Selasa, 5 April 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


'Perang' PKR, SNAP

Posted: 04 Apr 2011 12:27 PM PDT

MukaDepan

Kemelut agihan kerusi punca calon bertembung di 25 kawasan DUN

KUCHING: 'Perang' antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) bermula semalam apabila PKR mengumumkan senarai 48 calonnya, menyebabkan berlaku pertindihan di 25 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) antara kedua-dua parti itu.

Kegagalan dua parti itu menyelesaikan pengagihan kerusi, dijangka menyebabkan pembangkang bertembung sesama sendiri, sekali gus gagal memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) seperti dirancang sebelum ini. Ini bermakna, 25 kerusi terbabit bakal menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya tiga penjuru antara BN, PKR dan SNAP, tetapi belum mengambil kira kemungkinan penyertaan calon Bebas dan Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB).

Daripada 25 kerusi itu pula, sekurang-kurangnya enam kerusi DUN dijangka menyaksikan pertandingan empat penjuru kerana PERSB, sebuah parti baru yang masih belum mendapat kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) akan bertanding atas tiket Bebas. Kerusi berkenaan ialah DUN Lingga, Meluan, Belaga, Jepak, Kakus dan Balai Ringin.

Antara 25 kerusi bertindih yang dijangka ditandingi PKR dan SNAP pula ialah Meluan, Kakus, Katibas, Baleh, Belaga, Telang Usan dan Batu Danau, yang kebanyakannya terletak di bahagian tengah dan utara negeri ini dengan sebahagian besar pengundinya kaum Dayak.

Bagaimanapun, 15 kerusi ditandingi DAP, kebanyakannya kawasan bandar dan lima kerusi PAS di kawasan Melayu/Melanau di luar bandar, tidak bertembung dengan PKR dan SNAP kerana dua parti itu bertumpu di kawasan majoriti pengundi Iban di luar bandar.
Penamaan calon bagi pilihan raya negeri ke-10 diadakan lusa, manakala pengundian pada 16 April. BN sudah mengumumkan senarai 70 daripada 71 kerusi DUN untuk ditandinginya kelmarin.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, ketika mengumumkan senarai calon PKR di sini semalam, berkata pertindihan tidak dapat dielakkan berikutan keengganan SNAP meneruskan perbincangan.

Bagaimanapun, sidang media selepas majlis penyerahan watikah calon PKR yang diadakan jam 12 tengah hari di sebuah hotel di sini, kecoh sedikit apabila petugas media dari Berita Harian, Utusan Malaysia, TV3 dan BERNAMA dihalang daripada membuat liputan atas arahan PKR Pusat.

Sementara itu, Setiausaha Agung SNAP, Stanley Jugol ketika diminta mengulas, berkata rakyat Sarawak kini mengetahui dan menyedari bahawa PKR tidak menghormati semangat setiakawan dalam pakatan pembangkang.

Namun, katanya, SNAP tidak gentar dengan tindakan PKR, sebaliknya sudah bersedia memberi cabaran kepada PKR dan BN di semua 27 kerusi yang akan ditandingi partinya.

"SNAP wujud di Sarawak sejak 1961, tetapi PKR adalah parti baru di Sarawak. Kami amat kecewa dengan mereka... kita akan tetap lawan PKR," katanya.

Di SIBU, Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kemelut itu tidak dapat dielakkan kerana beberapa siri rundingan menemui jalan buntu hingga akhirnya masing-masing membawa haluan sendiri.

"Dalam perbincangan asal dulu, SNAP bersetuju bertanding di enam kerusi. Namun, apabila tarikh pilihan raya diumumkan, mereka minta jumlah ditambah kepada 27 kerusi. Sebenarnya, perkara sebegini boleh dielakkan... kita masih boleh bertolak ansur.

"Bagaimanapun, apabila sudah sampai ke tahap yang bertentangan dengan dasar dan agenda parti (Pakatan Rakyat), kita tidak dapat memenuhi permintaan mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pengumuman 22 calon parti itu yang akan bertanding bagi zon tengah dan utara, oleh Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian.

Antara calon ialah seorang peniaga, Suriati Abdullah, 50, untuk mencabar Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di DUN Balingian dan Japar Suyut, 50, menentang Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, di Bukit Sari.

PKR turut meletakkan calon menentang seorang lagi pemimpin kanan BN, Menteri, Datuk Amar Abang Johari Openg di Satok melalui Ketua Angkatan Muda PKR Sarawak, Ahmad Nazib Johari.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan