Isnin, 29 Ogos 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


TaHa@U ceriakan rumah amal

Posted: 28 Aug 2011 03:15 PM PDT

Wilayah

AHLI Kelab TaHa@U bersama anak yatim Rumah Nur Hikmah di Kajang selepas majlis berbuka puasa.

AHLI Kelab TaHa@U bersama anak yatim Rumah Nur Hikmah di Kajang selepas majlis berbuka puasa.

Tabung Haji hulur sumbangan makanan, alat tulis serta duit raya

KAJANG: Kehadiran ahli Kelab TaHa@U daripada dua institusi pengajian tinggi (IPT) ke Rumah Nur Hikmah (RNH) di sini, kelmarin berjaya 'mengundang' senyum pada wajah hampir 60 penghuni pertubuhan amal itu.

Pengurus Kanan Khidmat Pelanggan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Noor Azmima Ismail, berkata program itu yang pertama kali dilaksanakan pada Ramadan adalah salah satu daripada pengisian yang direncanakan bagi ahli Kelab Taha@U. Berjaya menarik sehingga hampir 60,000 ahli sejak dilancarkan tahun lalu, Kelab TaHa@U memberi peluang kepada mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran insaniah dan kepemimpinan sebelum melangkah ke alam pekerjaan sebenar.

"Sebelum ini ahli Kelab TaHa@U didedahkan sebagai sukarelawan bagi operasi musim haji di tanah air, bagaimanapun kali ini kami memberi peluang kepada mereka untuk mendekati golongan kurang bernasib baik dengan aktiviti bersama penghuni RNH," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan makanan, alat tulis serta duit raya kepada penghuni RNH sambil disaksikan Pengarang Eksekutif Rencana Berita Harian (BH), Zainor Said dan Pengarang Pendidikan BH, Muhd Yusuf Abu Bakar.

Hadir sama, Yang Dipertua RNH, Othman Ahmad dan Pengurus Jualan Kawasan Selangor The New Straits Times Press Bhd (NSTP), Mahmood Mat Ali.
Selain gotong-royong sejak awal pagi serta majlis berbuka puasa, hampir 40 ahli Kelab TaHa@U yang terdiri daripada mahasiswa Universiti Malaya (UM) dan Politeknik Shah Alam turut mengadakan program motivasi berkonsepkan mentor-mentee bersama penghuni RNH.

Sementara itu, Othman yang berterima kasih di atas kunjungan Kelab TaHa@U memaklumkan RNH yang turut menjadi tempat perlindungan ibu tunggal selain anak yatim serta asnaf berusia antara 9 bulan hingga 18 tahun memerlukan sehingga RM35,000 bagi pembayaran pelbagai bil termasuk bekalan makanan dan hospital.

"Bantuan dihulurkan Tabung Haji sangat kami hargai apatah lagi dengan kehadiran ahli Kelab TaHa@U yang mampu memberi motivasi serta suntikan semangat kepada penghuni RNH untuk mencapai kejayaan terutama bagi mereka yang akan menjalani Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun ini," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan