Isnin, 4 April 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lagu terakhir Seri Bayu

Posted: 03 Apr 2011 11:58 AM PDT

PORT DICKSON: "Ayah (Seri Bayu) sempat menghasilkan sebuah lagu berjudul 'Sebelum Aku Pergi' untuk saya," kata penyanyi remaja, Nazira Abdul Ghani, ketika ditemui pada majlis pengebumian komposer dan penulis lirik terkenal itu.

Nazira yang juga anak angkat kepada Seri Bayu berkata, dia mengenali arwah ketika menyertai pertandingan karaoke di Tasik Idaman, Bangi, Selangor, empat bulan lalu.


"Saya disapa arwah ayah yang turut menyaksikan pertandingan itu. Dia menyatakan kagum dengan suara saya, malah berjanji menggilap saya menjadi penyanyi popular," kata anak bongsu lima beradik itu.

Menurutnya, arwah ayah angkatnya itu meminta untuk tinggal bersama keluarganya di Kampung Teluk Pelanduk, di sini, dengan alasan suka dengan suasana kampung dan mudah mendapat ilham mencipta lagu.


Nazira berkata, arwah seperti dapat menjangka hayatnya tidak lama apabila begitu tergesa-gesa menyiapkan lagu untuk rakaman album.


"Ketika keluarga saya dan arwah ke Shah Alam berjumpa seorang komposer lagi bagi pembikinan video klip lagu Sebelum Aku Pergi, dia beria-ia minta disiapkan pada Mei, apabila ditanya kenapa tidak bulan April, dia hanya tersenyum saja. "Rupa-rupanya arwah seperti mengetahui ajalnya dan tidak mahu albumnya disiapkan dalam tempoh berpantang 44 hari," katanya.

Kelmarin, komposer dan penulis lirik, Seri Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Port Dickson di sini, kira-kira jam 8.30 malam akibat penyakit saraf motoneuron dihidapinya sejak 2004 lalu.


Isterinya yang juga seorang penyanyi, Dayang Zaira Erema Awang Moshdad, 27, atau Erema, turut kelihatan walaupun sebelum ini rumah tangga mereka bermasalah dan kes itu masih dalam perbicaraan mahkamah.

"Saya masih sah isteri arwah dan reda dengan pemergiannya," kata Erema yang mengetahui berita kematian suaminya itu kira-kira jam 9 malam kelmarin.


"Kali terakhir berjumpa arwah ketika hadir perbicaraan di Mahkamah Syariah Petaling Jaya, Ogos lalu. Namun, kami kerap berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk bertanya khabar antara satu sama lain," kata ibu kepada seorang anak perempuan berusia lapan tahun itu.


Jenazah Seri Bayu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Teluk Pelanduk, di sini, semalam kira-kira jam 2 petang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bebas radioaktif

Posted: 03 Apr 2011 11:58 AM PDT

TOKYO: Semua rakyat Malaysia termasuk pelajar di negara ini tidak terdedah kepada sebarang pencemaran radiasi nuklear atau radioaktif dan berada dalam keadaan selamat serta meneruskan kehidupan seperti biasa.

Pemeriksaan dilakukan mendapati tahap radiasi dikesan pada sebahagian mereka selepas beberapa minggu loji nuklear di Fukushima mengalami kebocoran tidak serius atau berbahaya.


Pemeriksaan itu dilakukan pegawai Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) dan Agensi Nuklear Malaysia (ANM) ditugaskan memantau tahap radiasi di beberapa kawasan, terutama kawasan didiami warga Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah AELB, Ibrahim Muhamad, berkata pemeriksaan tahap pencemaran radiasi pada tubuh, pakaian atau barangan rakyat Malaysia terbabit turut menunjukkan tiada di kalangan mereka mengalami pencemaran serius.


"Sepanjang beberapa hari membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap beberapa individu, kita percaya tiada ancaman radiasi setakat ini dan Jepun bebas dari ancaman yang serius selain di Fukushima.


"Bacaan meter pada alat pengesan juga normal," katanya yang mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia selama tujuh hari di beberapa kawasan yang terjejas akibat bencana gempa dan tsunami.

Ibrahim berkata, sepanjang misi di Yamagata, Miyagi, Tochigi dan Gunma dia bersama seorang lagi pegawai membuat pemantauan rapi terhadap kawasan yang dilawati dan juga anggota sukarelawan serta warga Malaysia yang berada di lokasi berkenaan.


"Sepanjang masa kami memantau kadar radiasi dan memberi penerangan mengenainya. Setakat ini tiada sukarelawan atau rakyat kita yang dikesan terdedah pada radiasi.

"Jika ada pun hanya ketika kenderaan kumpulan sukarelawan melalui Fukushima di mana kadar radiasinya lebih kurang 35 mikro Sievert (Sv) sejam iaitu 50 kali lebih tinggi daripada kadar biasa, namun semua anggota misi tidak terdedah pada bahaya kerana hanya melalui kawasan itu dalam waktu yang singkat," katanya.


Ibrahim berkata, pada pandangan peribadinya semua rakyat Malaysia di sini termasuk kumpulan sukarelawan tidak terdedah pada radiasi, namun pemeriksaan lanjut sentiasa dilakukan di tanah air bagi mereka yang tiba dari Jepun.


Sementara itu, Ketua Misi, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, dia bersyukur kerana matlamat misi kali ini berjaya dilaksanakan walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk radiasi nuklear, gempa bumi dan ancaman tsunami.


"Kita berjaya menghulurkan bantuan kepada rakyat Malaysia dan warga tempatan yang terjejas akibat bencana yang dahsyat ini. Pelbagai rintangan kami tempuhi termasuk kesukaran memasuki kawasan tragedi ekoran sedikit kerenah birokrasi di sini.


"Namun itu semua dapat kami harungi dan semua barangan bantuan dapat diserahkan kepada mereka yang memerlukannya. Apa yang penting adalah kami selamat serta tidak terdedah pada radiasi," katanya di Kedutaan Besar Malaysia di Jepun selepas bertemu dengan lebih 150 warga Malaysia di sini, semalam.


Seramai 48 sukarelawan terdiri daripada pasukan perubatan, pegawai dalam bidang nuklear dan media berada di sini sejak 24 Mac lalu bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana dan akan pulang ke tanah air hari ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan