Utusan Online - Dalam Negeri |
- PM ajak rakyat imarahkan Ramadan
- Umat Islam perlu bersyukur - TPM
- Kerajaan sedia kaji buang undi di luar negara mengundi
PM ajak rakyat imarahkan Ramadan Posted: PM ajak rakyat imarahkan RamadanKUALA LUMPUR 31 Julai - Ramadan adalah peluang terbaik untuk memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia melalui keunikan yang terdapat di negara ini kerana mempunyai pelbagai kaum dan agama. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedatangan Ramadan bukan sahaja harus dirai dan disambut oleh umat Islam sahaja, malah perlu dirasai oleh semua rakyat tanpa mengira agama yang dianuti. "Ramadan ini adalah peluang terbaik untuk kita merukuni perpaduan ummah melalui kepelbagaian kaum dan agama demi 1bangsa Malaysia yang kuat dan bersatu padu. Justeru peluang pembaikan diri dan hati ini wajar direbut oleh setiap individu," katanya dalam perutusan sempena Ramadan yang disiarkan oleh UMNO-online. Najib berkata, ibadah puasa di bulan Ramadan adalah wajib kepada umat Islam yang berkelayakan tanpa mengira jantina dan umur asalkan memenuhi syarat serta rukun ibadah berkenaan seperti yang ditetapkan oleh syarak. "Ibadah puasa ini wajib djalani oleh setiap individu berkelayakan, selain membersihkan diri, puasa juga adalah terapi memelihara kesihatan diri," katanya. Beliau menyeru kepada semua rakyat di negara ini bersama-sama meraikan serta mengimarahkan Ramadan bersama-sama rakan dari pelbagai kaum melalui kerukunan muhibbah beriltizamkan perpaduan 1Malaysia 1Ummah. |
Umat Islam perlu bersyukur - TPM Posted: Umat Islam perlu bersyukur - TPMKUALA LUMPUR 31 Julai - Umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur dengan kemakmuran yang dikecapi negara selama ini sehingga mereka dapat mengerjakan ibadat termasuk berpuasa di bulan Ramadan tanpa sebarang halangan. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, untuk itu sewajarnya kemakmuran itu dikekalkan kerana keistimewaan tersebut menjadikan Malaysia sebuah negara yang sentiasa dipandang tinggi di peringkat antarabangsa. "Kita bertuah kerana hidup di dalam negara yang aman makmur dengan sikap toleransi serta memahami kehendak agama yang berbeza di kalangan penduduk yang terdiri daripada pelbagai kaum dan kepercayaan. "Kita bebas menjalankan keperluan agama masing-masing tanpa ada kegusaran dan ketakutan terhadap sebarang aktiviti ekstremis agama. "Oleh itu, saya ingin mengingatkan bahawa umat Islam di Malaysia seharusnya bersyukur kerana boleh mengerjakan ibadat puasa tanpa sebarang halangan,'' katanya dalam perutusan sempena Ramadan di sini, hari ini. Muhyiddin berkata, sempena Ramadan kali ini, umat Islam seharusnya memenuhi bulan mulia ini dengan pelbagai aktiviti yang dituntut iaitu memperbanyakkan bacaan al-Quran, bertadarus, berselawat, bersedekah, qiamullail serta iktikaf di masjid. |
Kerajaan sedia kaji buang undi di luar negara mengundi Posted: Kerajaan sedia kaji buang undi di luar negara mengundiKUALA LUMPUR 31 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan bersedia mengkaji bagi membolehkan rakyat di luar negara mengundi pada pilihan raya. Perdana Menteri berkata, pada masa ini tidak ada peruntukan di bawah Perlembagaan atau undang-undang sedia ada yang membenarkan rakyat di luar negara menjalankan tanggungjawab mereka. ''Saya akan lihat perkara ini sama ada ia praktikal atau sebaliknya memandangkan kita perlu mengubah perlembagaan dan undang-undang kerana tidak ada peruntukan seperti itu ketika ini. ''Perkara ini juga perlu dibincangkan dengan pihak pembangkang kerana kita tidak ada majoriti 2/3 buat masa ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab beberapa soalan daripada pelajar semasa Persidangan Tahunan Pimpinan Mahasiswa Malaysia 2011, di sini hari ini. Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan juga komited ke arah menerajui perubahan sistem pilihan raya negara. Katanya, sebagai contoh dalam isu pengundi hantu yang menjadi kebimbangan rakyat, ia boleh diselesaikan melalui penggunaan sistem biometrik yang kini sedang diusahakan oleh kerajaan. ''Kita perlu tunjukkan dan memberitahu kepada rakyat bahawa kita ada sistem yang menunjukkan integriti sistem pilihan raya itu (biometrik)," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan