Sabtu, 27 Ogos 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kenderaan luar banjiri Kelantan?

Posted:

Kenderaan luar banjiri Kelantan?

Kenderaan luar banjiri Kelantan?

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my

PASIR PUTEH 26 Ogos – Lebih 20,000 buah kenderaan dari luar dijangka memasuki negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan sekiranya pengguna jalan raya tidak berhati-hati.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) negeri, Mohd. Azlisham Abdul Rahman berkata, dijangka kira-kira 80,000 anak Kelantan dari perantauan akan pulang ke kampung halaman sempena perayaan kali ini berbanding sekitar 60,000 tahun lalu.

"Ini tidak termasuk jumlah kenderaan yang sedia ada," katanya kepada pemberita selepas mengadakan kempen keselamatan jalan raya di Stesen Penguat Kuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bukit Jawa di sini, hari ini.

Dalam kempen yang turut disertai anggota JPJ, polis trafik dan Persatuan Perlindungan Pengguna Kelantan (PPPK) itu, beliau turut membahagi-bahagikan hamper kepada kenderaan yang datang dari arah Pasir Puteh ke Kota Bharu.

Mengulas lanjut, Mohd. Azlisham berkata, pihaknya akan mengadakan pemantauan secara bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan terutama JPJ, polis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negeri.

Beliau berkata, pemantauan itu turut membabitkan laluan pintu masuk ke Kelantan iaitu di Pasir Puteh, Gua Musang dan Jeli.

"Penekanan akan diberikan terhadap pengguna kenderaan yang enggan memakai tali keledar belakang kerana ia turut menyumbang banyak kemalangan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, kira-kira 80 peratus pengguna tidak mengambil serius untuk mematuhi arahan pemakaian tali keledar walaupun kerajaan telah lama mewajibkannya.

"Kempen pemakaian tali keledar ini perlu dilaksanakan dengan berkesan termasuk oleh agensi terbabit seperti polis dan JPJ yang turut menjadi contoh kepada pengguna awam dengan memastikan mereka memakainya ketika menggunakan kenderaan kerajaan ketika menjalankan tugas. Semua ini turut dipantau oleh pengguna awam," katanya.

Program Cakna Aidilfitri bawa 120 anak yatim beli-belah

Posted:

Program Cakna Aidilfitri bawa 120 anak yatim beli-belah

Program Cakna Aidilfitri bawa 120 anak yatim beli-belah


MOHD. Nasir Ibrahim Fikri melayan karenah anak yatim membeli baju raya sambil diperhatikan Apli Yusof dalam Program Cakna Aidilfitri di Pasar raya Giant Kuala Terengganu, kelmarin.


KUALA TERENGGANU 26 Ogos – Sambutan Aidilfitri kali ini cukup menggembirakan buat 120 anak yatim dari Parlimen Kuala Nerus apabila dibawa membeli baju raya oleh Pemuda dan Puteri UMNO bahagian itu, semalam.

Anak yatim dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Teluk Pasu, Tepuh, Bukit Tunggal dan Seberang Takir itu diberikan baucer RM100 seorang sumbangan Pasar Raya Giant Kuala Terengganu untuk membeli baju raya di pasar raya berkenaan.

Ketua Pemuda UMNO Kuala Nerus, Apli Yusof berkata, peruntukan tersebut adalah sumbangan Pasar Raya Giant manakala majlis berbuka puasa di T'Cafe D'Muara, Losong, di sini ditaja oleh kedua-dua pergerakan itu.

"Anak yatim yang kebanyakannya masih di bangku sekolah ini dipilih 30 orang dari setiap DUN dengan kerjasama Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu.

"Selain diberi kesempatan membeli baju raya bersama Ketua Pemuda dan Puteri Cawangan masing-masing, anak-anak yatim ini turut mendapat sumbangan hamper raya," katanya.

Turut meraikan anak-anak yatim dalam Program Cakna Aidilfitri itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri yang sempat meluangkan masa kira-kira sejam melayan kerenah mereka memilih pakaian.

Turut hadir Ketua Puteri UMNO Kuala Nerus, Aida Azam dan Pengurus Besar Pasar Raya Giant Kuala Terengganu, Ahmad Tajuddin Zakaria.

Apli berkata, program itu diharap dapat menceriakan anak-anak yatim tersebut yang dilihat kurang mendapat perhatian berbanding mereka yang tinggal di asrama atau rumah kebajikan.

"Kita amat berharap anak-anak yatim ini dapat merasai kemeriahan dan semangat Aidilfitri walaupun tidak dapat meraikannya bersama insan tersayang," ujarnya.

Cuti kakitangan unit kecemasan hospital dibeku

Posted:

Cuti kakitangan unit kecemasan hospital dibeku

Cuti kakitangan unit kecemasan hospital dibeku

BESUT 26 Ogos - Cuti bagi doktor dan kakitangan di unit kecemasan di semua hospital di negeri ini dibekukan sebagai persediaan menghadapi kemungkinan peningkatan ketara kes kecemasan terutama di jalan raya sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr. A. Rahman Mokhtar berkata, arahan berkenaan dikeluarkan kepada semua pengarah hospital di negeri ini.

''Katanya, tempoh ditetapkan dua hari sebelum dan selepas sambutan Aidilfitri bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sempurna dan tidak berlaku kekurangan kakitangan terutama doktor,'' katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Beliau berharap, pihak hospital terutama unit kecemasan sentiasa bersedia dengan kakitangan untuk membantu.

''Jika ramai yang mengambil cuti, sudah pasti akan menyukarkan proses rawatan," katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut berkata, apa yang penting, pengguna jalan raya perlu bersikap lebih berhati-hati dan sabar ketika menggunakan kenderaan di jalan raya.

Katanya, jika masing-masing tidak dapat mengawal perasaan, sudah tentu banyak kemalangan boleh berlaku dan lebih malang lagi apabila melibatkan kehilangan nyawa dan kecacatan anggota badan.

Sehubungan itu, beliau berharap, pihak hospital boleh mengambil langkah yang sesuai dan perlu bagi memastikan unit kecemasan masing-masing sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan