Ahad, 28 Ogos 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Tiada kompromi soal harga barang

Posted:

Tiada kompromi soal harga barang

Tiada kompromi soal harga barang

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com


CHE Hanafi Mamat (tiga dari kiri) dan petugas Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Jerantut meninjau harga barang kawalan dalam operasi di Pasar Raya Tunas Manja di Bandar Baru Inderapura, Jerantut, kelmarin.


JERANTUT 28 Ogos – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Jerantut melakukan pemeriksaan mengejut terhadap dua pasar raya di sini bagi memastikan mereka mengikuti peraturan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

Ketua Cawangannya, Che Hanafi Mamat berkata, pemeriksaan ke atas Pasar Raya TF-Value Mart Sdn. Bhd., dan Tunas Manja itu untuk memastikan bekalan barangan terkawal mencukupi termasuk peniaga mematuhi peraturan harga yang ditetapkan.

"Operasi mengejut itu untuk memastikan pemilik pasar raya di sini tidak menjual barangan terkawal melebihi harga syiling termasuk pemasangan tanda harga berwarna merah jambu.

''Kita tidak akan berkompromi dengan peniaga atau pemborong yang tidak beretika sehingga menyusahkan orang ramai berbelanja membuat persiapan menyambut hari raya tahun ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Katanya, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas kedua-dua pasar raya tersebut mendapati mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan di samping bekalan yang mencukupi.

Sementara itu, Che Hanafi berkata, dalam operasi awal bulan ini, pihaknya memberi amaran terhadap dua pekedai di bandar ini kerana gagal mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu untuk barang kawalan berkenaan.

Tambahnya, pihaknya juga berjaya mengesan tiga kes individu menjual pakaian tiruan yang cuba mengaburi pengguna menerusi jenama terkenal serta menawarkan harga berpatutan.

"Di bawah Akta Perihal Perdagangan 1972, mereka yang terbabit menjual barang tiruan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 dan bagi syarikat yang terlibat kesalahan yang sama juga boleh dikenakan denda sehingga RM250,000," ujarnya.

Pemborong ayam didenda RM10,000

Posted:

Pemborong ayam didenda RM10,000

Pemborong ayam didenda RM10,000

KUANTAN 28 Ogos - Sebuah syarikat pemborong bekalan daging ayam di Bera menjadi syarikat pertama di negara ini apabila didenda RM10,000 kerana menjual melebihi harga siling pada musim perayaan ini.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Pahang, Mohd. Aruwan Abd. Aziz berkata, pihaknya menerima aduan daripada pengguna dua hari lalu berikutan harga mahal yang dijual peniaga.

Menurutnya, penjual tersebut menjual harga tinggi berikutan tindakan pemborong terbabit menjual sehingga RM7.20 sekilogram berbanding harga siling yang ditetapkan kepada pemborong iaitu RM6.35.

"Ia adalah kes dan aduan pertama berlaku di Malaysia tahun ini dan tindakan pemborong terbabit melanggar Skim Kawalan Harga yang ditetapkan kerajaan.

"Kita mengharapkan kerjasama pengguna untuk menyampaikan maklumat jika terdapat segelintir peniaga mengambil kesempatan pada musim perayaan ini," katanya kepada pemberita selepas tinjauan harga di Pasar Tani Mega Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di sini, hari ini.

Mohd. Aruwan berkata, pemborong itu dikenakan tindakan terbabit mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000.

Jelasnya, setakat ini,tiada kes dan aduan diterima dari daerah-daerah lain di negeri ini.

Mengulas operasi pemeriksaan skim kawalan harga selama enam hari bermula 23 Ogos lalu, Aruwan memberitahu sebanyak 2,079 premis daripada peruncit dan pemborong diperiksa membabitkan nilai kompaun keseluruhan RM10,300 dan nilai rampasan, RM289.50.

Selain Bera, Jerantut turut mencatatkan kompaun RM300 dan nilai rampasan RM289.50 yang dicatat pada 26 Ogos lalu.

Jangan lokek beli Jalur Gemilang

Posted:

Jangan lokek beli Jalur Gemilang

Jangan lokek beli Jalur Gemilang

KUALA LIPIS 28 Ogos - Masyarakat di daerah ini tidak sewajarnya menunggu pemberian Jalur Gemilang secara percuma bagi memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan ke-54 tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, sikap terlalu lokek mengeluarkan wang membeli Jalur Gemilang sepatutnya dikikis jika seseorang warganegara itu memahami nilai patriotisme.

"Sikap menghayati Bulan Kemerdekaan sepatutnya tersemat di jiwa masing-masing dan sinonim apabila tiba Ogos setiap tahun wajar tampil mengibarkan Jalur Gemilang dengan rasa bertanggungjawab dan penuh integriti.

"Jika seseorang itu boleh berbelanja wang yang banyak mendapatkan keperluan lain, tetapi kenapa tidak sanggup membeli Jalur Gemilang yang cuma nilainya kurang RM10," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan di Telok Gunung, Merapoh, baru-baru ini.

Abdul Rahman juga kesal kerana ada segelintir masyarakat yang sangat berkira untuk mengeluarkan duit untuk membeli bendera.

Katanya, sedangkan harga bendera itu adalah murah dan boleh digunakan dalam tempoh tertentu atau sambutan kemerdekaan pada tahun akan datang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan