Isnin, 11 April 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Cepatkan siasatan

Posted: 10 Apr 2011 03:05 PM PDT

MukaDepan

Pemuda BN mahu polis selesaikan segera kes video seks elak cetus pelbagai spekulasi

BUKIT MERTAJAM: Pemuda Barisan Nasional (BN) mendesak polis menyelesaikan segera siasatan video seks yang didakwa membabitkan seorang lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengelakkan spekulasi berterusan mengenainya sehingga boleh menjejaskan imej negara.

Bagi Pemuda BN, penyiasatan yang terlalu lama menimbulkan pelbagai spekulasi dan mempengaruhi persepsi semua pihak terhadap kerajaan serta masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia.

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin, berkata Pemuda BN juga berpendapat kebenaran pasti tidak akan didengar oleh rakyat jika penyiasatan mengambil satu tempoh yang lama. "Saya tidak faham mengapa polis mengambil masa lama untuk menyiasat satu kes yang mudah dan perkara ini sudah dua minggu berlanjutan. Cepatlah siasat... kes itu mudah untuk diselesaikan demi keadilan semua pihak, iaitu orang yang kena tuduh, termasuk BN yang dituduh menjadi dalang penyebaran video terbabit," katanya pada sidang media selepas Program Jelajah One Malaysia (JOM), Peringkat Pulau Pinang di Kampung Machang Bubuk di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Shaik Hussein Mydin. Pada majlis itu, Khairy merasmikan sebuah rumah usang milik Mohamad Fuad Ismail, 40, yang dibaik pulih dalam tempoh enam hari membabitkan perbelanjaan RM5,000 oleh Pusat Latihan GiatMara Machang Bubuk.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, penyiasatan yang mengambil masa lama memberi tanggapan negatif seolah-olah orang yang kena tuduh dinafikan keadilan.

"Kesannya juga menyebabkan perpaduan masyarakat tergugat kerana terpengaruh dengan pelbagai persepsi hingga ada yang percaya atau sebaliknya. Apabila penyiasatan selesai dan ada pihak yang tidak berpuas hati, barulah kita tubuhkan suruhanjaya bebas bagi memastikan kes itu mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Minggu lalu, parti pembangkang sepakat menolak cadangan ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat video seks yang dikaitkan dengan Anwar.

Pengerusi DAP, Karpal Singh, dilaporkan berkata suruhanjaya itu tidak diperlukan, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada siasatan polis yang sudah dimulakan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan