Jumaat, 8 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Acu pistol tiruan

Posted: 07 Apr 2011 10:44 AM PDT

SHAH ALAM: Seorang lelaki terpaksa berputih mata selepas ditahan polis ketika melarikan sebuah kereta milik seorang lelaki berbangsa Cina yang baru disamunnya, kelmarin.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 9 malam itu, mangsa yang berada dalam kereta di hadapan rumahnya di Kota Kemuning di sini didatangi suspek yang mengetuk cermin tingkap keretanya.


Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, sejurus mangsa membuka tingkap, suspek berusia 30 tahun mengacukan pistol tiruan ke arahnya.

Menurutnya, mangsa akur dengan arahan suspek yang mengarahkannya menyerahkan Honda Accord berkenaan sebelum suspek memecut melarikan diri.

"Mangsa terus melaporkan kejadian di Pondok Polis Kota Kemuning dan kami menahan suspek yang ketika itu sedang memasuki Plaza Tol Sri Muda, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) kurang 20 minit selepas kejadian.


"Hasil siasatan mendapati suspek berasal dari Taman Selayang Utama, Batu Caves dekat sini dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengetahui ke mana suspek mahu membawa kenderaan ini kerana sesetengah penjenayah diupah untuk melakukan kegiatan itu," katanya pada Majlis Pemberian Sijil Penghargaan Kepada Anggota di Balai Polis Seksyen 15 di sini.


Seramai tiga anggota dari Pondok Polis Kota Kemuning diberi sijil penghargaan kerana bertindak pantas menyelesaikan kes samun itu ialah Konstabel Mohd Lan Basah, Lans Koperal Saifuaad Salman dan Lans Koperal Zygmantovich anak Kluni.

Antara barang lain yang ditemui bersama suspek ialah sepucuk pistol tiruan mirip Victor, pemutar skru dan telefon bimbit.


Suspek direman sehingga 13 April ini dan kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tun Hisan berkata, polis Selangor akan terus memberi tumpuan kepada kecurian kenderaan di negeri itu yang dilaporkan semakin meningkat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

3 kaki gaduh dicekup

Posted: 07 Apr 2011 10:40 AM PDT

KUALA LUMPUR: Penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun bersama sepucuk pistol jenis Baretta dan sebilah parang di sebuah taman perumahan di Setapak, di sini, kelmarin, membuahkan hasil apabila dua lagi rakan subahatnya ditahan tidak lama kemudian.

Dua lagi rakannya masing-masing berusia lewat 20-an ditahan di Serdang dan kumpulan itu dipercayai terbabit dalam beberapa kes pergaduhan di sekitar Lembah Klang.


Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, polis menerima aduan daripada orang awam mengatakan akan berlaku satu pergaduhan membabitkan dua kumpulan di kawasan perumahan berkenaan.

Menurut sumber polis, beberapa anggota kemudian dihantar ke lokasi kejadian bagi memantau keadaan sebelum melakukan pemeriksaan terhadap individu yang mencurigakan di kawasan berkenaan.


"Bagaimanapun, seorang lelaki yang memandu sebuah kereta jenis Wira Aeroback masuk ke kawasan berkenaan. Suspek yang menyedari kehadiran polis terpaksa berlagak tenang dan masuk ke kawasan berkenaan seperti tiada apa yang berlaku.


"Biarpun cuba berlagak tenang, anggota polis yang curiga dengan kehadiran suspek menahannya sebelum melakukan pemeriksaan ke atas badan dan keretanya.

"Anggota polis kemudian menemui sepucuk pistol bersama 10 peluru hidup dan sebilah parang disembunyi bawah kerusi penumpang dalam keretanya," katanya.


Sumber itu berkata, suspek kemudian ditahan dan dibawa ke Balai Polis Setapak, di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Difahamkan, pemeriksaan lanjut, polis mendapati kereta dipandu suspek adalah kereta curi dan menggunakan nombor pendaftaran palsu.


Katanya, hasil soal siasat, dua lagi rakan suspek berjaya ditahan di Serdang.


Semua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan.


Sementara itu, Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi, mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek dan memberitahu siasatan lanjut sedang dilakukan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan