Kosmo Online - Negara |
Posted: Puduraya jadi Pudu Sentral
KUALA LUMPUR - Hentian Puduraya di sini yang mula beroperasi pada 1976 dan baru sahaja dinaik taraf, kini dikenali sebagai Pudu Sentral. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan nama baru terminal bas itu semalam berkata, penukaran nama itu selaras dengan wajahnya yang moden dan baru, setaraf dengan sebuah lapangan terbang. Beliau berkata keputusan itu dibuat berikutan cadangan seorang pengikut twitternya selepas beliau tweet setelah bersahur awal semalam bahawa beliau akan melawat Hentian Puduraya. "Ramai yang memberi maklum balas dan saya terima cadangan supaya nama hentian bas ini ditukar supaya mencerminkan terminal yang tinggi kualitinya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan wajah baru bas terminal itu di sini semalam. Menurutnya, selepas berbincang dengan pihak pengurusan hentian itu, beliau telah bersetuju untuk menukar namanya kepada Pudu Sentral. Hentian Puduraya ditutup sementara pada Mac tahun lepas, setahun selepas kerajaan mendapati terminal itu perlu sangat dinaik taraf dan diubahsuai untuk memperbaiki perkhidmatan dan mengambil kira keselamatan awam setelah ia beroperasi lebih tiga dekad. Kemudahan itu kini dilengkapi dengan pendingin hawa, kemudahan eskalator dan sistem pengumuman awam untuk mengumumkan ketibaan dan pelepasan bas dan disediakan dengan 296 kamera litar tertutup (CCTV). CCTV dipasang di semua tempat strategik yang dipantau oleh 48 kakitangan keselamatan untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pelawat dan penumpang. Najib turut meluangkan masa melawat sekitar terminal baru tersebut dan berinteraksi dengan para pengguna serta memberikan sumbangan kuih raya kepada penumpang bas ekspres yang pulang ke kampung sempena Aidilfitri. Ini merupakan lawatan ketiganya ke terminal bas tersebut sejak menjadi Perdana Menteri pada 3 April 2009, di mana tiga minggu selepas itu Najib turun padang melawat tiga kawasan di tengah-tengah bandar raya, termasuk Hentian Puduraya. Berikutan dengan lawatan itu beliau mengarahkan supaya Hentian Puduraya dinaik taraf dengan segera, memandangkan keadaan bangunannya yang daif serta tidak memberi keselesaan sama sekali kepada para pengguna. Kerja-kerja menaik taraf itu dijalankan oleh UDA Holdings Berhad dalam dua fasa dengan kos RM52 juta. Sementara itu tinjauan Bernama di terminal bas tersebut turut mendapati pengguna sangat berpuas hati dengan kemudahan yang disediakan. Seorang warga emas, K.P Lim, 66, berkata, persekitaran di Pudu Sentral sekarang sangat berbeza berbanding dahulu memandangkan ia kini dilengkapi dengan pendingin hawa dan tidak bising. "Dahulu (Puduraya) sangat panas, sangat bising. Orang tua seperti saya sangat tidak selesa keadaan seperti itu. Saya sangat berpuas hati dengan penambahbaikan kemudahan di sini. Memang sangat berbeza kalau dibandingkan dengan yang dulu," katanya. Bagi Maimunah Ahmad Pardi, 55, persekitaran Pudu Sentral yang bersih dan nyaman membolehkan orang ramai menunggu bas dalam keadaan yang selesa walaupun penumpang terpaksa menunggu lama. | ||
Malaysia iktiraf kerajaan sementara Libya Posted: Malaysia iktiraf kerajaan sementara LibyaKUALA LUMPUR - Malaysia mengiktiraf Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) sebagai kerajaan sementara Libya yang sah, kata Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman. Beliau berkata, Kuala Lumpur berharap NTC, yang disokong oleh rakyat Libya akan mengurus pentadbiran sementara negara itu ke arah perpaduan nasional, perdamaian dan pembangunan semula yang membawa keamanan dan kestabilan berkekalan kepada Libya dan rakyatnya. NTC dipengerusikan oleh Mustafa Abdul Jalil dan Mahmoud Jibril serta anggota lain yang dilantik. "Malaysia menyertai gesaan antarabangsa mendesak tentera Muammar Gaddafi supaya menyerah kepada pilihan majoriti rakyat Libya," kata Anifah dalam kenyataan di sini malam kelmarin. Katanya, tindakan itu bagi mengelak lebih banyak pertumpahan darah dalam kalangan rakyat tempatan dan mencegah negara utara Afrika itu daripada terjebak ke dalam kancah krisis kemanusiaan yang dahsyat. Setakat ini sebanyak 57 negara telah mengiktiraf NTC dengan kebanyakan daripadanya adalah negara-negara Barat. mengulas pendirian Malaysia itu, pakar sains politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain ketika dihubungi menyifatkan ia satu keputusan yang wajar berdasarkan keadaan di Libya pada masa ini. Beliau menjelaskan, walaupun NTC didalangi pasukan pemberontak, majoriti rakyat Libya sendiri menyokong pergerakan itu dan menolak rejim Gaddafi. "Ia membuktikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan hubungan diplomatik yang praktikal dan realistik. "Tidak timbul isu patutkah pengiktirafan diberikan (kepada NTC), ini kerana kerajaan kita juga memikirkan kesan pengiktirafan tersebut terhadap rakyat Malaysia yang masih berada di Libya," katanya. | ||
Posted: Ingin panjat Menara BerkembarOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE
KUALA LUMPUR - "Saya mahu 'tawan' menara tertinggi di sini (Menara Berkembar Petronas)." Demikian kata bekas manusia terpendek di dunia, Khagendra Thapa Magar dari Nepal yang akan berada di beberapa lokasi di negara ini bagi mempromosikan Tahun Melawat Nepal 2011 sehingga 1 September depan. Khagendra, 19, yang tiba di ibu negara pagi semalam berkata, peluang melawat Menara Berkembar Petronas yang sering diceritakan rakan-rakannya sebelum ini pastinya tidak dilepaskan kali ini, tambahan pula hasratnya sebelum ini tidak kesampaian apabila terpaksa membatalkan lawatannya ke negara ini pada tahun lepas. "Saya memang sukakan tempat dan bangunan yang tinggi meskipun saya pendek. "Malah, jika ikutkan hati, Gunung Everest di negara saya juga saya mahu tawan namun kesihatan saya kurang mengizinkan," katanya pada sidang akhbar sempena Tahun Melawat Nepal 2011 di sini semalam. Turut hadir ialah Duta Besar Nepal ke Malaysia, Dr. Rishi Raj Adhakari dan bapanya, Rup Bahadur. Dilahirkan pada 14 Oktober 1992, Khagendra yang hanya setinggi 0.67 meter merupakan manusia terpendek di dunia yang diiktiraf Guinness Bookof Records sejak 14 Oktober 2010 sebelum rekod itu diambil alih oleh Jun Rey Balawing, 18, seorang lelaki warga Filipina yang hanya setinggi 0.59 meter pada 12 Jun lalu. Khagendra bersama artis-artis tempatan Nepal dijadualkan berada di empat lokasi berasingan di seluruh negara bagi mempromosikan Tahun Melawat Nepal 2011. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Negara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan