Sabtu, 27 Ogos 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lari ikut kekasih beraya di Nepal

Posted: 26 Aug 2011 01:16 PM PDT

KULIM: "Ketika umat Islam lain bersiap sedia bersama sanak-saudara untuk menyambut Aidilfitri, keluarga kami pula dibelenggu kesedihan mengenangkan nasib anak perempuan yang lari kerana mengikuti teman lelaki warga Nepal ke negara asalnya," kata Siti Fatimah Yassin, 45, dari Taman Kenangan, Sungai Karangan, dekat sini, apabila anak perempuannya, Noorshaheera Mohd Rasul, 21, keluar dari rumah dengan alasan mahu bertemu rakannya pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun, wanita berkenaan tidak pulang ke rumah sehingga kini menyebabkan timbul kebimbangan di kalangan ahli keluarganya walaupun sudah puas mencarinya.


Siti Fatimah berkata, Noorshaheera keluar dari rumah kira-kira jam 1 tengah hari dengan membawa sebuah beg kecil dan sehelai pakaian kerana mahu berbuka puasa dan bermalam di rumah rakan perempuannya di Sungai Petani.

"Saya membenarkannya kerana dia ingin berbuka puasa dan mengambil kembali wang yang dipinjam rakannya itu, selain berjanji akan pulang semula kira-kira jam 11 malam pada keesokkan harinya bersama rakannya itu.


"Bagaimanapun, Noorshaheera tidak juga muncul pada masa dijanjikan lalu menghubungi rakannya, tetapi dia juga tidak mengetahui ke mana anak kami pergi sepanjang dua hari itu," katanya selepas menerima kunjungan Ketua Pemuda Umno Bahagian Padang Serai, Asmaidi Abu Talib di rumahnya, di sini, semalam.


Siti Fatimah berkata, rakan anaknya itu kemudian memaklumkan Noorshaheera berpesan kepadanya supaya memberitahu ibunya mengenai sekeping nota yang disimpan di dalam laci almari biliknya.

Menurutnya, sebaik membaca nota itu, dia terkejut apabila anaknya meminta maaf kerana mengikut kekasihnya, lelaki warga Nepal berusia 20-an yang dikenali sejak setahun lalu ketika bekerja di sebuah kilang di Sungai Karangan.


"Kami berusaha mencarinya pada keesokkan harinya dan dimaklumkan rakan senegara lelaki itu, mereka merancang kembali ke negara berkenaan menyebabkan kami bergegas pergi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di Pulau Pinang.

"Berdasarkan maklumat, anak saya dan lelaki Nepal itu menaiki penerbangan dari Pulau Pinang sebelum transit di Bangkok dan menuju ke Kathmandu pada 23 Ogos lalu," katanya.

Tangisan bayi dalam kotak

Posted: 26 Aug 2011 01:15 PM PDT

SEGAMAT: Seorang lelaki yang dalam perjalanan untuk bersahur terkejut apabila terdengar tangisan sebelum menemui seorang bayi perempuan masih bertali pusat di dalam kotak di depan sebuah pasar raya di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, Mohammad Taufik Kamaruddin, 21, dari Felda Selancar sedang memandu kereta apabila terdengar suara tangisan berkenaan.


Timbalan Ketua Polis Daerah Segamat, Deputi Superintendan Anuar Ismail berkata cuaca dingin menyebabkan Taufik menurunkan tingkap di sebelah pemandu dan tidak memasang pendingin udara kereta itu.

"Setibanya di lokasi kejadian, Taufik yang memandu perlahan terdengar tangisan bayi lalu memberhentikan keretanya.


"Dia terlihat sebuah kotak di depan pasar raya berkenaan sebelum mendapati ada bayi perempuan di dalamnya yang masih bertali pusat selain tidak berpakaian," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat.


Menurut Anuar, Taufik membawa bayi berkenaan pulang ke kediamannya untuk dibersihkan dan dipakaikan baju.

Anuar berkata, Taufik tidak menghantar terus bayi ke hospital atau membuat laporan polis kerana bimbang dituduh membuang bayi berkenaan sebaliknya dia pergi ke IPD Segamat bersama bayi berkenaan untuk membuat laporan polis pada jam 7 pagi.


"Siasatan awal mendapati bayi berkulit sawo matang itu dipercayai Melayu dan seberat 2.7 kilogram," katanya.

Bayi itu disahkan dalam keadaan sihat dan kini ditempatkan di Hospital Segamat untuk rawatan susulan. Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.


Dalam kes berasingan, seorang remaja berusia 17 tahun ditahan polis selepas dua jam terbabit dalam samun bersenjata.


Sebelum itu, pada jam 1.45 pagi, seorang lelaki berusia 41 tahun membuat laporan polis mengatakan dia diacukan pisau di mukanya oleh seorang remaja di Jalan Tengku Ahmad dan diarah menyerahkan beg tangan mengandungi wang tunai RM47, rantai leher perak, kad pengenalan, lesen memandu dan telefon bimbit jenama Nokia.


Suspek yang berasal dari Perak itu ditahan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian dan direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan