Ahad, 28 Ogos 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


ExxonMobil tetap pilih SMC

Posted: 28 Aug 2011 02:47 PM PDT

Nasional

Penjualan 65 peratus pegangan kepada firma di Filipina muktamad

KUALA LUMPUR: Penjualan 65 peratus pegangan ExxonMobil International Holdings Inc (ExxonMobil) dalam Esso Malaysia Berhad (EMB) kepada San Miguel Corporation (SMC) yang berpangkalan di Filipina, sudah dimuktamadkan.

Naib Presiden Exxon Mobil Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Stafford T Kelly, berkata ExxonMobil serta SMC sudah memeterai Perjanjian Jual Beli (SPA), dan permohonan mendapatkan kelulusan untuk transaksi berkenaan akan dikemukakan kepada kerajaan dalam waktu terdekat. Beliau berkata, tawaran SMC paling menarik meliputi harga pembelian tertinggi berjumlah AS$610 juta (RM1.82 bilion) untuk pakej membeli perniagaan penapisan, bekalan serta pemasaran bahan api secara keseluruhan, iaitu syarikat operasi EMB, ExxonMobil Malaysia Sdn Bhd (EMMSB) dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd (EMBSB), terma dan syarat kontrak lebih baik, dan akan mengekalkan semua kakitangan sedia ada selain merancang mengambil lebih ramai pekerja baru.

"Hanya SMC mengemukakan rancangan melabur dan mengendalikan Loji Penapisan Port Dickson untuk jangka panjang, berbanding rancangan pihak lain untuk menutupnya apabila peraturan bahan bakar bersih yang baru dikuatkuasakan," katanya pada sidang media menerusi telefon dari Amerika Syarikat di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Lembaga Tabung Amanah Tentera (LTAT) masih berminat mengambil alih 65 peratus ekuiti dalam EMB dan dikatakan akan membuat tawarannya kepada ExxonMobil dalam waktu terdekat dengan harga sekitar RM5.20 sesaham atau nilai keseluruhan hampir RM1 bilion.

Sambil menjelaskan tiada menerima tawaran RM5.20 sesaham daripada LTAT, Kelly berkata, ExxonMobil melakukan proses secara terbuka serta adil, dan sudah memaklumkan kepada semua pihak berminat bahawa hanya tawaran bagi pakej keseluruhan (EMB, EMMSB dan EMBSB) akan dilayan.
Dalam konteks ini, beliau berkata, sebanyak 20 syarikat berminat terpilih, termasuk tujuh syarikat tempatan, termasuk LTAT, tetapi peringkat mengemukakan tawaran terakhir hanya membabitkan SMC dan dua lagi syarikat tempatan, namun maklumat lanjut tidak boleh diberikan kerana adalah sulit.

"Pihak kami sudah bercakap dengan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan (Datuk Seri Najib Razak), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Datuk Seri Mustapa Mohamed) serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Setakat ini, perbincangan dan maklum balas diterima adalah sangat baik," katanya sambil menafikan keputusan dibuat ada dipengaruhi oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu pada sesi sidang media menerusi telefon seterusnya dengan Ahli Lembaga SMC, Eric Recto, pula berkata pihaknya amat gembira untuk meneroka peluang pelaburan yang lebih luas di Malaysia dan bersedia untuk menghadapi persaingan sihat dalam industri bahan api di negara ini.


25 pelajar Malaysia dipindah

Posted: 28 Aug 2011 02:40 PM PDT

Nasional

BOYA   yang diletakkan di jeti  Ocean City tumbang  selepas dilanda Taufan Irene, semalam.

BOYA yang diletakkan di jeti Ocean City tumbang selepas dilanda Taufan Irene, semalam.

Keluarga tak perlu bimbang anak berada dalam selamat ketika Taufan Irene

KUALA LUMPUR: Seramai 25 pelajar Malaysia yang menuntut di Stevens Institute of Technology, di bandar Hoboken, New Jersey sudah dipindahkan ke kawasan selamat bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini susulan Taufan Irene yang melan-da New York sejak petang kelmarin.

Sehubungan itu, keluarga kesemua pelajar berkenaan diminta tidak bimbang dengan kejadian yang berlaku di sana kerana keadaannya masih terkawal. Pelajar jurusan kejuruteraan mekanikal, Ammar Sirry Yashaa, 25 berkata sebagai langkah berjaga-jaga, pihak universiti mengarahkan mereka berpindah ke kawasan Castle Point, satu kawasan di dalam kampus yang lebih selamat kerana kedudukannya paling tinggi di bandar Hoboken.

Katanya, keadaan di kampus berkenaan masih lagi stabil, namun pihak berkuasa di sana sudah mengeluarkan arahan kepada penduduk tempatan yang tinggal di kawasan lebih rendah supaya mengosongkan kediaman masing-masing buat sementara waktu.

"Kami akan ditempatkan di sini sehingga taufan reda dan setakat ini, keadaan masih terkawal dan bekalan makanan masih mencukupi. Bekalan air dan elektrik juga masih berfungsi seperti biasa.

"Bagaimanapun, kami masih perlu menunggu sehingga taufan berakhir dan melihat kesannya. Sekiranya banjir berlaku, kami perlu tinggal di sini sehingga banjir surut," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Ammar yang sedang mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) berkata, besar kemungkinan juga mereka akan menyambut Aidilfitri di kawasan pemindahan berkenaan, sekiranya keadaan masih tidak pulih.

Bagi pelajar tahun ketiga ijazah kejuruteraan mekanikal, Fauzan Afandi, 21, berkata sambutan Aidilfitri mungkin diteruskan seperti biasa kerana taufan dijangka berakhir petang ini (semalam).

"Hari raya dijangka jatuh pada Rabu dan kebiasaannya kami akan bersama-sama warga negara yang lain menyambut Aidilfitri di konsulat Malaysia di New York.

"Bagaimanapun, sekiranya keadaan di New York belum pulih, kami hanya akan menyambut Aidilfitri dengan suasana yang sederhana di kampus," katanya yang berasal dari Kangar, Perlis.

Sementara itu, Penasihat Kedutaan dan Ketua Canseri bagi Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB, Loh Teck Siong, berkata beliau bersama isteri dan anak lelaki berusia 13 tahun juga sudah berpindah ke 10 Waterside Plaza di 23rd Street di Manhattan yang menghadap East River iaitu Zon A untuk perpindahan.

Katanya, pusat Taufan Irene dijangka tiba di New York antara 3 pagi dan 7 pagi waktu tempatan (3 petang dan 7 malam waktu Malaysia) ini (semalam).

"Ada lebih 1,000 rakyat Malaysia yang tinggal di New York dan bandar raya itu kini sunyi sepi apabila semua penduduk berada di dalam rumah demi keselamatan diri, manakala semua kedai dan pengangkutan awam termasuk lapangan terbang ditutup," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan