Utusan Online - Muka Hadapan |
- Usah lupa jasa pejuang
- TPM: Mantapkan persaudaraan
- Berhati-hati dengan dakyah pengaruhi umat Islam – Sultan Selangor
Posted: Usah lupa jasa pejuangOleh ZULKIFLEE BAKAR
KUALA LUMPUR 29 Ogos – Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat agar tidak sekali-kali melupakan pengorbanan, darah, keringat dan air mata pejuang kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan negara dari dahulu hingga sekarang. Sehubungan itu, Perdana Menteri menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang pernyataan dan usaha oleh mana-mana pihak yang ingin mempersenda atau memperlekeh pengorbanan mulia para wirawan dan wirawati negara serta keluarga mereka. ''Kita berasa kesal kerana mereka sebaliknya pula memperagungkan Parti Komunis Malaya yang antituhan, antiagama dan anti nasional,'' katanya. Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Aidilfitri yang disiarkan oleh RTM, malam ini. Perdana Menteri berkata, rakyat perlu memahami bahawa apa yang dinikmati sekarang tidak terjelma dengan sewenang-wenangnya atau kekal lestari jika bahtera keramat kemerdekaan Malaysia tercinta ini terbiar hanyut tidak dikemudi dengan tulus, tidak dihargai dan musnah tanpa dipelihara. ''Bagi memastikan apa yang terlimpah dan tercurah ke atas kita dan bumi Malaysia kekal berkesinambungan, maka perpaduan nasional perlu terus dibajai dan diperkukuhkan. "Mudah-mudahan jua atas keinsafan ini makin tersepuh dan menebal semangat patriotisme dan kecintaan yang kukuh kepada pertiwi di setiap sanubari kita,'' katanya. Najib berkata, bersempena dengan dua sambutan serentak iaitu Aidilfitri dan kemerdekaan ia sewajarnya membawa permaknaan dan pengertian yang mendalam. Ia kata Perdana Menteri tentang betapa besarnya kurniaan Ilahi kepada Malaysia yang makmur, bebas dari sebarang ketakutan dan kebimbangan terhadap keselamatan sama ada keselamatan diri kita mahupun keluarga di samping dapat meraikan hari-hari kebesaran sebegini dalam keadaan kecukupan dan kelimpahan. | ||
Posted: TPM: Mantapkan persaudaraanKUALA LUMPUR 29 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru umat Islam menjadikan Aidilfitri untuk memantapkan jalinan persaudaraan sesama umat Islam dan bersatu dalam keimanan yang teguh kepada Allah SWT. Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau percaya dengan semangat perpaduan yang kental, umat Islam di Malaysia akan berjaya mengatasi segala cabaran yang mendatang. ''Sesungguhnya perpaduan adalah kunci utama yang membolehkan umat Islam bangkit sebagai umat terbaik, menjadi umat yang mencipta tamadun khaira ummah seperti mana yang dijanjikan di dalam al-Quran,'' katanya. Beliau berkata demikian dalam perutusan sempena Aidilfitri di sini, hari ini. Muhyiddin berkata, Aidilfitri juga perlu diambil kesempatan untuk menyemarakkan amalan kunjung-mengunjung, bermaaf-maafan dan bantu membantu sesama kita. ''Marilah kita ziarahi sanak-saudara dan rakan-taulan untuk mempertautkan jalinan persaudaraan. Kita lupakan sengketa lama dengan bermaaf-maafan di hari lebaran. ''Kita pamerkan keprihatinan terhadap golongan miskin dan kurang bernasib baik dengan menunaikan zakat fitrah. Mudah-mudahan segala amalan yang baik ini akan memperkukuhkan lagi ikatan ukhuwah dalam kalangan umat Islam dan seterusnya memantapkan perpaduan ummah,'' katanya, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau berdoa semoga nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran yang dikecapi oleh masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini akan terus terpelihara. | ||
Berhati-hati dengan dakyah pengaruhi umat Islam – Sultan Selangor Posted: Berhati-hati dengan dakyah pengaruhi umat Islam – Sultan SelangorKUALA LUMPUR 29 Ogos – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (gambar) hari ini bertitah supaya seluruh umat Islam terutama di Selangor sentiasa berhati-hati dan jangan terpedaya dengan dakyah-dakyah tertentu yang mempengaruhi umat Islam. Baginda bertitah, ia terutama yang mengandungi unsur-unsur keraguan dan yang boleh memesongkan akidah umat Islam. "Ini adalah penting kerana Beta dapati gejala murtad dalam kalangan umat Islam telah mula tersebar di negara ini dan Beta khuatir perkara ini akan merebak dan sukar dibendung. "Beta ingin mengingatkan bahawa seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu yang dengan sengaja keluar daripada agama Islam akan hilang segala hak keistimewaannya kerana terkeluar daripada definisi dan identiti sebagai orang Melayu. "Bukan itu sahaja, malah mereka akan tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi dan hina di sisi Allah SWT," titah baginda dalam perutusan sempena Hari Raya Aidilfitri. Baginda turut mengingatkan bahawa pada zaman yang serba mencabar dan keadaan yang tidak menentu ini rakyat haruslah berjimat cermat dan berbelanja dengan berhemah kerana banyak manfaat yang diperoleh daripada sikap itu. Sempena dengan sambutan hari mulia ini juga, Sultan Selangor berharap supaya rakyat negeri itu mengambil kesempatan mengeratkan silaturahim antara kaum. "Di sini Beta menyeru kepada umat Islam di Selangor supaya dapat bersatu padu dan mempertahankan kesucian agama Islam seperti yang diletakkan pada martabat yang tinggi dalam Perlembagaan Persekutuan," titah baginda. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan