara. Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail berkata, selepas menurunkan penumpang, helikopter tersebut terbang semula untuk ke Lapangan Terbang Sibu. Bagaimanapun jelasnya, pada ketinggian kira-kira tiga meter, helikopter berkenaan tiba-tiba hilang kawalan sebelum terhempas. "Ketika kejadian, cuaca baik tetapi ada saksi mengatakan keadaan itu berlaku akibat angin yang tiba-tiba bertiup kencang. Mangsa seorang juruterbang syarikat Sabah Air dikejarkan ke hospital menggunakan sebuah lagi helikopter untuk rawatan lanjut," katanya yang ditemui di tempat kejadian. Difahamkan, para pegawai Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan tiba dari Kuala Lumpur esok untuk melakukan siasatan terhadap kemalangan itu. Allahyarham Kapten Sahaimi dikatakan baru menyertai Sabah Air yang berpangkalan di Subang, Selangor. Allahyarham yang meninggalkan seorang isteri, Suriani Shafie, 38, dan empat anak berusia antara empat hingga 13 tahun dijangka dikebumikan di kampung halamannya di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan