Utusan Online - Muka Hadapan |
- Raja Petra nafi tuduh Najib, Rosmah
- BN yakin kekalkan Sarawak - PM
- Najib tempelak pihak pertikai kehadirannya di Sarawak
Raja Petra nafi tuduh Najib, Rosmah Posted: Raja Petra nafi tuduh Najib, Rosmah
KUALA LUMPUR 13 April – Pengendali laman web antikerajaan, Raja Petra Kamaruddin yang menghilangkan diri sejak sekian lama, malam ini muncul dengan pengakuan bahawa beliau tidak pernah menuduh Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor terlibat dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu. Sebaliknya Raja Petra menegaskan, beliau berbuat demikian kerana didesak dan dipengaruhi oleh beberapa individu yang tidak mahu melihat Najib menerajui kepimpinan negara sebagai Perdana Menteri apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan. Dalam temu bual eksklusif dengan Pengarang Kumpulan TV3, Datuk Ashraf Abdullah di Perth, Australia baru-baru ini, Raja Petra turut memberitahu Akuan Bersumpah (SD) yang beliau buat pada 18 Jun 2008 hanyalah bersandarkan maklumat yang diperolehi daripada beberapa individu. Raja Petra berkata, individu-individu itu mempunyai kaitan dengan beberapa tokoh politik termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Mereka termasuk seorang yang bernama Nik Azmi Nik Daud, John Pang dan penulis blog, Din Merican. "Seorang pegawai perisik yang dikenali sebagai Kolonel Azmi Zainal Abidin juga memberi maklumat yang sama," katanya dalam temu bual itu yang disiarkan oleh Buletin Utama malam ini. Menurut Raja Petra, ramai orang termasuk polis membuat tuduhan tanpa meneliti akuan bersumpah itu. Katanya, beliau menerima maklumat daripada individu-individu itu kononnya isteri Perdana Menteri berada di tempat kejadian semasa Altantuya dibunuh. "Dalam SD saya, saya bercerita bahawa orang ini telah beritahu dan biarlah orang ini yang datang dan bercerita. "Pihak berkuasa perlu siasat dan panggil mereka ini. Itu yang saya tulis dalam SD. Saya sendiri tidak timbulkan apa-apa tuduhan. Saya tidak kata yang saya tahu isteri Timbalan Perdana Menteri (ketika itu) ada di tempat kejadian. "Saya tidak cakap, saya tidak buat tuduhan seperti itu. Yang saya kata ada orang yang bercerita tetapi bergantung kepada pihak berkuasalah untuk menyiasat perkara ini dengan lebih lanjut lagi. Saya sebut nama-nama mereka semasa siasatan polis," tegasnya. Dalam siri pertama temu bual dua bahagian itu, Raja Petra berkata, pada permulaannya beliau tidak dapat menerima kebenaran cerita itu. Ini kerana katanya, adalah sesuatu yang mustahil isteri Perdana Menteri boleh pergi ke tempat kejadian yang merupakan kawasan hutan dan terpaksa memanjat bukit pada waktu tengah malam iaitu kira-kira pukul 12 tengah malam. Bagaimanapun, kata Raja Petra, dalam pertemuannya dengan Nik Azmi, beliau telah bertanya kenapa beliau didesak untuk membuat akuan bersumpah itu. "Nik Azmi memberi jawapan, what do you hope to achieve? Kalau kita tak blok (sekat) Najib, Najib akan menjadi Perdana Menteri ganti Pak Lah," dakwa Raja Petra. Pengendali laman web Malaysia Today itu kemudian meminta Din Merican untuk mendapatkan pengesahan daripada Anwar. Raja Petra mendakwa, Din Merican kemudian menghubunginya semula dan memberitahu beliau (Din Merican) sudah bercakap dengan Anwar yang kemudian memberikan lampu hijau. "Dia kata okey. Orang ini no problem, apa dia cakap kita boleh percaya. Anwar pun kenal baik dengan dia ini dan dia pun biasa jumpa Anwar, leftenan kolonel ini. "Dan dia pun banyak bercerita kepada Anwar tentang isu ini, dia kata teruskan, saya pun teruskan," katanya lagi. Menurutnya, kesemua individu yang disebut nama itu berjanji akan menjadi saksi sekiranya beliau didakwa di mahkamah. Raja Petra, 60, menghilangkan diri selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei 2009 bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah Rosmah. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
BN yakin kekalkan Sarawak - PM Posted: BN yakin kekalkan Sarawak - PMOleh SAIFUL HAIZAN HASAM
SAMARAHAN 13 April - Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan kuasanya di negeri ini walaupun terpaksa mengharungi proses pilihan raya yang paling mencabar dalam sejarah politik Sarawak. Perdana Menteri berkata, kemenangan dengan majoriti dua per tiga adalah satu bonus dan ia merupakan sasaran yang mampu dicapai parti itu melalui kerjasama erat di antara parti komponen dari Semenanjung dan negeri ini. Katanya, BN juga mempunyai sasaran penambahan kerusi namun ia tidak perlu diumumkan kerana perkara itu bersifat dalaman. "Saya pun tahu di mana kekuatan kita, di mana kita hadapi tentangan hebat. "Tetapi nampaknya kalau tidak ada apa-apa perkara luar biasa berlaku, insya-Allah kita boleh kekal memerintah, menubuhkan kerajaan di Sarawak, (manakala) majoriti dua per tiga itu mampu diperolehi BN," katanya. Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Sadong Jaya yang turut dihadiri Ahli Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sadong Jaya, Ir. Aidel Lariwoo di sini hari ini. Dalam pada itu, Perdana Menteri mengakui DUN yang berada dalam kawasan bandar merupakan ujian berat buat BN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10. Justeru katanya, jentera BN perlu bekerja dengan lebih kuat kerana ia membabitkan kawasan di mana parti itu mengalami kekalahan pada pilihan raya negeri yang lalu. "Kita ada calon berwibawa, kalau mereka (pengundi bandar) lihat kewibawaan calon dan apa yang boleh BN lakukan, saya percaya mereka boleh pilih BN. "Kalau sebaliknya mereka nak tunjuk protes atas apa-apa sebab, itu tak ada arahlah kita," katanya. Mengulas lanjut, Najib berharap pengundi di kawasan bandar memberi kepercayaan kepada BN kerana parti itu boleh menjamin dan memberi pengharapan masa depan berdasarkan program transformasi membabitkan perubahan besar kepada landskap negara yang telah dimulakan. Katanya, untuk mencapai matlamat itu, BN memerlukan sokongan yang bersifat menyeluruh dari segenap lapisan masyarakat. "Lagipun kita telah memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan kita anggap ini sebagai falsafah yang mana semua kaum dalam negara akan mendapat pertimbangan yang adil dan saksama," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Najib tempelak pihak pertikai kehadirannya di Sarawak Posted: Najib tempelak pihak pertikai kehadirannya di SarawakSAMARAHAN 13 April - Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pembangkang yang memperbesarkan kehadirannya ke negeri ini kerana pemimpin mereka seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan anaknya, Lim Guan Eng turut berkampung bersama 'bala tentera' untuk berkempen. Justeru kata Perdana Menteri, kekerapannya berada di negeri ini bukannya satu isu kerana beliau ialah Perdana Menteri untuk semua rakyat di negara ini. "Guan Eng tinggalkan tugas sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk berkempen di sini, jadi apa salahnya kami di sini. "Saya ada tanggungjawab sebagai Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia, apa salahnya saya datang ke Sarawak, memang tanggungjawab saya untuk melihat Sarawak membangun dan masalah yang berbangkit ditangani," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat di Sadong Jaya di sini hari ini. Sementara itu sewaktu berucap pada majlis berkenaan, Perdana Menteri menjelaskan kehadirannya ke negeri ini bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menteri Kabinet lain adalah berpaksikan prinsip bahawa maju mundur Sarawak merupakan tanggungjawab Kerajaan Pusat dan negeri. Katanya, jika Kerajaan Pusat dan negeri mempunyai persefahaman yang jitu, pastinya negeri ini lebih maju dan rakyatnya pula hidup dalam kemakmuran. "Inilah sebabnya sudah berpuluh tempat saya pergi, ada tempat nak sebut nama pun susah, ada tempat yang saya terpaksa naik sampan hingga hampir terjungkit, ada tempat helikopter saya naiki terpaksa mendarat atas jalan raya. "Belum pernah di Semenanjung helikopter (saya) mendarat tengah jalan, tapi di Sarawak kita buat apa saja yang perlu agar rakyat terus maju dan terbela," katanya. Katanya, perkara berkenaan menjadi ukuran betapa pentingnya pilihan raya negeri ini bagi menentukan siapakah yang boleh membawa perubahan dan membela untung nasib rakyat yang sebenarnya hanya boleh dilakukan oleh BN. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan