Utusan Online - Kota |
Kerajaan kaji hapus tol Batu 11 Posted: Kerajaan kaji hapus tol Batu 11Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB Plaza Tol Batu 11 , Lebuhraya Cheras-Kajang, Kajang yang mengenakan bayaran RM1 diminta dihapuskan oleh UMNO Bahagian Hulu Langat. KAJANG 28 Ogos – Permintaan penduduk Kajang agar kutipan tol di Plaza Tol Batu 11, Lebuhraya Cheras-Kajang dihapuskan sedang dikaji oleh kerajaan. Ketua UMNO Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abd. Aziz ketika memaklumkan perkara itu berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa Perdana Menteri telah memanggil Kementerian Kerja Raya untuk mengkaji penutupan salah satu daripada dua plaza tol yang terdapat di lebuh raya tersebut. Katanya, beliau juga difahamkan bahawa Lembaga Lebuh raya Malaysia (LLM) dan syarikat Grand Saga Sdn. Bhd. selaku pemegang konsesi lebuh raya berkenaan turut telah dipanggil berbincang mengenai cadangan itu. "Melihat kepada perkembangan yang sangat positif ini, keputusan mungkin akan diperoleh secepat mungkin dan hajat penduduk untuk melihat plaza tol ini ditutup mungkin akan terlaksana," katanya. Tambahnya, Barisan Nasional Hulu Langat telah lama memperjuangkan agar salah satu daripada dua plaza tol di lebuh raya itu ditutup bagi meringankan perbelanjaan rakyat yang berulang alik antara Kajang dan Kuala Lumpur. Ujarnya, kewujudan dua buah plaza tol dalam jarak yang terlalu hampir di lebuh raya itu adalah sesuatu yang tidak rasional dan sangat menyusahkan pengguna. "Bayangkan mereka harus membayar dua kali untuk perjalanan sejauh hanya dua kilometer di mana setiap plaza tol yang berdekatan itu mereka harus membayar RM0.90 dan RM1. "Plaza tol ini sudah wujud sejak 12 tahun lepas. Sejak itu penduduk berasa sangat terbeban membayar tol yang dilihat sangat tidak berbaloi. Cukuplah sekadar satu plaza tol di situ," katanya. Sementara itu, tambahnya, beliau ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keprihatinannya untuk membantu menyelesaikan masalah ini. |
22,000 ayam, 200 lembu untuk penduduk Posted: 22,000 ayam, 200 lembu untuk pendudukTANJUNG KARANG 28 Ogos - Bagi memeriahkan sambutan Aidilfitri yang dijangka disambut Selasa ini, UMNO Tanjung Karang mengagih-agihkan barang makanan untuk dijadikan juadah hari raya kepada 11,000 keluarga di seluruh kawasan Parlimen itu. Barang makanan yang diagihkan ialah 22,000 ekor ayam proses (dua ekor untuk setiap rumah), 200 ekor lembu (agihan mengikut jumlah penduduk kampung), dan 11,000 kampit beras lima kilogram (satu kampit setiap rumah). Setiap keluarga turut menerima masing-masing satu kilogram minyak masak, gula dan tepung. Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar berkata, selain memeriahkan kedatangan Syawal, sumbangan tersebut diberikan untuk mengeratkan silaturahim di antara penduduk di Parlimen itu yang menyambut Aidilfitri. Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sumbangan kali ini juga melibatkan semua penduduk tanpa mengira fahaman politik dan taraf hidup. "Jika dulu kita pilih mereka yang memerlukan seperti ibu tunggal dan keluarga yang miskin, tapi kali ini kita beri kepada semua kerana ada juga keluarga yang bukan kategori miskin iaitu golongan pertengahan yang sebenarnya hidup hanya cukup-cukup makan. "Jadi kali ini saya mahu semua orang menerimanya dan sumbangan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan beban mereka dan menceriakan sambutan Aidilfitri tahun ini," kata beliau. Beliau berkata demikian selepas menyaksikan 200 penduduk Kampung Sri Tiram Jaya bergotong-royong membungkus barang mentah untuk diagihkan ke rumah-rumah di Masjid Kampung Sri Tiram Jaya di sini pagi ini. Noh kemudian melawat ke tempat agihan barang mentah di Kampung Sungai Kajang di mana lebih 500 penduduk kampung berbaris untuk mengambil sumbangan. Tambah Noh, program seperti ini dapat memupuk sikap bergotong-royong antara penduduk dan yang menariknya mereka mengenepikan fahaman politik dan bekerjasama sebagai satu pasukan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan