Rabu, 13 April 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Tarikan selebriti di Minggu Setiausaha

Posted:

Tarikan selebriti di Minggu Setiausaha

Tarikan selebriti di Minggu Setiausaha

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


PEMINAT sentiasa mengerumuni Anuar Zain setiap kali dia muncul membuat persembahan sempena Minggu Setiausaha.


SABAN tahun, apabila tibanya bulan April kebanyakan hotel mahupun penganjur acara merebut-rebut untuk mendapatkan penyanyi dan selebriti terkenal sempena Minggu Setiausaha.

Para setiausaha dan peminat pula rambang mata untuk memilih persembahan yang ingin dihadiri.

Tiket yang mencecah ratusan ringgit hanya untuk persembahan lebih kurang dua hingga tiga jam bukan satu halangan. Biasanya mereka akan memilih persembahan yang melibatkan penyanyi pujaan masing-masing.

Namun, apa istimewanya Minggu Setiausaha sehingga ia menjadi acara wajib dalam kalendar hiburan tempatan setiap tahun.

Bercakap mengenai hal ini, Kosmo! berpeluang mengupas keistimewaan Minggu Setiausaha di kaca mata penyanyi yang sentiasa menjadi buruan bila tibanya bulan April iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan Datuk Sheila Majid.

Dekat dengan peminat – Siti

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza yang buat kali ketujuh bekerjasama dengan Hotel Quality untuk persembahan Minggu Setiausaha menganggap acara tahunan ini sesuatu yang istimewa.

Menurutnya, bukan mudah untuk seseorang penyanyi mendapat kepercayaan pihak penganjur dan peminat yang membayar harga tiket ratusan ringgit hanya untuk sebuah persembahan selama dua jam.

"Minggu Setiausaha sudah menjadi acara tahunan di Malaysia dan saya bersyukur kerana masih terpilih untuk terlibat dalam acara istimewa ini.

"Menjadi pilihan penganjur juga satu tanggungjawab yang besar kerana penonton yang hadir ingin pulang dengan rasa yang berbaloi dengan wang yang dibelanjakan," ujarnya.

Tambah Siti, Minggu Setiausaha wajar diteruskan kerana ia bukan sekadar persembahan biasa sebaliknya ia mampu mendekatkan penyanyi bersama peminat serta majikan dan kakitangan mereka.

"Bukan sekadar berhibur dan makan-makan. Penghargaan setahun sekali ini juga dapat memberi kesempatan kepada peminat untuk sama-sama datang menyaksikan persembahan saya.

"Secara tidak langsung ia mendekatkan diri saya dengan peminat yang bergelar setiausaha dan majikan.

"Selain itu, persembahan ini akan menaikkan motivasi setiausaha dan pekerja untuk terus bekerja dengan lebih efisien dan produktif kerana mereka rasa diri mereka dihargai oleh majikan atau ketua," ungkapnya.

Malah, persembahan di Minggu Setiausaha menguji kemampuan diri Siti untuk beraksi di pentas konsert mini pada siang hari, berbeza dengan persembahan biasa yang selalunya diadakan pada waktu malam.

Ujar Siti, walaupun dinamakan Minggu Setiausaha, tetapi peminat yang hadir pada persembahannya bukan sahaja daripada kalangan setiausaha sebaliknya peminat biasa.

"Tidak semestinya Minggu Setiausaha hanya untuk setiausaha. Sekarang saya lihat, mereka yang bukan bergelar setiausaha juga mengambil kesempatan ini untuk menyaksikan persembahan artis pujaan. Minggu Setiausaha hari ini diraikan oleh semua orang," tuturnya.



Tahun ini, Siti menjayakan persembahan Minggu Setiausaha anjuran Hotel Quality di Dewan Utama, Pusat Konvensyen, Matrade, Kuala Lumpur pada 5 April lalu.

Umpama mini konsert – Sheila Majid

Datuk Sheila Majid, satu lagi nama yang menjadi perhatian di Minggu Setiausaha. Tidak pernah ketinggalan terlibat dalam acara tahunan ini, Sheila dilihat antara wajah yang wajib dalam kalendar Minggu Setiausaha.

Selepas berjaya dengan konsertnya di Jakarta pada Februari lalu, ratu jazz negara ini menganggap Minggu Setiausaha sebagai konsert mininya di Malaysia dek kesukarannya mendapat penaja untuk menjayakan konsert di negara sendiri.

"Persembahan di Minggu Setiausaha berbeza dengan persembahan biasa kerana penyanyi diberi kebebasan untuk mencorakkan persembahan mereka.

"Jadi, saya anggap Minggu Setiausaha umpama mini konsert saya di Malaysia, sekurang-kurang terubat rindu peminat untuk melihat persembahan saya di sini," katanya.

Jika tahun lalu, Sheila bersama dengan diva Anita Sarawak, tahun ini Sheila berkongsi pentas dengan penyanyi terkenal Indonesia, Glenn Fredly dalam persembahan Minggu Setiausaha yang diberi nama Live Bersama Sheila Majid & Glenn Fredly di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Damansara pada 7 April lalu.

"Saya bersyukur kerana setiap tahun saya masih mempunyai rezeki untuk terlibat dalam Minggu Setiausaha, seperti tahun ini saya berpeluang satu pentas dengan Glenn.

"Kebetulan saya meminati muzik yang dibawa Glenn dan tidak pernah menyanyi bersama, jadi saya amat berbesar hati," katanya mengenai acara anjuran Neo Magik Sdn. Bhd. itu.

Luah Sheila lagi, meskipun Minggu Setiausaha diadakan setiap tahun, dia perlu menampilkan kelainan dalam setiap persembahannya kerana peminat yang hadir membayar tiket yang agak mahal iaitu RM550 setiap seorang.

"Mereka yang hadir membayar harga yang tinggi, jadi persembahan yang diberi juga harus setimpal dengan harga yang mereka bayar.

"Sebagai penyanyi, tidak kiralah buat persembahan di mana sekali pun, saya pasti memberi yang terbaik demi kepuasan peminat dan diri saya sendiri," ucapnya.

Demi peminat – Anuar Zain

Bermula di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara Kuala Lumpur (6 April), Ayer Keroh, Melaka, (9 April) dan terakhir di Dewan Tanjung Puteri, Persada Johor, Johor Bharu (19 April) Anuar Zain boleh dikatakan sebagai raja Minggu Setiausaha apabila dia mengadakan tiga persembahan sepanjang bulan ini.

Pihak Kosmo! difahamkan, kesemua persembahan Minggu Setiausaha Anuar Zain mendapat sambutan yang hangat. Kosmo! yang sempat membuat liputan persembahannya di Kuala Lumpur pada 6 April lalu menyaksikan sendiri kegilaan peminatnya terutama wanita terhadap figura bernama Anuar Zain ini.


RAKAN artis tidak ketinggalan hadir memberi sokongan. Amy Search turut turun padang menyaksikan persembahan Minggu Setiausaha Sheila Majid kali ini.


Acara yang diberi nama Amazing Anuar Zain April's Affair itu berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala lumpur itu dihadiri lebih 1,000 orang tetamu sehingga meja terpaksa ditambah pada saat-saat akhir.

Seperti biasa, setiap langkah Anuar diiringi oleh peminatnya dan kerlipan flash kamera tanpa henti. Peluang bertemu Anuar secara dekat digunakan sepenuhnya oleh peminat.

Kata Anuar, saban tahun dia terlibat dengan Minggu Setiausaha disebabkan permintaan pihak penganjur dengan peminatnya.

"Alhamdulillah, rezeki untuk saya masih ada, selagi ada permintaan, selagi itu saya akan membuat persembahan di Minggu Setiausaha.

"Setiap kali tibanya persembahan di Minggu Setiausaha saya rasa teruja kerana dapat bertemu peminat.

"Persembahannya di Minggu Setiausaha juga sedikit berbeza kerana saya lebih dekat dengan peminat," katanya yang terlibat dalam persembahan Minggu Setiausaha sejak tahun 2002.

Anuar yang kini popular dengan lagu Sedetik Lebih itu menjelaskan mereka yang bergelar setiausaha wajar diraikan dalam satu perayaan sama seperti kita menyambut Hari Guru dan Hari Pahlawan kerana tugasan yang dipikul mereka bukannya mudah.

"Kerja setiausaha bukan mudah, mereka beri jiwa dan raga mereka terhadap tugasan. Malahan, tugasan mereka juga memerlukan kekuatan dalaman yang tinggi.

"Jadi, tidak salah setahun sekali mereka diraikan. Persembahan di Minggu Setiausaha juga berkonsep santai, jadi ia memang cukup sesuai untuk mereka menghilangkan stres selepas penat bekerja," balasnya.

Sambung Anuar, Minggu Setiausaha sudah menjadi kelaziman di Malaysia, ia umpama perayaan tradisi yang dinanti-nantikan oleh mereka yang bergelar setiausaha dan peminatnya.

"Sebenarnya, Minggu Setiausaha sudah disambut berpuluh-puluh tahun, cuma sejak kebelakangan ini ia semakin popular apabila perayaan ini dikomersialkan," tuturnya.

Populariti dan aura Anuar Zain terlalu kuat, justeru tidak hairanlah untuk persembahan sempena Minggu Setiusaha di Kuala Lumpur, tiket berharga RM550 semuanya habis dijual hanya dalam tempoh dua minggu sejak diumumkan walaupun tanpa sebarang publisiti meluas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan