Utusan Online - Selatan |
Bazar Ramadan jana rezeki belia Posted: Bazar Ramadan jana rezeki beliaOleh SAJIDA ASARULAH KHAN Walaupun masih muda namun Nur Fatihah Abdul Rahman (kanan) tidak kekok melayan pelanggan yang singgah di gerainya di Bazar Ramadan Bahau di Jempol, Negeri Sembilan, baru-baru ini. JEMPOL 25 Ogos - Kedatangan Ramadan bukan sahaja memberi rezeki kepada para peniaga malah, boleh dikatakan menerima 'durian runtuh' pada bulan tersebut. Ini kerana, bagi yang sering berniaga pastinya perniagaan mereka akan berlipat kali ganda daripada sebelumnya. Menyedari peluang itu yang hanya datang setahun sekali, belia di daerah ini turut bertindak bijak dengan mencari duit poket di bazar Ramadan. Bagi Nur Fatihah Abdul Rahman, 19, masa yang terluang adalah lebih baik jika dimanfaatkan dengan berniaga di bazar Ramadan. "Sekarang saya sedang menunggu panggilan untuk sambung belajar. Daripada duduk di rumah sahaja lebih baik lakukan sesuatu yang berguna. "Ini merupakan kali pertama saya melibatkan diri dalam perniagaan. Saya sangat seronok apabila pembeli datang ke gerai saya. "Saya hanya menjual lima jenis kuih kerana baru melibatkan diri dalam perniagaan ini. Ibu membuat kuih itu dan saya menjualnya," katanya di sini baru-baru ini. Nabil Faiz Azizi, 13, pula tidak pernah menjadikan usianya sebagai halangan untuk menjadi pembantu di sebuah gerai yang menjual air. "Kalau hendak tarik pelanggan mudah sahaja. Mulut kena 'bising', baru mereka akan datang, gerai pun pasti 'hidup'," katanya. Sementara itu, Muhd. Azam Sunub, 21, mula melibatkan diri dalam bidang perniagaan apabila membantu rakannya membuat ayam golek bagi tempahan untuk majlis kenduri. "Pada bulan puasa tiada tempahan kenduri, jadi kami mencuba nasib di sini. Seekor ayam dijual pada harga RM14. "Ini merupakan pengalaman pertama saya berniaga di bazar Ramadan. Walaupun penat, saya gembira apabila menerima ramai pelanggan di sini," katanya. |
Posted: 4,554 barangan makanan disitaMELAKA 25 Ogos - Sebanyak 4,554 jenis barangan makanan yang menyalahi Akta Makanan 1983 telah disita dan dimusnahkan melibatkan nilai hasil rampasan sebanyak RM16,688.82 sepanjang Januari hingga bulan ini. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Azmi Hashim berkata, ia hasil daripada 19 operasi bersepadu penguatkuasaan keselamatan makanan yang dijalankan di Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin. Bagaimanapun menurutnya, jumlah barangan makanan yang disita sepanjang tempoh lapan bulan tahun ini meningkat berbanding 1,811 barangan yang menyalahi Akta Makanan 1983 membabitkan nilai rampasan sebanyak RM9,229.75 sepanjang tempoh itu tahun lalu. ''Kesemua produk makanan yang disita ialah makanan yang kemek atau karat, pembungkus rosak, makanan berkulat, tidak dilabel dan penggunaan pewarna yang tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam. Dr. Azmi berkata, sepanjang Operasi Raya (Ops Raya 2011) dari 15 Ogos hingga semalam, sebanyak 2,383 jenis barangan makanan telah disita melibatkan jumlah nilai sitaan sebanyak RM9,856.28. Dalam operasi yang dijalankan itu, katanya, pihaknya turut menyita sebanyak 601 jenis barangan makanan yang tamat tarikh tempoh melibatkan nilai sitaan sebanyak RM2,340.39. Sehubungan itu, beliau mengingatkan peniaga di premis seperti pasar raya, kedai runcit dan juga pasar raya mini agar mematuhi penjualan barangan makanan di bawah Akta Makanan 1983. |
DMDI perluas kerjasama salur bantuan Posted: DMDI perluas kerjasama salur bantuanMELAKA 25 Ogos - Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) akan meluaskan kerjasama dengan syarikat korporat atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan dengan lebih berkesan kepada golongan kurang bernasib baik. Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kerjasama itu akan digerakkan oleh Yayasan DMDI, DMDI Finance House bersama Koperasi Bela Masyarakat Melaka Berhad (Kobemas). Melalui kerjasama itu katanya, fungsi Rumah Amal Yayasan DMDI akan menumpukan kepada program bantuan untuk golongan warga emas, saudara baru Islam, Orang Asli dan membantu masyarakat negara-negara DMDI. ''Ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan yang memerlukan selaras dengan objektif penubuhan DMDI iaitu untuk membantu golongan kurang upaya dan tidak bernasib baik," katanya ketika berucap merasmikan program Ramah Mesra dan Sumbangan Aidilfitri di Rumah Amal Yayasan DMDI di sini hari ini. Katanya, program bantuan kepada golongan warga emas itu digerakkan mengikut prinsip kebajikan kepada masyarakat misalnya melalui aktiviti penjagaan harian dan golongan tersebut ditawarkan khidmat kaunseling. ''Bagi program saudara baru Islam, kita merancang membantu masyarakat yang memeluk agama Islam menjalankan program keagamaan seperti ceramah dan menyediakan kelas fardu ain," katanya. Beliau yang juga Presiden DMDI berkata, bagi program Orang Asli, bentuk bantuan lebih menjurus kepada usaha mewujudkan kesedaran untuk golongan itu mendekati Islam dan menyediakan kemudahan tenaga pengajar bagi tujuan tersebut. Selain itu katanya, bagi program bantuan kepada masyarakat negara-negara DMDI, pihaknya akan memastikan aktiviti kebajikan yang dijalankan menepati keperluan pembangunan rohaniah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan