Selasa, 30 Ogos 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Penjenayah ganas makan tak bayar

Posted: 29 Aug 2011 09:57 AM PDT

KUALA LUMPUR: Empat lelaki berusia 30-an yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi, samun, rogol dan pengedaran dadah sejak awal tahun ini ditahan polis di Jalan Maarof, di sini.

Tangkapan dilakukan pada jam kira-kira 11.30 malam, Jumaat lalu, selepas polis menerima aduan seorang pelayan restoran berusia 26 tahun yang diancam dengan pisau oleh seorang daripada suspek, sejam sebelum itu.


Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata sebelum itu pengadu mengejar dua daripada suspek yang makan di restoran berkenaan selepas mereka meninggalkan pelayan premis itu tanpa membuat bayaran.

Bagaimanapun, ketika dihampiri, seorang daripada suspek mengeluarkan pisau sambil mengugut pengadu sebelum menyerahkan telefon bimbit kepadanya.


"Selepas mendapat aduan, polis membuat rondaan di sekitar Jalan Maarof di sini dan menangkap semua suspek.


"Pemeriksaan polis mendapati tiga suspek berasal dari Kangar, Perlis, serta seorang lagi beralamat di Ampang. Masing-masing mempunyai rekod jenayah bersabit pelbagai kesalahan termasuk curi, rogol dan dadah," katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Selain itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati semua mereka positif dadah dan akan direman sehingga hari ini.


Menurut Wan Abdul Bari, berikutan tangkapan itu, polis juga menemui sebuah Proton Waja, peralatan menghisap dadah, satu set kunci kereta serta sepucuk pistol tiruan.

Katanya, semua suspek dipercayai terbabit 15 kes jenayah di Brickfields sejak awal tahun ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.


Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Nigeria berusia 29 tahun yang menetap di negara ini sejak empat bulan lalu, ditahan selepas polis menemui dadah jenis kanabis seberat 8355 gram bernilai kira-kira RM15,000 di sebuah kondominium di Sri Petaling, di sini, Sabtu lalu.


Wan Abdul Bari berkata, polis yang mendapat maklumat orang ramai membuat serbuan pada jam kira-kira 12.15 tengah malam ke rumah suspek sebelum menemui dadah berkenaan dalam satu bagasi dan sebuah beg.


"Suspek yang mempunyai dokumen sah untuk masuk ke negara ini kini direman sehingga 2 September," katanya.

Pertahan diri guna lemang

Posted: 29 Aug 2011 09:54 AM PDT

KUALA LUMPUR: Seorang ahli jawatankuasa penduduk kampung di Hulu Klang terpaksa mempertahankan dirinya dengan sebatang lemang bagi mengelakkan terus dibelasah dua lelaki yang naik angin kerana ditegur mendirikan pondok tanpa kebenaran, kelmarin.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa berusia 52 tahun terbabit bersama seorang rakannya mengadakan rondaan di kampung mereka dan mengesan sebuah pondok haram didirikan berdekatan kawasan surau.


Sumber berkata, mangsa menegur seorang lelaki yang dipercayai membina rangka pondok itu dengan memberitahu pembinaan pondok itu menyalahi undang-undang dan mengganggu penduduk kampung.

"Akibatnya, lelaki berkenaan tidak berpuas hati dengan mangsa dan mula maki hamun selain mendakwa kawasan berkenaan tanah kerajaan dan sesiapapun berhak ke atas tanah berkenaan.


"Perselisihan faham itu berlanjutan sehingga suspek menyerang mangsa dengan sebatang kayu," katanya.


Beliau berkata, rakan mangsa yang ketakutan melarikan diri untuk meminta pertolongan penduduk kampung dan mangsa sempat menyambar sebatang lemang yang diletakkan atas para untuk dibakar bagi mempertahankan dirinya.

Menurutnya, suspek melarikan diri selepas mangsa yang cedera di tulang rusuk dan pengsan di tempat kejadian.


Mangsa dibawa ke klinik berdekatan oleh penduduk kampung sebelum membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan