Isnin, 4 April 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Rumah pangsa dicat semula

Posted:

Rumah pangsa dicat semula

Rumah pangsa dicat semula

Oleh NUR NAZLINA NADZARI
kota@utusangroup.com.my


Ahmad Phesal Talib (dua dari kiri) diiringi Adnan Md. Ikhsan (kiri) menyerahkan surat setuju terima kepada salah seorang kontraktor bagi projek mengecat semula rumah pangsa Taman Sri Sentosa dan Taman Sri Pinang di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, kelmarin.


KUALA LUMPUR 3 April - Seramai 45 kontraktor kelas F mendapat surat setuju terima bagi melaksanakan projek mengecat semula rumah pangsa di Taman Seri Sentosa Ria AC4 dan Taman Sri Pinang di Lembah Pantai di sini.

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib berkata, projek itu akan disiapkan dalam masa lapan minggu bermula dari 12 April hingga 21 Jun.

Menurutnya, ia adalah sebahagian daripada usaha mengindahkan ibu negara dan juga bagi memberikan keselesaan kepada penduduk.

Katanya, selain mengecat bangunan yang sudah 18 tahun tidak dicat semula itu, turut dilaksanakan ialah kerja-kerja membaiki talang dan bumbung serta rawatan anai-anai.

"Untuk memastikan penduduk berpuas hati dengan usaha mengecat semula itu, mereka diberi kuasa untuk memilih warna yang diingini," katanya selepas menyampaikan surat setuju terima kepada kontraktor-kontraktor terbabit di Taman Seri Sentosa, di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Kesejahteraan) Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Adnan Md. Ikhsan.

Ahmad Phesal menegaskan, semua cat yang akan digunakan dijamin berkualiti tinggi dan tahan lama dengan setiap kontraktor diwajibkan mengikut standard yang ditetapkan oleh pengeluar cat.

Sementara itu, seorang kontraktor, Mohd. Hisham Subahar berkata, peluang yang diberikan oleh kerajaan kepada kontraktor kelas F itu adalah satu perkembangan yang positif.

Menurutnya, selalunya projek sebesar itu diberikan kepada kontraktor kelas A sahaja tetapi dalam projek ini, kerajaan memecahkannya mengikut blok dan satu kontraktor kelas F diberikan satu blok untuk dicat semula.

"Saya sudah meletakkan sasaran untuk menyiapkan proses mengecat semula bangunan itu lebih awal iaitu dalam masa enam ke tujuh minggu bergantung pada keadaan cuaca," ujarnya penuh bersemangat.

Dalam pada itu, Halimatu's Sa'diah Abdul Ghaffar berkata, sistem pecahan kepada beberapa kontraktor kelas F itu dapat membantu ramai kontraktor mendapat peluang kerja.

"Kerajaan nampaknya semakin prihatin dengan nasib kontraktor seperti kami yang kebanyakannya adalah bumiputera," jelasnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Nenek mati dikelar selepas disamun

Posted:

Nenek mati dikelar selepas disamun

Nenek mati dikelar selepas disamun

KUALA LUMPUR 3 April - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Perak, Sentul di sini gempar apabila menjumpai mayat seorang perempuan warga emas dipercayai dibunuh berhampiran lif PPR tersebut hari ini.

Ketika kejadian, mangsa Veeramah, 79, ditemui orang awam pukul 6.45 petang dalam keadaan lengkap berpakaian di tingkat lapan blok 41.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, siasatan awal mendapati leher mangsa dikelar menggunakan senjata tajam.

"Ketika ditemui kedua-dua subang telinga mangsa didapati hilang dan ini menunjukkan mangsa juga turut disamun," katanya ketika ditemui pemberita.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti suspek kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan separuh bogel di tangga rumah kedai tiga tingkat berhampiran Stesen Bas Klang Sentral, Meru, Klang, petang ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Mohamad Shukor Sulong ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menyatakan bahawa mangsa adalah seorang warga asing berumur dalam lingkungan 30-an.

Kata beliau, berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian muka mangsa namun punca kematian masih disiasat termasuk motif kejadian tersebut.

''Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini untuk bedah siasat,'' katanya.

Sementara itu, seorang saksi, S. Prabu, 26, yang merupakan seorang pengawal keselamatan memberitahu, dia menemui mayat lelaki itu kira-kira pukul 3 petang ini ketika sedang meronda bersama rakan sekerjanya.

"Saya terkejut apabila menemui lelaki ini terbaring dengan hanya memakai seluar dalam berwarna putih dalam keadaan mengiring dan kepala tersandar pada dinding.

"Saya juga melihat kesan lebam pada pipi kiri dan beberapa kesan percikan darah di muka dan dinding tangga tersebut," katanya.

Prabu berkata, pada mulanya, dia tidak mengesyaki mangsa telah meninggal dunia sebaliknya menyangka lelaki itu hanya pengsan.

"Namun, selepas saya memercikkan air ke mukanya, lelaki itu masih tidak sedar dan apabila saya pegang lehernya terasa sejuk, ketika itulah baru saya tahu dia sudah meninggal dunia," katanya yang kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Raja, Klang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

M3P Setiawangsa diperkasa tingkat pendidikan

Posted:

M3P Setiawangsa diperkasa tingkat pendidikan

M3P Setiawangsa diperkasa tingkat pendidikan


ZULHASNAN Rafique (duduk barisan kedua, tiga dari kiri) dan Siti Nooriah Ana Razak bersama penerima Anugerah Cemerlang UPSR, PMR dan SPM selepas menyampaikan anugerah itu di Setiawangsa, kelmarin.


KUALA LUMPUR 3 April - Peranan Majlis Permuafakatan Pembangunan Pendidikan (M3P) Parlimen Setiawangsa akan diperkasakan lagi bagi membantu meningkatkan tahap pendidikan pelajar di kawasan itu.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Datuk Seri Zulhasnan Rafique berkata, badan yang ditubuhkan pada 2004 itu disasarkan menjadi perintis utama ke arah melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang.

"Parlimen Setiawangsa bertuah kerana Sekolah Kebangsaan Setiawangsa dipilih sebagai salah sebuah sekolah berprestasi tinggi di negara ini.

"Saya yakin kesemua sekolah di Parlimen Setiawangsa berupaya mencapai status itu menerusi usaha memantapkan lagi pengurusan dan pembelajaran untuk mencapai tahap optimum," katanya .

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi Parlimen itu, di sini semalam.

Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Siti Nooriah Ana Razak yang juga Pengerusi Yayasan Amal Wangsa dan Pengerusi M3P Setiawangsa, Ruslan Madon.

Seramai 263 pelajar cemerlang UPSR, 163 (PMR), 48 (SPM) dan empat pelajar (aktiviti kokurikulum) menerima anugerah dalam bentuk sijil dan wang tunai.

Majlis itu adalah salah satu daripada acara tahunan M3P bagi menjayakan visi dan usaha mengejar kecemerlangan yang telah disusun dan dilaksanakan sejak 2004.

Zulhasnan yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Setiawangsa berkata, M3P sedia bekerjasama dengan semua sekolah di kawasan itu untuk membentuk pelan kejayaan dalam bidang akademik.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan