Sabtu, 16 April 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Lawan kera gigit muka bayi

Posted: 15 Apr 2011 02:04 PM PDT

DIRAWAT...Rokiah dirawat di Hospital Melaka.
DIRAWAT...Rokiah dirawat di Hospital Melaka.

MELAKA: "Saya cekak tengkuk kera itu sekuat hati, baru haiwan itu lepaskan gigitan terhadap bayi yang saya jaga," kata Rokiah Abd Rahman, 59, menceritakan detik cemas menyelamatkan bayi berusia setahun tiga bulan yang diserang seekor kera, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi di rumahnya di Kampung Kilang Berapi, Merlimau, dekat sini, tindakan berani warga emas itu berjaya menghalang haiwan liar berkenaan daripada terus menggigit dan mencakar muka Siti Hajar Abd Razak.


Bagaimanapun, Sti Hajar cedera agak serius dan menerima hampir 30 jahitan di mukanya akibat digigit haiwan liar itu.

Rokiah berkata, ketika kejadian dia baru saja menidurkan Siti Hajar di kerusi buaian di bahagian tengah rumahnya selepas menutup semua tingkap dan pintu.


"Ketika menidurkan Siti Hajar, saya terlelap dengan berbaring di sisinya sambil tangan kanan diletakkan di badannya.


"Bagaimanapun, kira-kira 15 minit kemudian, saya tersentak apabila mendengar Siti Hajar menangis dengan kuat dan pada masa sama, saya berasa teramat sakit di tangan kanan.

"Apabila membuka mata, saya terkejut apabila mendapati seekor kera menggigit muka Siti Hajar.


"Melihatkan keadaan itu, saya menarik badan kera terbabit supaya dia melepaskan gigitan di muka Siti Hajar, tetapi ia enggan melepaskannya.

"Saya memberanikan diri mencekak tengkuk haiwan liar itu, baru ia melepaskan gigitan," katanya ketika ditemui di wad Hospital Melaka, di sini, semalam.


Menurut Rokiah, walaupun dalam keadaan sakit yang teramat sangat dengan tangan kanan berlumuran darah kerana digigit kera itu, dia terus menarik kera terbabit.


"Ketika itu, saya melihat muka Siti Hajar berlumuran darah dan dia menangis akibat kesakitan. Anak jiran saya yang mendengar bunyi bising dalam rumah masuk untuk memberi bantuan.


"Dia yang terkejut melihat kami berlumuran darah mencengkam kera itu sebelum memijaknya dan mencampaknya ke luar," katanya.


Menurutnya, dengan bantuan jiran, dia menghantar Siti Hajar ke Klinik Kesihatan Merlimau sebelum kedua-dua mereka dirujuk di Hospital Melaka.


"Saya jarang melihat kumpulan kera berada di kawasan kampung ini, tambahan pula rumah saya terletak di laluan sibuk dan hampir dengan kawasan kilang.


"Mungkin kera terbabit masuk ke rumah saya menerusi bahagian bumbung yang tidak mempunyai siling," katanya yang menjaga Siti Hajar sejak setahun lalu.


Dalam pada itu, Rokiah juga amat bersyukur kerana seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang dijaganya dan tidur di dalam bilik tidak diserang haiwan terbabit.


Ibu tunggal kepada tiga anak itu cedera pada tangan kanan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, Roslan Ahmad melawat Rokiah dan Siti Hajar, semalam.


Sementara itu, ibu Siti Hajar, Hazilah Mohamad, 33, berkata ketika kejadian dia bertugas di Politeknik Merlimau, apabila dihubungi anak Rokiah yang memaklumkan kejadian itu.


Katanya, dia menggigil apabila dimaklumkan berita itu kerana menyangka anaknya demam teruk.


Dia menghubungi suaminya, Abd Razak Bakar, 33, dan mereka bergegas ke Poliklinik Merlimau.


"Anak saya cedera di dahi, hidung, bibir, gusi dan tangan kiri, namun saya dan suami bersyukur kerana Siti Hajar selamat menjalani pembedahan selama dua jam bermula jam 10.30 malam tadi (kelmarin)," katanya.


Roslan berkata, dia akan meminta pihak Jabatan Perhilitan negeri segera melakukan pemantauan di kawasan kampung berkenaan bagi menangkap kera itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Waran tangkap

Posted: 15 Apr 2011 02:02 PM PDT

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini, mengeluarkan waran tangkap terhadap pelakon Norman Hakim dan tunangnya, Memey yang dituduh berkhalwat tiga tahun lalu, berikutan kegagalan pasangan itu hadir di mahkamah tanpa alasan kukuh untuk perbicaraan kes mereka, semalam.

Bagaimanapun, Hakim Syarie Salehan Yatim yang mengeluarkan perintah itu berkata, waran tangkap berkenaan hanya berkuat kuasa pada tarikh prosiding berikutnya iaitu 20 Mei depan.


Ini bermakna, jika Norman, 35, dan Memey atau nama sebenarnya Suhaizah Suhaimi, 23, tidak hadir pada tarikh berkenaan yang ditetapkan untuk pihak pembelaan memfailkan hujahan balas, mereka boleh ditangkap.

Terdahulu, peguam Munirah Abu Bakar yang mewakili pasangan itu memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menerima panggilan telefon daripada Norman pagi semalam memberitahu tidak dapat hadir ke mahkamah kerana tidak sihat tanpa memberikan sijil cuti sakit. Selain itu, Munirah memaklumkan Norman turut mewakili pihak Memey memaklumkan pelakon itu tidak dapat hadir dalam prosiding semalam kerana berada di luar ibu negara. Berikutan itu, pendakwa syarie, Hasrul Hafiszi Ahmad Kamal memohon mahkamah mengeluarkan waran tangkap terhadap pasangan berkenaan kerana mereka sepatutnya mendahului kes mahkamah berbanding perkara lain.


"Kami (pihak pendakwaan) tidak boleh menerima alasan itu kerana mereka sepatutnya perlu mendahulukan mahkamah, justeru pohon waran tangkap dikeluarkan kepada mereka pada tarikh akan datang," katanya.


Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon dan Memey didakwa berkhalwat di pejabat 4-1A, Jalan UP 1/2, Taman Ukay Perdana, Hulu Klang di sini, pada jam 3 pagi, 30 Oktober 2008.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)(b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM3,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.


Salehan turut menetapkan keputusan sama ada pasangan terbabit didapati bersalah terhadap tuduhan itu pada 29 Julai depan dan memerintahkan kedua-dua hadir pada tarikh berkenaan.

Pihak pendakwaan menutup kes itu pada Oktober tahun lalu selepas hampir dua tahun perbicaraan yang membabitkan lapan saksi pendakwaan dipanggil termasuk bekas Pegawai Penguat Kuasa Jabatan Agama Islam Selangor, Azhar Noordin, 42.


Semalam, Hasrul Hafiszi turut memohon tarikh lain supaya pihak pembelaan boleh memfailkan hujahan balas selewat-lewatnya 20 Mei depan manakala pihak pendakwaan perlu menggulung hujahan sebulan selepas tarikh itu iaitu 20 Jun depan.


Pada 18 Disember 2008 di mahkamah sama, Norman melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Abby Abadi atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, 32.


Pasangan itu bernikah pada 8 Januari 2002 dan bercerai kali pertama dengan talak satu pada 5 Mei 2006 dan disahkan bercerai di mahkamah sama pada 10 Mei 2006 sebelum rujuk semula keesokan harinya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan