Rabu, 6 April 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Projek integrasi tiga stesen LRT, monorel siap hujung April

Posted: 05 Apr 2011 11:12 AM PDT

KUALA LUMPUR: Kira-kira 60,000 pengguna transit aliran ringan (LRT) dan monorel membabitkan stesen Titiwangsa, Masjid Jamek dan KL Sentral bakal menikmati kemudahan lebih selesa apabila projek integrasi membabitkan stesen berkenaan dijangka siap antara penghujung bulan ini hingga Julai tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha, mengakui berpuas hati dengan perkembangan projek berkenaan dan yakin konsep integrasi tertutup sepenuhnya dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada pengguna pengangkutan awam.


"Pembinaan projek integrasi bagi stesen LRT dan monorel Titiwangsa yang membabitkan kos RM4.6 juta itu dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan ini, manakala stesen Masjid Jamek pula dijadualkan selesai penghujung Mei depan.

"Pada awalnya, stesen yang menelan belanja RM8 juta itu (Masjid Jamek) dijadualkan siap Februari lalu, namun terdapat beberapa masalah teknikal termasuk kerja tanah, perubahan asas tapak dan pengalihan bekalan utiliti, sekali gus menjadikannya lewat berbanding tempoh ditetapkan," katanya dalam sidang media selepas sesi lawatan kerja Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi pengangkutan awam bandar di ketiga-tiga stesen terbabit, di sini, semalam.


Menurutnya, projek integrasi bagi KL Sentral membabitkan dua fasa iaitu laluan pejalan kaki sementara sepanjang 410 meter yang siap Ogos tahun lalu dan jejambat pejalan kaki merentasi Jalan Tun Sambanthan ke Kompleks Nu Sentral dijangka siap penghujung Julai tahun depan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

40 kepung imigresen

Posted: 05 Apr 2011 11:03 AM PDT

KUALA LUMPUR: Enam kakitangan Jabatan Imigresen berdepan situasi cemas apabila dikurung dan dikepung hampir 40 lelaki dipercayai warga Bangladesh dan Myanmar yang tidak berpuas hati selepas markas mereka mendapatkan dokumen palsu di sebuah rumah pangsa di Bukit Bintang, di sini, diserbu kelmarin.

Detik cemas itu bermula apabila seorang daripada ahli kumpulan samseng terbabit mengunci jeriji rumah berkenaan sebelum mereka beramai-ramai mengepung rumah itu.


Lebih mengejutkan, kumpulan yang bersenjatakan parang, kayu dan topi keledar itu cuba mengancam semua kakitangan berkenaan supaya tidak menahan ketua mereka dalam rumah itu.

Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur, Mohamed Yusof Khan Mohd Hassan, berkata usaha memujuk kumpulan terbabit membuka kunci menemui jalan buntu apabila mereka berterusan mengancam untuk mencederakan pegawai dan anggotanya.


"Bagaimanapun, seorang anggota melihat sebuah kereta peronda polis melalui kawasan itu sebelum melambaikan tangan dari tingkap rumah dan menjerit meminta bantuan.


"Kumpulan terbabit yang menyedari tindakan anggota itu bertempiaran melarikan diri bagi mengelak dicekup polis," katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, semuanya bermula apabila pihaknya mendapat maklumat awam berhubung kegiatan itu sebelum intipan dilakukan hampir dua jam.


Sebaik mengesahkan wujud kegiatan itu, pihaknya menyerbu rumah itu kira-kira jam 7 malam dan menahan seorang lelaki warga Bangladesh yang berada di dalamnya.

"Akibat serbuan dan penahanan itu, seorang lelaki dipercayai adik suspek mengunci pintu sebelum kumpulan terbabit mengepung rumah sambil memegang senjata," katanya.


Namun, dengan bantuan polis semua mereka membebaskan diri. Pada masa sama, 12 lagi pegawai serta anggota imigresen yang menerima maklumat kejadian itu bergegas ke tempat kejadian.


Dalam serbuan itu, sebuah set komputer yang dipercayai digunakan untuk memalsukan dokumen dirampas manakala seorang lelaki dipercayai ketua sindiket terbabit yang juga warga Bangladesh ditahan.


Mohamed Yusof berkata, hasil pemeriksaan turut menemui sembilan pasport warga Bangladesh, perisian komputer yang mengandungi surat pelajar, sijil pengajian, ijazah dan beberapa dokumen lain berkaitan pelajar.


"Kami percaya semua dokumen itu palsu dan sindiket terbabit dipercayai mengeluarkan semua dokumen berkenaan atas permintaan.


"Selain itu, kami menemui cop kedutaan Bangladesh yang turut dipalsukan. Hasil siasatan kami dapati semua dokumen itu hampir sama dengan dokumen asli," katanya.


Malah, mereka turut memalsukan surat nikah dan sijil nikah palsu dengan logo Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).


Menurutnya, lelaki berusia awal 30-an itu kini ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Seksyen 56(1)(l) dan Seksyen 12(1)(c) akta sama.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan